Bertemu dengan Bella sendiri beberapa minggu sebelum perkongsian sedih itu, sukar sebenarnya untuk mengagak perkara yang bermain dalam fikirannya. Malah setiap kali ditanya soalan mengenai perkahwinan, wanita berasal dari Sabah ini cukup kuat untuk tidak mendedahkan apa yang sedang dilaluinya.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan Bella ketika ditanya mengenai kehidupan berumah tangga sudah menggambarkan dia hanya mahu memberi fokus hanya kepada dirinya sendiri.

Berpeluang berbual dengan Bella selepas pendedahan perceraiannya itu, ternyata kali ini, Bella lebih senang untuk memperkata tentang perkara yang sedang direncanakan oleh dirinya selepas bergelar janda.

Cukup yakin dan berani, ternyata dugaan yang ditempuhinya ini tidak sedikitpun menutup ruang untuknya terus membina kerjaya dan mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Alhamdulillah saya okey, bagi saya, ini yang sudah ditakdirkan Allah dan pada saat ini, saya juga diberikan kekuatan dalam kelancaran proses perceraian yang berlaku.

“Ini adalah yang terbaik untuk saya dan Nazim sendiri,” katanya tenang kepada Mega HITS.

Enggan menjawab soal permasalahan rumah tangganya, kongsi Bella atau Nabilah Ali Dally, 27, walau apa juga yang berlaku dia masih tertakluk untuk menjaga kehormatan bekas suami dan dirinya.

Malah jelas Bella, bukan niatnya untuk memilih 1 Ramadan bagi mendedahkan status sebenar perkahwinan mereka kepada peminat.

“Soal masalah memang tidak manis untuk saya kongsikan kepada khalayak kerana ini adalah soal perkahwinan saya dan Nazim.

“Tidak perlu juga memburukkan sesiapa ketika ini memandangkan kami sudah memilih jalan ini.

“Pemilihan 1 Ramadan sebagai tarikh untuk mendedahkan status sebenar perkahwinan kami juga tidak dirancang pada awalnya. Memang selepas berbincang dengan Nazim, saya bersetuju untuk berkongsi dengan peminat secara serentak,” katanya lagi.

Harapan Bella buat Nazim

BERCAKAP mengenai fokus dirinya kini, kata Bella, tidak perlu dia merintih dengan perkara yang sudah ditakdirkan buat dirinya. Malah ketika ini adalah penting untuknya berada dalam keadaan gembira dan melalui kehidupan yang lebih positif.

“Fokus utama saya kini adalah untuk menjadi lebih positif dan lebih gembira. Selain itu juga saya mahu memberikan tumpuan lebih kepada kerjaya serta perniagaan biskut saya, Crumbs by Bella pada bulan Ramadan ini,” jelasnya yang sempat ke Singapura hujung minggu lalu untuk menyertai festival Ramadan di republik berkenaan.

Jika Nazim sudah menjelaskan dia mahu Bella mengejar impiannya selama ini, ternyata Bella juga mengharapkan yang sama buat bekas suaminya itu.

Namun ketika ditanya, apakah yang diharapkan mengenai hubungannya dengan Nazim selepas perceraian ini, ternyata Bella tidak ada jawapan terhadap soalan itu.

“Saya juga mengharapkan yang baik untuk kehidupan dan kerjaya dia. Mengenai hubungan kami selepas perceraian ini, rasanya tidak perlu saya kongsi. Cukup hanya saya dan Nazim saya yang tahu,” katanya ringkas.

Makmum Yang Paling Aku Cinta paling mencabar

MENDAPAT pujian ketika ini melalui watak Siti Nailufar yang dibawakan dalam drama Makmum Yang Paling Aku Cinta, ternyata bakat lakonan yang dimiliki Bella tidak perlu disangkal.

Berkongsi pengalaman menjayakan drama 30 episod itu, kata Bella Dally, dia cukup teruja untuk menjayakan watak Siti Nailufar memandangkan watak yang dipegang itu memerlukan dia bermain dengan ekspresi wajah tanpa dialog.

Jelasnya, watak tersebut juga antara watak berat yang pernah dibawakannya memandangkan memerlukan dia menangis hampir 70 peratus daripada keseluruhan drama ini.

“Watak saya bisu. Tetapi dalam menyampaikan babak dalam drama ini saya perlu memastikan ekspresi wajah saya sampai kepada penonton.

“Yang boleh saya cakap bukan sesuatu yang mudah tetapi sangat puas hati apabila dapat melaksanakannya,” katanya.

Turut memuji rakan pelakon dalam drama itu, Bella akui, keserasian yang wujud antara dia dan Nazrief Nazri sedikit sebanyak membantu dia menjayakan watak Siti Nailufar.

“Memang menangis sahaja setiap kali masuk set dan itu membuatkan saya selalu berasa dalam tekanan. Tetapi perkara itu menjadi lebih mudah kerana mendapat bantuan dan sokongan daripada rakan pelakon,” katanya.