Festival yang akan membuka tirainya pada 16 September dan akan berakhir pada 21 September ini bakal mempersembahkan dua konsert bercorak unplugged, satu konsert MPO serta pameran sepanjang minggu.

Penganjuran DFP Seni Fest 2014 ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September dan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut Pengarah DFP, Carl Selvarajah, konsert unplugged yang bertemakan Akustika itu bakal menampilkan ramai artis dari bakat baharu hingga kepada nama besar dalam industri seni tanah air.

“Mereka akan mempersembahkan lagu-lagu popular yang merangkumi pelbagai genre muzik daripada indie, pop, rock dan R & B hingga jaz. Ia menunjukkan artis berbakat besar diberi peluang membuat persembahan di pentas bertaraf antarabangsa dan disokong oleh akustik DFP yang ampuh.

"Terbahagi kepada dua slot iaitu bagi slot Akustika 1 yang dijadualkan berlangsung pada hari Selasa depan, akan menampilkan gandingan kumpulan dan artis indie. Ia seperti OAG, Man Kidal, Sharin Band, Andy Flop Poppy, Az Samad, Diandra Arjunaidi, Lab The Rat, Bassment Syndicate, Seven Collar T-Shirt dan MonoloQue," katanya.

Bagi slot Akustika II yang bermula 20 September, akan diserikan dengan persembahan Hujan, Jay Jay, Fredo, Elvira Arul, David Gomez, Bunkface, Atilia, Ning Baizura dan Zainal Abidin.

Jelas Selvarajah, pihak penganjur begitu berbesar hati kerana penyanyi seperti Ning Baizura, Zainal Abidin, Bunkface dan Hujan sudi bekerjasama dengan DFP.

“Penglibatan mereka dalam konsert ini adalah kejayaan kepada DFP sendiri. Walaupun Zainal dan Hujan pernah mengadakan persembahan di sini, tetapi Akustika 2 menampilkan sisi berbeza dengan konsert yang diadakan sebelum ini," katanya.

Festival ini akan diakhiri dengan konsert MPO yang bertemakan Malaysia Tanah Airku pada 21 September, pukul 8.30 malam yang mempersembahkan lagu-lagu patriotik dan tradisional yang telah diberikan nafas baru.

Peluang keemasan

Pendatang baharu, Diandra Arjunaidi, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja kerana terpilih dan merupakan artis termuda membuat persembahan di DFP.

“Rasa amat bertuah dan gementar kerana di usia muda ini, saya diberi peluang untuk beraksi di pentas yang sangat berprestij.

“DFP merupakan pentas idaman kepada penyanyi tempatan terutama golongan muda seperti saya. Buat pertama kalinya nanti pada malam itu saya akan mendendangkan lagu terbaharu saya iaitu Sunyi," katanya yang sibuk menjalani latihan untuk persembahan itu nanti.

Lagu-lagu lain yang akan didendangkan oleh Diandra adalah Angkasa, Serba Salah serta Mencari Konklusi yang merupakan nyanyian asal kumpulan Hujan.

Bagi Andy Flop Poppy yang juga merupakan kali pertama bakal beraksi di pentas DFP turut tidak terkecuali untuk berasa gementar.

“Pada saya semua penyanyi akan berasa gementar setiap kali mengadakan persembahan, tidak kira di mana sahaja.

“DFP ini merupakan satu pentas yang berprestij, lagilah perasaan gementar itu berganda-ganda.

“Walaupun saya sudah lama terbabit dalam bidang ini, gementar itu sudah menjadi perkara biasa kerana setiap tempat yang kita mengadakan persembahan ada auranya ditambah pula dengan penonton yang berbeza-beza," katanya.

Andy bakal mengadakan persembahan bergandi­ngan dengan Az Samad menerusi lagu seperti Getaran Jiwa, Aku dan Kamu, Malam Bulan Dipagar Bintang dan Cinta.

Bersyukur dengan peluang yang diberi sekali lagi untuk beraksi di atas pentas berprestij DFP, Noh Salleh mewakili kumpulan Hujan berkata, persembahan kali ini adalah satu penghormatan kepada band Indie seperti mereka.

“Memang tidak disangka ini adalah pengalaman manis buat kami. Kami ingin buktikan bahawa kumpulan Indie juga mampu diterima oleh semua penonton.

“Muzik yang kami bawakan menjadi sebab kami terus dipilih membuat persembahan di sini biarpun masih baru berbanding penyanyi atau kumpulan sedia ada, pemilihan ini satu penghargaan buat kami.

“Satu lagi, pemilihan kami dalam konsert ini membuktikan kumpulan kami sebenarnya masih lagi bersatu," katanya menyangkal dakwaan yang mengatakan Hujan sudah berpecah.

Bagi yang ingin menonton persembahan Akustika 1 dan II, harga tiket yang ditawarkan adalah RM70 dan RM100, sementara pas festival pula berharga RM120 yang membolehkan pemegang menonton persembahan Akustika 1, II dan konsert MPO pada 21 September.

Semua tiket-tiket dan pas boleh dibeli [email protected] atau telefon talian 03-20517007.