Penyanyi lelaki terkenal, Tomok diberi kepercayaan untuk membawakan lagu tersebut yang mendapat sentuhan sepenuhnya oleh Faz Alberto atau lebih dikenali sebagai GG Sixth Sense.

Bertemu dengan penyanyi tersebut ketika majlis pelancaran single lagu dan klip video di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini melahirkan rasa terharu kerana memilih dia menyanyikan lagu berkenaan.

“Saya sudah merakamkan lagu ini lebih setahun lalu. Saya sangat berterima kasih kepada pihak penerbit yang mempercayai saya untuk menyanyikan lagu filem tersebut.

“Saya menyukai melodi lagu ini selepas diperdengarkan oleh GG. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk terima dan anggap ini sebagai peluang keemasan dapat menyanyikan lagu tema filem Isyarat Cinta,” kata Tomok.

Sebelum ini Tomok pernah merakamkan lagu tema filem Sejoli berjudul Biarkan Sejoli dan filem lakonannya sendiri, Istanbul Aku Datang (Aku Datang).

Menurut Tomok lagi, dia turut memberikan pendapat bahawa lagu tema yang dinyanyikan oleh seseorang penyanyi itu mempunyai kepentingan sendiri iaitu dapat menarik ramai penonton ke pawagam.

“Selain lagu Tak Harus Memiliki, saya pernah rakamkan dua lagu tema lain. Alhamdulillah lagu-lagu itu semua berjaya dan sekaligus mampu mempengaruhi ramai penonton untuk menyaksikan sendiri filem tersebut.

“Bagi saya, setiap lagu tema itu sangat penting sebab bila promosi dilakukan dengan baik, pasti penonton ternanti-nanti untuk tonton filem,”jelasnya lebih lanjut.

Dalam pada itu mengulas lanjut pembikinan lagu ini, GG terlebih dahulu menonton filem ini dan mencipta lagu tersebut mengikut jalan ceritanya.

“Saya tonton dahulu filem ini dari awal hingga akhir. Kemudian saya cipta lirik mengikut jalan cerita Isyarat Cinta sebab lagu ini memang saya tumpukan kepada lirik.

“Saya buat lagu ini pun selepas penerbit, Rosyam Nor minta untuk saya buatkan lagu. Sebelum ini saya pernah bekerja dengannya untuk filem Balistik,” katanya.

Filem Isyarat Cinta merupakan sebuah filem arahan Bade Azmi mengisahkan tentang kisah percintaan pasangan buta dan bisu lakonan Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar.

Filem dibawa syarikat produksi Suhan Movies ini turut bekerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) ini bakal mengadakan tayangan amal perdana pada 4 Mac depan di pawagam Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Objektif utama tayangan amal ini adalah bagi mengumpul tabung WHAM untuk disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri tanah air selain menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Tempahan tiket amal berharga RM100 boleh ditempah melalui Amie (012-2578884) dan Bohari (017-2429699) untuk keterangan lanjut berhubung penjualan tiket.

Selain tiket bernilai RM100, turut dijual tiket untuk tempat duduk khas iaitu RM300, RM500 dan RM1,000. Setiap pembelian juga, penonton berpeluang menonton bersama ke semua barisan pelakon serta mendapat cenderahati dan makan malam.