Nyata aktor kacak ini tidak mensia-siakan penglibatannya selama ini dalam bidang seni dan tidak hanya berada di takuk lakonan sahaja. Justeru, lelaki dia nekad menyahut suara hatinya dan mencabar kebolehan diri untuk berada di kerusi sebagai pengarah.

Mengangkat kisah kepolisan, Aaron nampaknya selesa untuk mengarahkan filem berbentuk aksi komedi sebagai taruhan sulung.

Tidak hanya duduk di kerusi pengarah, Aaron turut beraksi dalam filem tersebut bersama dengan gandingan serasi pelawak Nabil Ahmad. Ia adalah satu tugas yang dua kali mencabar, bukan?

Pemilihan Nabil sebagai teraju utama bersamanya dilihat sebagai satu percaturan yang sangat baik kerana kekuatan humor yang ada pada diri seorang pelawak seakan sudah sebati dengan Nabil.

Filem terbitan Excellent Pictures itu turut memaparkan elemen cinta dan jenaka dilihat mampu menarik penonton ke pawagam dan sesuai untuk tontonan seluruh isi keluarga.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur selama 27 hari menelan kos sebanyak RM.17 juta, filem ini boleh dikatakan sempurna dan mampu membuatkan ramai yang terhibur.

Bermula dengan kisah dua orang anggota polis, Koperal Sharomi atau Romi (lakonan Aaron Aziz) dan Lans Koperal Fakhrul (lakonan Nabil Ahmad) yang ditugaskan untuk membanteras kes melibatkan najis dadah dalam kalangan pelajar kolej hingga menyebabkan seorang pelajar terkorban. Mereka telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat dan mencari siapa yang bertanggungjawab membekalkan dadah kepada pelajar.

Demi tanggungjawab yang diberikan, mereka telah melakukan penyamaran di mana Romi menyamar sebagai pensyarah di Kolej Bestari dan Fakhrul sebagai pelajar. Dengan kod tugasan ‘kriptik’, tempoh selama sebulan diberi untuk menyelesaikan misi terbabit dan membongkar segala persoalan.

Kisah penyiasatan yang sedikit sebanyak menyelitkan elemen dari filem Hollywood seperti Rush Hour dan Bad Boy menjadikan filem ini tambah menarik dengan beberapa sentuhan berbeza.

Pelbagai cara dilakukan untuk memastikan misi yang dijalani tidak dihidu oleh orang sekeliling meskipun dalam masa yang sama ada unsur cinta bagi mewarnai plot cerita.

Babak kejar-mengejar antara polis dan penjenayah di awal penceritaan sudah mampu membuatkan penonton duduk selesa di kerusi pawagam dan menonton hingga habis tayangan.

Walaupun baharu pertama kali mengarah, Aaron nyata tidak mengecewakan apabila mengambil risiko dengan melakukan aksi kejar-mengejar kereta dan babak pergaduhan dengan penjenayah.

Pada pendapat saya, sukar sebenarnya untuk mengambil syot yang menarik untuk babak aksi dan ini emerlukan pengalaman yang banyak untuk pastikan aksi yang dirakamkan kelihatan ‘hidup’.

Aaron berjaya ‘mencuri’ mata penonton sewaktu babak pergaduhan dengan penjenayah membuatkan semua teruja menyaksikan elemen aksi tersebut yang memang jika dilihat agak sukar untuk dilakukan.

Cara kamera yang diletakkan di setiap sudut serta penggerakan kamera untuk merakamkan aksi tersebut juga harus dipuji kerana berjaya menghasilkan satu ‘visual’ yang menarik.

Biarpun ada sedikit kelam-kabut ketika babak pergaduhan, tapi ia satu percubaan yang baik pernah Aaron arahkan biarpun baharu pertama kali. Masih banyak lagi peluang yang boleh Aaron perbaiki untuk filem seterusnya.

Dalam suasana tegang ketika babak gaduh, pemilihan Nabil sebagai rakan gandingan sangat tepat memandangkan elemen lawak yang ada dalam dirinya mampu menggeletek gelak-tawa penonton dengan dialog bersahaja.

Lari sedikit dari jiwa ‘pak lawak’, Nabil sebenarnya mampu melakonkan watak serius biarpun tanggapan peminat dari awal mengatakan dia hanya sesuai menjadi seorang pelawak selamanya.

Di tengah-tengah cerita pula, pelbagai aksi yang lebih mencabar dilakukan oleh Nabil dan Aaron ketika bertarung dengan ketua sindiket dadah. Biarpun dibantu oleh beberapa orang lagak ngeri, ia sedikit tidak mencacatkan pergerakan pelakon.

Namun, masih ada lagi kelemahan yang perlu diperkemaskan menerusi babak cinta yang cuba ditonjolkan, tetapi kisah tersebut bagaikan tiada pengakhiran.

Watak Ema (lakonan Shenthy Feliziana) yang muncul di antara kisah cinta Romi dan Fakhrul tidak dikembangkan dan membuatkan penonton tertanya-tanya apakah kesudahan yang terjadi kepada Ema usai tayangan berakhir.

Secara kesimpulannya, filem Romeo Kota: Kes Fail Kriptik ini sememangnya menjadi dan boleh dibanggakan. Tidak terlalu sarat dengan elemen berat dan mampu membuatkan penonton keluar dari pawagam dengan perasaan puas hati.

Dari segi teknikal juga sudah di tahap memuaskan ditambah lagi dengan lagak ngeri yang pasti menjanjikan debaran buat penonton.

Jadi jika anda semua tertunggu-tunggu hasil sulung dari Aaron, saksikan filem ini yang sudah ditayangkan sejak 8 Januari lalu di seluruh pawagam tanah air.

Selain tiga pelakon yang disebutkan di atas, Fizo Omar, Sofi Jikan, Hanis Zalikha dan Nina Juren antara yang turut membintangi filem berkenaan.