Noor Syakirah Mohd Azam
Noor Syakirah Mohd Azam

Kiera atau nama sebenarnya Noor Syakirah Mohd Azam, 27, dari Pulau Pinang mengumumkan keputusannya menerusi akaun Instagram miliknya hari ini.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Permintaan Kiera untuk tidak lagi meneruskan dan membabitkan diri dalam rancangan Clever Girl Malaysia musim kedua dipermudahkan dengan pembebasan Kiera daripada sebarang kontrak yang mewajibkan Kiera untuk membabitkan diri dengan program tersebut.

“Kepada penyokong Kiera, Kiera minta maaf tetapi Kiera dah fikir masak-masak dan dah sampaikan keputusan Kiera dan sebab-sebab Kiera ingin menarik diri kepada penerbit dan Kiera yakin ini jalan terbaik buat diri Kiera,” tulisnya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Utusan Online, graduan dari Universiti Oxford dalam jurusan Sains Kejuruteraan ini tidak dapat memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

“Maaf, saya tidak dapat memberi apa-apa komen dan penjelasan kerana sudah berjanji dengan pihak produksi.

“Namun keputusan yang saya ambil ini adalah satu keputusan yang rasional untuk diri saya setelah berfikir masak-masak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE