Azam yang tinggi untuk mengubah kehidupan sedia ada kepada yang lebih baik menjadi matlamat hidup setiap anggota, Khairul Azmi Mohd. Saat, 29, Nirwan Zainal Abidin, 27, Fendy Adlun, 25, Mohd. Zaki Ismail, 37, dan Nur Nadira Rubiana Bunsu, 25.

Seboleh-bolehnya mereka mahu berdikari tanpa bergantung harap belas ihsan daripada orang lain. Langsung juga tidak mahu bergantung kepada ‘lesen’ golongan kurang upaya (OKU) bagi mendapatkan layanan istimewa ketika berada di tempat awam.

Sebaliknya mereka mahu menjalani kehidupan seperti manusia normal tanpa sebarang diskriminasi lantaran kekurangan azali mereka. Atas sebab itu, kelima-lima anggota Caliph Buskers nekad untuk terus konsisten dalam perjuangan seni yang bermula sejak tiga tahun lalu.

“Nasib kami bertukar 100 peratus selepas diterima baik peminat muzik arus perdana selepas membuat persembahan secara julung kalinya di Anugerah Juara Lagu 29, tiga tahun lalu. Sejak itu kami dah tak pandang belakang dah.

“Kami nekad untuk menjadikan kerjaya nyanyian secara serius dan sebagai punca pendapatan. Kami merancang sebaik mungkin perjalanan seni kami. Nak buktikan kepada semua yang OKU seperti kita ini pun mampu berjaya macam orang biasa,” kata Khairul Azmi atau Azmi

Mengakui kekurangan yang ada pada diri mereka itu sebagai penghalang untuk mereka bergerak bebas seperti manusia normal lagi namun itu bukan alasan kukuh untuk merendahkan motivasi sedia ada.

Caliph Buskers akan melipat gandakan usaha yang ada untuk memastikan kemampuan sebenar mereka bersaing dengan pemuzik sedia ada. Itulah cabaran utama mereka.

Pun begitu, mereka bersepakat untuk tetap bergerak sebagai pemuzik jalanan. Faktor pasang surut arus perdana muzik tempatan pada hari ini memungkinkan mereka mengehadkan fokus pada satu sumber pendapatan semata-mata.

Lagipun Caliph Buskers sama sekali tidak akan melupakan asal usul mereka sebagai pemuzik jalanan yang pernah menghiburkan orang ramai di tempat awam.

“Walaupun sudah bergelar artis, tak semestinya kami tak boleh bermain muzik di jalanan. Nak cakap kami jaga standard sebab dah jadi artis, yang itu sangat ‘kelakar’. Sama sekali tak ada istilah macam itu dalam hidup kami.

“Kalau pun orang kata Caliph Buskers sekarang dah tak macam dulu, yang itu kami akui. Dulu banyak kekurangan dari segi kelengkapan alat muzik dan macam-macam lagi. Tapi sekarang dah ada banyak penambahbaikan berlaku,” kata Azmi.

Demand harga kerja

DALAM pada itu, Ahmad Zaki meluahkan rasa kurang senang segelintir pihak yang melabelkan pemuzik jalanan ini sebagai peminta sedekah dek meletakkan duit di laluan orang ramai.

Langsung tidak memikirkan soal bayaran diterima, Ahmad Zaki yang mewakili rakan-rakannya juga tidak mengharapkan kepada orang ramai untuk memberikan mereka duit pada setiap persembahan di tempat awam.

Apa yang menjadi keutamaan mereka adalah kepuasan penonton menikmati hiburan muzik dendangan mereka. Ini kerana sebagai pemuzik jalanan sejati, jiwa mereka sarat dengan keinginan untuk menghiburkan penonton semata-mata.

“Kami mahu ubah persepsi orang ramai yang merasakan pemuzik jalanan OKU seperti kami ini seperti peminta sedekah. Memang payah nak betulkan persepsi itu tapi sekurang-kurangnya kehadiran kami dalam arus perdana ini memberi kesedaran sedikit sebanyak kepada orang luar.

