Ada percaturan yang perlu dilakukan demi mempopularkan nama mereka dan ini diakui oleh Mark Adam.

"Ini yang saya pelajari sejak 'rapat' dengan industri muzik tempatan," katanya.

Bagi penyanyi yang berasal dari Filipina ini, dia tidak menyangka percaturan untuk menjadikan Pencuri pada awal kemunculannya sebagai langkah yang betul memandangkan kebanyakan peminat memberikan reaksi positif kepada lagu itu.

Apabila lagu tersebut diterima, dia yakin peminat mahukan lagu-lagu yang santai dan mudah didengar dan kemudian terhasil lagu Si Katak yang turut mendapat sambutan hebat daripada peminat.

“Sebenarnya saya sendiri ada menyimpan banyak koleksi lagu yang berbeza daripada yang biasa didengar di radio. Lagu tersebut saya peram terlebih dahulu kerana bimbang peminat tidak dapat menerimanya.

“Dilema ini memang akan terjadi kepada mana-mana penyanyi baru seperti saya. Tak apalah asalkan orang menerimanya sudah cukup baik dan saya sendiri boleh memikirkan perancangan yang lain,” jelasnya yang sudah 15 tahun menetap di Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru, Mark sedang dalam proses menyiapkan album baru yang akan dilancarkan awal tahun hadapan.

Menariknya album tersebut merupakan album dwi bahasa di mana dia akan merakamkan lima lagu yang sama dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selain tambahan dua lagu bonus.

“Ini percaturan yang saya mahu lakukan di dalam album baru yang akan datang. Ada juga yang bertanya mengapa lagu yang sama dinyanyikan kembali dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.

“Bagi saya ini adalah kelainan dan percaturan yang saya buat untuk kelangsungan kerjaya saya. Kena buat sesuatu yang lain,” jelasnya lagi.

Terbaru dia baru sahaja merakamkan lagu duet bersama penyanyi baru Qierra menerusi lagu Senyum Lagi.

Debaran

Menjadi orang baru dalam industri muzik tanah air merupakan pengalaman baru buat gadis yang baru berusia 20 tahun ini. Dalam usia yang masih lagi hijau pastinya banyak perkara baru yang ingin diteroka oleh Qierra untuk menempatkan nama sebagai orang yang dikenali.

Namun begitu dia berterima kasih kepada syarikat Suria Record Sdn. Bhd. yang percaya kepada bakat nyanyian dan memberikan peluang besar untuknya merakamkan lagu Senyum Lagi bersama-sama Mark Adam.

“Memang saya sendiri tak menyangka diberi peluang seawal ini untuk merakamkan lagu. Tambahan pula Mark yang menjadi pilihan (rakan duet) pastinya menambahkan lagi rasa keterujaan saya,” kata Qierra yang juga merupakan mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.

Dia yang mengambil jurusan muzik sebagai pengkhususan utama juga boleh bermain piano, gitar, ukelele, saksofon dan beberapa alat muzik yang lain.

Walaupun masih baru, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini pernah merakamkan lagu berjudul Sepi sebelum ini. Meski tidak dikomersialkan, itu menjadi pengalaman pertama buatnya.

“Insya-Allah saya akan menghabiskan pengajian terlebih dahulu sebelum aktif dalam bidang nyanyian.

“Saya sedar dalam bidang ini memang banyak cabaran yang saya perlu hadapi. Tak ada jalan yang mudah untuk berjaya,” jelasnya yang cukup mengharapkan lagu Senyum Lagi mendapat perhatian besar peminat.