Tentu sekali kelibat Mia Nasir, 25 tahun dan Afifah Nasir, 23, semakin terserlah sementelah mereka merencana mahu mengikut jejak yang sudah direntas oleh kakaknya. Paling tidak, laluan seni yang sudah diterokai oleh Anzalna dilalui dengan seribu satu harapan.

Tidak hanya mahu menempatkan diri sebagai antara bintang yang bakal bersinar, sudah pasti kedua-duanya mahu memperkasakan diri seperti kakak mereka yang dijadikan contoh dan teladan bagi mengharungi liku dunia seni.

“Apabila mereka mahu bergelar pelakon seperti saya, tentu sekali saya menyokong. Saya gembira kerana ada adik-beradik yang mahu mengikut jejak langkah saya untuk bergelar anak seni.

“Awal-awal lagi saya sudah menitipkan beberapa pesanan yang bidang seni bukan seindah yang disangka. Hanya untuk mereka yang benar-benar kuat akan mampu mengharungi onak dan duri.

“Jika tidak mempunyai kekuatan, biasanya tidak akan mampu bertahan lama. Apa-apa pun saya menyerahkan kepada Mia mahupun Afifah untuk mencorakkan sendiri hala tuju karier masing-masing,” kata Anzalna.

Sering menitipkan azimat agar mereka pandai membawa diri dan sentiasa menjaga disiplin, tegas pelakon ini tentunya kedua-dua perkara tersebut begitu penting bagi orang baharu seperti mereka.

Menolak jauh-jauh istilah besar diri dan ‘diva’ mereka perlu menghormati orang dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang diberikan selain perlu menjaga soal disiplin yang menjadi asas kepada kehidupan.

“Saya sangat mementingkan soal ketepatan masa dan disiplin dalam pekerjaan. Selama bergelar pelakon pun, perkara berkenaan masih menjadi kunci utama dan perlu dijaga sentiasa.

“Sebab itu saya mahu adik-adik saya juga melakukan hal yang sama. Jangan menyusahkan orang lain dan jangan sesekali memberikan masalah bila melibatkan pekerjaan. Kesannya mereka sendiri yang akan tanggung,” ujarnya.

Selain Anzalna, Mia dan Afifah, mereka turut mempunyai seorang kakak sulung, Diana Nasir, 30 tahun dan adik bongsu, Nazira Nasir. 19 yang masih menuntut dalam bidang perubatan.

Anzalna kembali

KEMBALI aktif setelah hampir enam bulan berehat selepas bernikah, Anzalna menganggap fasa berkenaan sebagai fasa untuknya berehat dan mengenal diri. Baginya dalam tempoh berkenaan dia banyak belajar selok-belok dalam menguruskan rumah tangga tatkala sudah bergelar isteri kepada Hanif Zaki Februari lalu.

“Sebelum bernikah saya bekerja keras hampir empat tahun lamanya. Tidak banyak perkara lain yang dapat dilakukan memandangkan saya sibuk berada di set dan menyudahkan banyak drama ketika itu.

“Hanya sekarang barulah saya kembali aktif ke dalam bidang lakonan. Kalau nak diikutkan tawaran yang datang memang banyak tetapi saya sudah berjanji untuk berehat seketika apabila sudah bergelar isteri.

“Dalam tempoh berkenaan saya belajar bermacam-macam perkara. Selain melayan suami, saya perlu menyediakan makanan dan menjaga pakaiannya,” katanya.

Bakal muncul dengan drama bersiri Arluna bergandingan dengan Saharul Ridzuan tidak lama lagi, dia tidak kekok untuk kembali semula ke set penggambaran.

Untungnya, suaminya tidak pernah menghadkan lakonan asalkan dia masih menjaga kerukunan rumah tangga.

Semangat Mia

BERLAINAN dengan Anzalna yang sentiasa fokus dengan yang dilakukan, Mia pula pernah merajuk daripada industri apabila gambar sosialnya dengan rakan-rakan tersebar dalam beberapa blog hiburan tanah air tiga tahun yang lalu.

Menganggap perkara itu sebagai kurang manis, semangatnya hampir luntur apabila kisah tersebut menjadi sebutan banyak pihak.

