Berbanding di negara luar yang menerima baik kemunculan ramai penyanyi rap wanita, Malaysia bagaimanapun dilihat masih janggal. Dalam situasi ini bila mana rata-rata yang muncul sebagai penyanyi pun lebih cenderung ke arah muzik genre pop mahupun balada.

Mungkin itu antara pilihan muzik yang lebih ‘selamat’, Hunny bagaimanapun masih berpegang dengan jalur perjuangan yang sama. Meski wujud andaian mengatakan ia tidak sesuai dengan jati diri wanita beradat ketimuran yang biasanya berciri lebih sopan, dia tak kisah akan itu semua.

“Betul, saya sendiri pernah menerima pertanyaan yang mana ramai fikir kenapa penyanyi rap wanita perlu kena nampak ganas dan berimej seumpama itu?

“Bagi saya, tidak semestinya begitu. Penyanyi rap pun ada kelas dan boleh tampil dengan imej lain mengikut kesesuaian. Kenapa tidak?

“Tapi itu bukan punca utama kenapa masih kurang pelapis dalam genre ini. Mungkin ada yang rasa hip hop dan rap ini muzik yang baru dan belum ramai penyanyi wanita yang berani untuk meneroka seni ini,”katanya.

Merasakan kumpulan Too Phat antara yang terawal mencetuskan genre ini buat peminat seni tanah air, penyanyi rap yang sudah bergelar ibu ini bagaimanapun yakin muzik ini sedang berevolusi dengan baik pada waktu ini.

“Mungkin lima tahun lagi akan ada ramai pelapis penyanyi wanita asalkan masyarakat kita bersedia untuk mengubah persepsi bahawa wanita juga boleh menonjol dalam genre muzik ini.

“Saya beruntung kerana walaupun tanpa mentor, tetapi mempunyai kelompok teman industri yang saling menyokong, membantu dan tak lokek beri tunjuk ajar.

“Ini penting kerana ia menunjukkan andai kita mempunyai sistem sokongan yang kuat, tidak mustahil kejayaan mampu diraih, lambat atau cepat,”katanya.

BAHASA ROJAK

TURUT ditanya sejauh mana dia melihat penggunaan bahasa rojak dalam penghasilan sesebuah lagu berbentuk rap itu wajar, wanita ini tahu ada sesetengah pihak tidak selesa dengan situasi ini.

Juga sedar bahawa selalunya karya yang mempunyai bahasa rojak tidak sepenuhnya diterima untuk pencalonan kategori lagu dalam anugerah besar dalam industri, Hunny meletakkan ia adalah pilihan pendengar itu sendiri.

“Rasanya, kalau lagu tu sedap dan bagus, tak ada isu pun dari segi bahasanya bagaimana. Kalau tak diiktiraf, masakan lagu Go Hard or Gostan yang merupakan lagu pertama gandingan saya dan Kayda dinominasi dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 pada tahun 2016?

“Seni ni macam-macam jenis. Kalau dikongkong, sampai bila seni kita ni hendak berkembang? Saya anggap ini adalah karya saya.

“Sekurang-kurangnya saya tidak hipokrit, bahasa percakapan harian pun menggunakan bahasa rojak. Kalau orang kata saya syok sendiri, memang pun sebab sebelum nak beri orang suka dengar lagu, saya sendiri kena syok dengan lagu yang dihasilkan,”katanya ketika ditemui dalam majlis amal Harlow & MGI Sdn. Bhd (HMGI) di ibu kota Selasa lalu.

Tahu bahawa dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, Hunny yakin satu masa nanti pendengar akan selesa dengan karya yang mempunyai kandungan bahasa rojak atas dasar percaya bahawa muzik akan sering berevolusi.

ANAK MULA TONJOL CIRI

BERKONGSI  mengenai kehidupannya, dia yang mempunyai dua orang cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga bersama suami, Khairul Azhar Abdul Wahid pada 2010, mengaku kebanyakan karektor dan personalitinya kini diwarisi oleh anak sulungnya, Eva Medina, 6.

Menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang muzik dan drama, Eva kata Hunny juga adalah sumber inspirasinya dalam kerjaya.

“Dia adalah penyokong nombor satu saya. Kalau saya nak buat persembahan, dia pun sama bersemangat. Dah boleh nampak minat dan kecenderungannya dalam bidang seni.

“Andai kata saya tak benarkan sekali pun, rasanya dia akan tetap teruskan minatnya itu. Dia gemar muzikal, berlakon, menari, menyanyi, berdrama, pendek kata semua yang berkaitan dengan bidang seni.

“Jangan tak tahu, dia juga seorang yang sangat vokal ya dan tak berhenti bercakap. Saya harap, satu hari nanti andai dia mahu ikut jejak langkah, biarlah dia jadi lebih baik daripada saya,”katanya.