Keith Foo
KEITH FOO menafikan yang rumah tangganya kini bergolak.
Keith yang popular dengan drama Ariana Rose berkata, hubungan mereka masih baik dan tidak timbul sebarang perselisihan besar antara mereka suami isteri.

“Saya sekarang ini pun sedang berada bersama isteri. Tengah sibuk-sibuk untuk berangkat ke Perth, Australia untuk penggambaran drama baharu. Semua dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Saya faham dan sedia maklum inilah antara cabaran bergelar seorang selebriti. Hubungan kami suami isteri masih baik,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE hari ini.

Spekulasi tersebut mula menjadi perbualan apabila Kim dilihat berhenti mengikuti Keith di laman sosialnya dan memuat naik beberapa gambar yang didakwa merujuk kepada situasi hubungan mereka suami isteri.

Dalam perkembangan lain, Keith juga tidak sabar untuk kembali aktif berlakon setelah hampir dua tahun mengurangkan aktiviti berlakon lantaran komitmen sebagai suami dan kini bergelar ayah.

“Saya sekarang sedang sibuk penggambaran drama Jangan Pendam Rindu terbitan Suhan Movies. Selepas ini pun, saya akan terlibat dengan beberapa drama bersama produksi sama,” katanya.-UTUSAN ONLINE