Pernah mementaskan teater sama pada 2013, pengarahnya, Azhar Zainal sangat berbangga melihat komitmen dan kesungguhan pelakon walaupun latihan hanya berlangsung selama tiga minggu.

“Kehebatan para pelakon memberi kerjasama satu perkara yang harus saya banggakan. Walaupun jumlah tenaga produksi ini kecil, tetapi jiwa mereka semuanya besar sekali.

“Harapan saya, teater ini merupakan satu naskhah yang mampu memberikan impak positif kepada semua yang menontonnya. Kerana pelakon, pementasan kali ini adalah yang terbaik bagi saya,” katanya selepas selesai pementasan.

Itu kata si pengarah. Apa pula kata pelakon? Teater yang dibarisi pelakon seperti Remy Ishak yang membawa watak Selamat, Jihan Muse (Bibi), Nad Zainal (Mimi), Sherry Alhadad (sarjan Manisah), Atoi Tohet (Sarjan Hassan) dan Nasz Sally (Tasha) memang mencuit hati penonton dengan perwatakan masing-masing.

Paling mengejutkan penampilan Dafi sebagai Amy Amiro. Membawa watak seorang lelaki lembut memang satu cabaran besar buat Dafi.

Bagaimanapun, Dafi nampaknya berjaya membuktikan dirinya bukan sahaja seorang penyanyi tetapi pelakon yang mampu melakukan apa sahaja dengan terbaik ketika ada segelintir pelakon lelaki menolak membawakan watak lelaki lembut dalam drama mahupun filem.

Hits cuba dapatkan reaksi jejaka berusia 27 tahun itu dengan keberaniannya menyahut cabaran itu.

HITS: Tahniah kerana berjaya membawa watak lelaki lembut. Apa perasaan Dafi selepas selesai mementaskannya?

DAFI: Terima kasih. Tidak tahu nak cakap apa. Pada mulanya, saya memang takut untuk membawakan watak itu kerana risau akan pandangan masyarakat. Tapi, apabila semuanya selesai, saya berasa lega. Saya sudah buat kerja dan menyampaikan watak yang diberikan.

Berasa sudah melakukan yang terbaik?

Ya, saya buat watak itu dengan sehabis baik berdasarkan permintaan pengarah. Jujurnya, saya penat melakonkan watak ini. Dengan tunjuk ajar pengarah walaupun masa latihan terhad, alhamdulillah, ini adalah pementasan paling hebat pernah saya ikuti.

Namun, ada beberapa babak menampilkan awak begitu berlebih-lebih membawakan watak itu. Komen.

Saya tidak mahu hipokrit. Ya, memang ada. Tapi, itu pengamatan saya apabila berdepan golongan lelaki lembut. Memang ada di antara mereka yang bersikap over. Saya mengaku pernah membenci golongan itu dan tidak suka mereka. Tapi, apabila sudah memasuki industri, saya sudah berdepan ramai orang seperti itu. Saya buat biasa sahaja dan selesa berkawan dengan mereka. Tentang lebih-lebih, itu yang dimahukan pengarah, saya buat sahaja.

Apakah sumber rujukan untuk jadi lelaki lembut ni?

Sebelum ini, watak Amy dipegang oleh Karl Shafek dan saya banyak menonton cara dia membawa watak itu di Youtube. Saya bezakan pembawakan saya dengan Karl. Saya tidak mahu terlalu kelihatan sama dengan sebelumnya. Sebab itu, saya juga menambah ilmu dan meluangkan banyak masa dengan menonton lakonan Imuda sebagai Sam di dalam sitkom 2 + 1.

Tidak risau masyarakat akan melabelkan awak sebagai lelaki lembut selepas ini?

Saya tidak takut jika lakonan memberi impak kepada diri sendiri hingga digelar lelaki lembut. Apabila saya bersetuju berlakon dalam teater ini, tak timbul isu takut dicop lelaki lembut. Saya hanya sebagai pelakon dengan menjayakan watak diberikan.

Saya pasti, masyarakat hari ini sudah bijak dan tahu membezakan kehidupan sebenar dan lakonan. Jika masih ada tak dapat membezakannya, itu saya tak boleh nak kata apa. Mulut orang memang susah kita hendak tutup. Bila mahu mengata, mereka akan berkata sampai bila-bila. Biarlah. Tiada kaitan pun dengan mereka.

Turut ditonton oleh ayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), apa perasaan Dafi?

Memang takut kerana tidak tahu ayah akan menjadi sebahagian daripada penonton malam ini. Saya pun tunggu juga reaksi daripadanya. Apabila selesai pementasan, ayah gelak dan ucap tahniah selain bertanya adakah saya menyukai pementasan itu. Sebelum ini, nenek juga risau dengan watak yang saya bawa tetapi atas urusan kerja dia memahami semuanya.

Apakah watak sebegini mampu membawa Dafi pergi lebih jauh dalam industri lakonan?

Berlakon teater bukan perkara mudah tetapi apabila kita bekerja keras untuk mencapainya, ia pasti akan membuahkan hasil yang baik. Sampai sekarang, tawaran saya untuk teater sangat konsisten dan boleh kata setiap tahun pasti saya akan berlakon di atas pentas teater. Semuanya semakin juga semakin baik. Pertama sekali, terima kasih kepada pengarah dan pelakon yang pernah bekerjasama dengan saya dalam beberapa pementasan teater. Banyak ilmu yang telah saya peroleh dengan belajar bersama orang berpengalaman dalam teater. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED