Persembahan A7X biasa saja

Jalan persembahannya sama seperti sebelum ini

SUBANG JAYA 23 JANUARI 2015. Konsert Kumpulan Avenged Sevenfold 3
Konsert Kumpulan Avenged Sevenfold dari US di Surf Beach, Sunway Lagoon

Selepas kali pertama membuat persembahan secara langsung pada 2012 lalu, kumpulan bergenre hard rock, Avenged Sevenfold (A7X) akhirnya kembali menemui peminat tegar mereka di Kuala Lumpur.

Berlangsung di lokasi sama sebelum ini iaitu di Sunway Lagoon Surf Pool, Petaling Jaya, kehadiran kumpulan dari Amerika Syarikat itu dinantikan penuh teruja sejak lewat petang lagi.

Kehadiran mereka yang dibawakan khas oleh MR Event dengan kerjasama PR Worldwide itu sempena dengan siri jelajah Asia Hail To The King yang juga merupakan album terbaharu A7X.

Pada 2012 kehadiran penonton yang hadir adalah sebanyak 15,000, namun kehadiran penonton tahun ini nampaknya menurun dengan jumlah kira-kira 6,000 orang sahaja.

Perjalanan persembahan masih memakan masa selama dua jam tetapi daripada segi kemeriahan, persembahan pertama mereka di sini dilihat lebih istimewa berbanding kali ini.

Dianggotai oleh Matt Shadows (vokalis), Zacky Vengeance (gitar), Synyster Gates (gitar utama), Johnny Christ (bes) dan Arin Ilejay (dram) persembahan mereka dimulakan pukul 9 malam.

Penampilan mereka dilaung dengan sorakan peminat yang berpakaian serba hitam. Adrenalin penonton terus meningkat apabila lagu hit mereka, Critical Accalaim didendangkan.

Seakan tidak puas, penonton terus menghayun kepala mereka mengikut irama lagu seterusnya, Welcome To The Family. Walaupun tempo lagu seakan dikurangkan untuk konsert kali ini, ia tetap mendapat laungan penonton.

Perjalanan persembahan direhatkan seketika dengan lagu Buried Alive sebelum diikuti pula dengan lagu ‘berhantu’ mereka, Since The Day.

Tidak menunggu lama, hiburan diteruskan dengan dendangan lagu Nightmare, Chapter 4 yang terus menghangatkan suasana.

Matt dilihat mengambil langkah yang sama seperti konsert sebelum ini. Komunikasi dengan penonton tidaklah begitu mengagumkan.

Bertanyakan sama ada peminat sudah penat dan tidak ada usaha untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu sebagai upaya untuk menarik penonton.

Penonton terus dihiburkan dengan lagu I’m Not Insane, Afterlife, This Means War dan Almost Easy.

Nyata gimik A7X menjadi ketika persembahan mereka dijangkakan tamat. Beberapa peminat dilihat sudah beredar dari ruang konsert sebelum mereka tampil kembali.

Mereka akhirnya menamatkan konsert dengan lagu Hail To The King dan Little Pieces Of Heaven. Malah, mereka juga sempat berinteraksi seketika dengan peminat sebelum konsert ditamatkan.

Keseluruhannya, konsert kali ini dilihat berjaya tetapi kurang meriah berbanding konsert terdahulu mereka. Malah, pilihan lagu juga dilihat lebih kurang sama dengan senarai lagu konsert sebelum ini sedikit membosankan kerana ada penonton yang mahu melihat persembahan lebih segar daripada A7X.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati