Itu kenyataan yang diberikan oleh pemain bes XPDC, Zuar atau nama sebenarnya, Azuar Md. Tasi, 51, berkenaan dengan kewujudan dua kumpulan XPDC yang menggunakan anggota pemuzik yang berbeza.

Menurut Zuar, dia tidak mahu mencampuri konflik yang berlaku dalam XPDC sebelum ini tetapi dia mahu orang berfikir mengenai kewujudan Mael dalam kumpulan mereka.

“Saya mahu mereka fikir, penyanyi asal ada di sini dan kalau saya sendiri tidak bermain bersama Mael, sudah pasti saya tidak berani untuk mengaku sebagai anggota XPDC,” jelas Zuar.

Ditanya mengenai kekeliruan terutamanya bagi pihak penganjur, menurut Zuar tidak wujud erti kekeliruan apatah lagi penyanyi dan pengasas kumpulan XPDC ialah Mael.

“Mael adalah orang yang mengasaskan kumpulan XPDC. Jadi, buat apa hendak keliru lagi?” kata Zuar.

Selain Mael dan Zuar, XPDC turut dianggotai oleh Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Dalam pada itu, XPDC akan mengadakan konsert di Maeps, Serdang pada 3 Februari 2018 pada pukul 8.30 malam.

Konsert yang diberi nama Metal Legends Live In Concert itu turut menampilkan kumpulan Cromok yang bakal beraksi di pentas sama.

Tiket sudah mula dijual di www.ilassoticket.com dengan harga bermula RM68 hingga RM250. Tiket-tiket juga dijual di XPDC Kita Peng Yu Shop (Uptown Kota Damansara) dan XPDC Bundle & Alteration Jeans (Kajang).- UTUSAN ONLINE