Meskipun sudah menjengah usia 64 tahun, Jalaluddin tetap relevan untuk mencurahkan baktinya dalam seni lakon.

Hampir tiga dasawarsa bergelar aktor versatil, ‘otai’ ini sentiasa berpegang pada prinsip untuk tidak meletakkan ‘demand’ yang tinggi apabila berbicara tentang soal bayaran kerana memahami senario industri ketika ini.

Mementingkan kualiti berbanding kuantiti, Jalaluddin juga tidak mahu mencetuskan masalah kepada pihak tertentu meskipun sedia maklum tentang keluhan beberapa pelakon veteran yang kecewa dengan bayaran tidak sepadan dengan hasil pekerjaan.

“Seni adalah periuk nasi saya sejak 28 tahun lalu. Saya tidak ada rahsia untuk mampu bertahan lama sampai sekarang Cuma satu yang saya pegang, sentiasa menghormati orang lain, itu sahaja rahsianya.

“Saya faham perasaan rakan-rakan seangkatan yang berasa tidak puas hati dengan bayaran yang diterima. Namun, sebagai seorang pelaku seni, pada hemat saya, hal ini boleh diselesaikan dengan baik.

“Tidak usahlah diperbesarkan kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan tak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak,” ulasnya yang tidak menyebelahi mana-mana pihak baik penerbit mahupun pelakon.

Ditanya apakah beliau pernah berhadapan dengan situasi sedemikian, pelakon filem Panggilan Pulau itu pantas mengiakan.

“Ya, saya juga tidak terlepas seperti rakan pelakon lain. Rata-rata yang menawarkan saya kerja seni adalah kenalan rapat, maka agak sukar untuk saya menolak ajakan terbabit.

“Perbincangan adalah ‘senjata’ penting. Kami akan duduk berbincang sehingga kedua-duanya bersetuju dan puas hati dengan keputusan yang dibincangkan.

“Andai masih ada yang kurang berpuas hati, tidak salah untuk menolak dengan baik sekiranya itu yang membuatkan diri kita rasa berlapang dada.

“Tak perlu menghebahkan dalam media sosial kerana ia akan memberi kesan negatif. Rezeki Allah itu luas, maka kita kena yakin kalau satu terlepas, insya-Allah pasti akan ada yang menanti kelak,” tuturnya berkongsi buah fikiran.

Beralih tentang perkembangan seni pula, Jalaluddin cukup berbesar hati apabila wataknya sebagai Hang Tuah menerusi filem XX-Ray II, 24 tahun lalu akan ditampilkan semula untuk XX-Ray III.

Filem arahan pengarah Aziz M. Osman itu pernah mendapat sambutan pecah panggung dan sebagai melengkapkan siri naskhah tersebut sebagai sebuah trilogi.

“Watak Hang Tuah membawa nilai sentimental buat saya selepas lebih dua dekad XX-Ray II ditayangkan kepada penonton.

“Apabila pengarah mahu mengembalikan semula nostalgia filem ini, saya terharu dan berbangga kerana watak saya itu masih dikekalkan untuk tontonan pengikut cerita-cerita tempatan,” kongsinya.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 24 Januari turut membariskan pelakon antaranya Izzue Islam, Nonny Nadirah, Datuk Rahim Razali, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana, Ashraf Muslim, Adam John, Saiful Apek dan Razak Ahmad.

Jalaluddin juga terbuka berkongsi kehidupan baharu selepas bernikah dengan isterinya, Datin Rapidah Abd. Ghani pada 12 November 2017.

Mengakui hidupnya kembali tenang dan teratur apabila kesemua aktiviti hariannya diuruskan sendiri oleh isteri tercinta, Jalaluddin tidak pernah merasai erti bosan dan jemu meskipun ‘diekori’ suri hatinya ke mana sahaja dia pergi.

“Syukur Alhamdulillah, keperluan harian saya semuanya kembali tersusun dengan adanya isteri.

“Malah, isteri juga tidak kisah untuk turut serta mengikut saya bekerja. Saya selesa dan okay sahaja apabila dia berada di sisi.

“Saya bersyukur bertemu jodoh dengan wanita yang sudi menjadi teman hidup dalam usia saya yang semakin lanjut.

“Saya juga lega apabila doa arwah ayah (Tan Sri Hassan Azhari) yang mahu melihat saya kembali beristeri sebelum meninggal dunia, tercapai,” kongsinya.