“Kita bekerja keras untuk mencari sesuap nasi. Segala keringat yang mengalir juga diambil kira. Kalau ada rezeki lebih, kami akan sama-sama berkongsi sama rata. Semuanya cukup untuk menyara kehidupan kami berlima.

“Tak lebih tak kurang, apa yang ada pada hari ini sudah cukup buat kami sujud syukur,” kata Ahmad Zaki yang turut dipersetujui oleh dua lagi rakannya, Nirwan dan Nadira.

Nasib kami bertukar 100 peratus selepas diterima baik peminat muzik arus perdana selepas membuat persembahan secara julung kalinya di Anugerah Juara Lagu 29, tiga tahun lalu. Sejak itu kami dah tak pandang belakang dah.

Bukan peminta sedekah

DALAM usaha untuk mengukuhkan jenama Caliph Buskers, kumpulan ini menetapkan satu piawaian kerja bagi memastikan kualiti persembahan dan nyanyian mengikut peredaran semasa dan golongan sasaran.

Antaranya yang dilakukan adalah melengkapkan persembahan dengan peralatan muzik yang lebih bermutu mengikut standard penyanyi profesional sedia ada.

Atas alasan itu, kumpulan ini bersepakat untuk menaikkan sedikit jumlah bayaran yang diterima daripada pihak penganjur selari dengan usaha yang dibuat. Semuanya dilakukan demi kepuasan pihak penganjur dan golongan penonton yang bakal menyaksikan persembahan mereka.

“Tak salah kalau kami menaikkan sedikit jumlah bayaran yang diterima mengikut kesesuaian. Perlu diambil kira kos pengangkutan dan pengiring yang diperlukan bagi melancarkan perjalanan persembahan.

“Kalau ada sesi latihan, lain pula harga mas kahwinnya, bukan? Tapi jangan risau, soal bayaran ini boleh dibawa bincang bersama pengurus, Syed Ezaham Jamil Syed Nasran Eza. Dia yang menguruskan kami sekarang,” kata Fendy yang langsung tidak memberi bayangan harga persembahan mereka.

Sebelum ini, Caliph Buskers menjadi artis rakaman di bawah naungan KRU Studios selama dua tahun sebelum mengikat kontrak bersama Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir.

Selain lagu Hanya Namamu, kumpulan ini menampilkan lagu Kaulah Dia. Terkini Caliph Buskers sedang mempromosikan lagu single terbaru berjudul Buta, duet bersama Faizal Tahir yang semakin mendapat perhatian ramai.

1 Semua anggota tak suka makan sayur.

2 Majoriti mereka adalah juga tukang urut.

3 Penakut pada haiwan seperti ular, katak dan tikus

4 Kuat mengusik antara satu sama lain, Azmi ketuanya.

5 Penglipur lara. Ada saja cerita-cerita terkini yang dikongsi bersama.

Inilah Caliph Buskers yang sebenar

panca tanya?

Macam mana kehidupan sekarang? Dah semakin okey berbanding dulu

Caliph Buskers (CB): Alhamdulillah. Semuanya serba sederhana. Mana yang diinginkan dan tak dapat sebelum ini dah boleh diperolehi.

Maksudnya? Duit simpanan di bank dah semakin banyak atau macam mana?

CB: Tak semestinya. Kalau dulu nak bercuti ke mana-mana, atau nak makan sedap di restoran tertentu, susah sikit sebab ada kekangan. Tapi sekarang semuanya sudah tercapai. Orang pun dah semakin percaya dengan kemampuan kami sebagai pemuzik jalanan.

Kalau CB tak jadi artis atau pemuzik jalanan, apa pekerjaan kalian sekarang?

CB: Kami jadi tukang urut atau paling tidak pun bermain muzik secara kecil-kecilan kerana itulah minat azali kami.

Tak salah kalau kami menaikkan sedikit jumlah baya­ran yang diterima mengikut kesesu­aian. Perlu diambil kira kos pengang­kutan dan peng­iring yang diper­lukan bagi melan­carkan perjalanan persembahan.