Jabatan Muzium Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan daripada Maher Seni Production Sdn. Bhd. bertarikh 31 Mei lalu untuk sewaan auditorium bagi maksud mengadakan suatu program yang dinamakan sebagai program sesi bertemu peminat artis Thailand, ‘Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’.

Menurutnya, syarikat tersebut memberitahu, program terlibat bertujuan memperkenalkan Malaysia kepada peminat-peminat artis Thailand yang hadir dari negara-negara Asia.

"Antara aktiviti yang dijadualkan diadakan sepanjang program tersebut adalah sesi temubual antara artis Thailand dan peminat, sesi foto berkumpulan serta menandatangan poster, buku bergambar dan majalah.

"Selain itu, dijadualkan terdapat mini konsert selain ‘fun games’ antara artis dan peminat di atas pentas dan tayangan video ‘Malaysia Truly Asia’," katanya di sini hari ini.

Berita berhubung penganjuran sesi bertemu peminat bersama dua pelakon utama drama Thailand SOTUS: The Series yang bertemakan hubungan homoseksual iaitu Krist dan Singto di Auditorium Muzium Negara pada 20 Oktober depan menjadi tular dalam laman Instagram sehingga menerima pelbagai reaksi netizen.

Poster promosi kemunculan kedua-dua pelakon itu dengan perkataan ‘Kissing Krist & Singto 1st Fan Meeting in Malaysia’ dikongsi di Instagram.

SOTUS: The Series mula ditayangkan di Thailand pada 20 Ogos 2016 dan mendapat sambutan hangat di Thailand. Dalam drama tersebut Singto memegang watak Kongpob Suthiluck manakala Krist membawa watak Arthit Rojnapat.

Arthit Rojnapat merupakan pelajar senior yang mempunyai sifat suka membuli manakala Kongpob Suthiluck pula pelajar junior di sebuah Fakulti Kejuruteraan.

Setiap pelajar junior perlu melalui S.O.T.U.S iaitu akronim untuk Seniority, Order, Tradition, Unity dan Spirit untuk diterima masuk ke dalam Fakulti Kejuruteraan.

Kongpob Suthiluck terpaksa berhadapan dengan Arthit Rojnapat bagi membolehkan beliau diterima di fakulti tersebut. Hubungan senior-junior yang pada mulanya tegang dan bermusuhan kemudiaannya bertukar kepada hubungan romantik.- UTUSAN ONLINE