Selepas menguasai kemenangan pada Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi lagu Lelaki Teragung, terbukti kemampuan penyanyi ini tidak sekadar untuk bertahan hampir dua dekad malah juga selesa di liga tersendiri.

“Tiada strategi dalam kerjaya cuma saya amat mengambil berat setiap maklum balas yang diberikan semua pihak termasuk peminat kerana itulah yang menguatkan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik.

“Sejujurnya saya tidak pernah menganggap setiap peristiwa tidak enak yang berlaku dalam kerjaya saya sebagai memori pahit kerana setiap yang berlaku memberi peluang kepada saya untuk belajar tidak membuat kesilapan,” katanya.

Menolak perkataan eksklusif untuk kerjayanya, kata Dayang Nurfaizah, sebagai anak seni yang menjadikan bidang nyanyian sebagai lokasi untuk mencari rezeki, dia sentiasa menghormati kerjaya nyanyiannya.

Malah dia sempat menepis dakwaan yang mengatakan bahawa pada waktu ini, berikutan kejayaan-kejayaan yang dikecapi dalam bidang seni membuatkan dia kini menjadi penyanyi wanita paling mahal dibayar di Malaysia.

“Bukan saya rasanya... Sebab harga yang diberikan pihak pengurusan saya masih lagi sesuai dengan persembahan yang saya berikan. Jika ada pihak ketiga yang menaikkan harga, itu saya tidak tahu tetapi buat masa ini harga yang diberikan bersesuaian.

“Tidaklah mahal sebab memang ada persetujuan antara kedua-dua pihak,” katanya ringkas.

Sama seperti penyanyi lain, Dayang Nurfaizah akui, dia turut mengimpikan sebuah konsert solo buat peminatnya di negara ini. Jelasnya, selepas lima tahun dia masih belum mampu mengotakan janji terhadap permintaan peminat setianya yang selama ini sering bertanyakan soalan yang sama.

“Memanglah setiap penyanyi mengimpikan sebuah konsert. Kali terakhir saya terbabit 
dengan konsert pada 2014 dan sehingga kini saya masih belum boleh berjanji untuk mengadakan persembahan di pentas besar kerana ada perkara yang memerlukan pihak saya uruskan sebelum mampu menjadikan impian ini satu kenyataan.

“Perkara ini terutamanya membabitkan soal kewangan yang kita tahu nilai untuk menjayakan sebuah konsert bukan murah. Tentunya jika ada kesempatan saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengadakan konsert. Cuma buat masa ini saya tidak mampu menjanjikan apa-apa buat peminat lagi,” ujarnya yang berjaya membuktikan kehebatannya pada konsert di Singapura, 1 Januari lalu.

Dan saat bercerita tentang pengalaman yang dimiliki dalam bidang seni suara, Dayang Nuraizah atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty tentunya menjadi antara pilihan untuk bergelar juri pada pertandingan 
nyanyian.

Bagaimanapun dengan sikap lemah lembut yang dimiliki wanita berasal dari Kuching, Sarawak ini, dia mengakui, bukan satu kerja mudah untuk memberi komen terbuka kepada peserta memandangkan dia sangat takut untuk melukakan hati orang.

“Memang ada tawaran tetapi saya memang tidak mampu lakukan tanggungjawab itu dengan baik memandangkan saya tidak boleh melihat kekecewaan pada wajah mereka yang datang. Bagaimana untuk berkata tidak kepada usaha yang sudah 
diberikan.

“Jadi lebih senang untuk saya tidak menerima tawaran sebegitu. Sebab kita perlu beri komen yang jujur, baru betul,” ungkapnya.