Memenangi banyak anugerah pada 2016, filem arahan Sanjay Leela Bhansali itu diangkat antara filem terhebat dalam sejarah perfileman sehingga berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Menariknya, filem yang bercerita tentang sejarah empayar lama kerajaan India bertemakan cinta tiga segi inilah yang menyaksikan kemuncak kehebatan lakonan dua aktres popular Bollywood, Priyanka Chopra dan Deepika Padukone.

Ia merupakan pertemuan paling dinanti selepas kali pertama mereka membintangi filem Koffee With Karan pada 2014.

Memegang peranan sebagai Mastani (Deepika) dan Khasibai (Priyanka), kedua-duanya cemerlang menjiwai watak berdampingan dengan Ranveer Singh yang melakonkan watak Bajirao.

Berperang dengan sentimen poligami dan perbezaan agama yang diterapkan di dalam filem, siapa sangka, hubungan antara aktres ini di dunia nyata sebenarnya juga tidak begitu baik.

Keadaan begitu ketara apabila kedua-duanya menamatkan zaman bujang pada tahun yang sama. Namun tidak ada antara mereka saling menerima kad undangan ke majlis perkahwinan masing-masing.

Berlangsung kurang sebulan, Deepika yang berkahwin dengan ‘Bajirao’ pada 14 November lalu kononnya dikatakan tidak mahu kalah dengan Priyanka yang menamatkan zaman bujangnya dengan Nick Jonas.

Walaupun majlis perkahwinan Priyanka berlangsung kemudian (1 Disember), Deepika dikatakan tidak mahu tertinggal di belakang majlis wanita yang satu itu.

Tidak pasti apa punca sebenar yang mencetus perang dingin antara mereka, pada mata peminat dua figura ini ketara saling bersaing untuk menjadi si pencuri perhatian umun dan pihak media.

Perasaan kekok mula terasa saat Deepika dikatakan tidak dijemput ke majlis pertunangan Priyanka dan Nick sedangkan kekasihnya Ranveer menerima jemputan daripada aktres itu.

Ini dianggap pelik kerana semua tahu Deepika dan Ranveer saling bercinta namun hanya seorang sahaja yang menerima jemputan.

Darjah kepanasan semakin terasa apabila aktres itu didakwa sengaja mahu mengadakan majlis resepsinya pada 1 Disember di Mumbai meski sudah tahu ia juga tarikh pilihan Priyanka untuk melangsungkan hari bahagia.

Ketepikan soal majlis siapa lebih hebat kerana dapat dilihat menerusi gambar-gambar yang dimuat naik, mereka seolah-olah saling berlumba untuk kelihatan gah.

Cuma, andai ada yang mempertikaikan perkahwinan siapakah di antara mereka yang lebih mendapat tumpuan, rata-rata peminat menganggap Priyanka menang dalam hal ini.

Biarpun sama-sama kelihatan jelita dalam persalinan bak puteri impian, perkahwinan aktres drama bersiri Quantico itu lebih mendapat perhatian ramai kerana mempunyai elemen pertembungan dua budaya.

Wujud pandangan yang mana selain mahu menyaksikan keunikan perkahwinannya, sesetengah pemerhati dunia hiburan sinis mahu berkira-kira berapa lama perkahwinan mereka mampu bertahan.

Kononnya, aktres berkenaan berkahwin dengan Nick kerana ada agenda bisnes selain mahu mendapatkan hak kerakyatan di Amerika Syarikat (AS) sementelah kariernya di Hollywood sedang berkembang.

Malah, ada juga tuduhan mengatakan perkahwinan itu satu bonus buat Priyanka kerana ia adalah jambatan yang mampu menyambung dua dunia seni Bollywood dan Hollywood.

Deepika mungkin popular dan gah dalam industri seni Bollywood, tetapi tidak begitu menyerlah sebagaimana populariti yang dicipta oleh pesaingnya itu.

Tambahan pula, melihat kepada rekod skandal panas Priyanka sebelum ini termasuk pernah berhubungan sulit dengan aktor Shah Rukh Khan, siapa yang tidak mahu ambil tahu mengenai dirinya?

Dilihat saling bersaing, tidak dinafikan kedua-dua pengantin baharu ini punya aura tersendiri dalam menarik perhatian ramai. Terpulang bagaimana cara peminat menilai siapakah antara mereka yang paling hebat.

Apa yang pasti, ramai mahu tahu adakah perkahwinan dan gelaran isteri orang mampu mengubah diri mereka menjadi individu lebih baik sekali gus berusaha untuk berdamai?