“Ketika itu saya baru sahaja bergelar pelakon dan terlibat dalam beberapa buah telefilem. Tiba-tiba gambar saya bersosial dengan rakan-rakan tersebar dan orang mula mencari hal-hal lain yang tidak sepatutnya.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk berehat sekejap. Mungkin waktu itu saya belum bersedia untuk menghadapi situasi begitu. Tapi sekarang semuanya sudah kembali sedia kala dan saya sudah bersedia untuk bergelar anak seni,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini lagi.

Mengimbau kembali perjalanan seni pelakon ini, Mia mula melibatkan diri menerusi telefilem Tudung Twit dan Cik Paris Diva Kampung yang juga merupakan produk kendalian Liyana Jasmay.

Pengalaman yang ditimba melalui telefilem berkenaan benar-benar menarik perhatiannya untuk mengikut jejak langkah yang sudah direntas oleh kakaknya.

Minat untuk meneroka bidang seni ketika itu memuncak sebaik sahaja dia menghabiskan pelajaran dalam bidang Seni Persembahan di Kolej Launceston, Australia.

“Kalau diikutkan memang saya sangat bersemangat ketika itu. Tetapi bila berhadapan dengan gosip yang kurang baik, perkara tersebut sedikit sebanyak menyentak semangat saya sehingga membuatkan saya nekad meninggalkan bidang ini.

“Hampir dua tahun juga saya bekerja dalam bidang perkapalan di sebuah syarikat terkemuka. Tapi bila sudah lama tidak berada di set, perasaan rindu tetap ada.

“Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberikan tumpuan kepada bidang seni. Nampaknya rezeki saya dalam bidang ini ada apabila menerima satu persatu tawaran. Ini yang membuatkan saya tambah bersemangat,” tambah Mia lagi.

Pernah membintangi drama popular seperti Ariana Rose dan Tentang Hati 2, rezeki Mia bertambah murah apabila dia diberikan peranan dalam drama bersiri Lara Aishah, Arluna dan beberapa telefilem yang lain.

Selain itu, dia juga turut memberikan tumpuan kepada bisnes Anzelhair yang diusahakan dengan adik-beradik yang lain lebih setahun yang lalu.

“Saya mengambil semangat kakak (Anzalna) untuk berjaya dalam bidang ini. Dengan usaha dan dorongan daripada semua pihak, menjadi penguat semangat untuk meneroka bidang ini,” tambahnya lagi.

Pengorbanan Afifah

JIKA mengikut perancangan, Afifah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Fifa mahu menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana sebaik sahaja menamatkan Ijazah Sarjana Muda awal tahun lalu.

Namun disebabkan sudah menerima tawaran untuk berlakon, dia terpaksa menangguhkan dahulu cita-citanya dek kerana mahu memberikan tumpuan kepada bidang ini.

“Kalau nak diikutkan penglibatan saya pun berlaku secara tidak sengaja. Waktu itu saya baru sahaja menghabiskan kuliah dan menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.

“Tapi ada pula yang berikan tawaran berlakon dan saya hanya mencuba nasib. Tak sangka daripada sekadar cuba-cuba pula akhirnya menimbulkan minat,” cerita Fifa lagi.

Pada awalnya banyak tawaran yang diberikan oleh produksi kepada Anzalna. Namun dek kerana dia menolak, mereka memberikan peluang tersebut kepadanya meskipun masih belum berpengalaman sebagai pelakon.

Perlu membuang gugup dan perasaan malu pada peringkat awal, Fifa beruntung kerana dia cepat belajar meskipun masih belum mengetahui selok-belok dunia lakonan. Bantuan yang diberikan oleh pihak produksi benar-benar membantunya ketika itu.

“Agak sukar sebenarnya pada peringkat awal. Tapi saya perlu cepat belajar memandangkan ini merupakan kehendak sendiri. Semuanya kelihatan berjalan baik dan berharap momentum ini berkekalan,” katanya lagi.

Sebagai ahli keluarga terakhir menyertai bidang seni, Fifa gembira kerana orang tuanya tidak pernah menentang kehendaknya untuk bergelar anak seni.

Cuma Anzalna pernah melahirkan rasa berbelah bahagi tentang pembabitannya kerana mahu dia memberikan tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu kerana mengenang potensi yang ada dalam dirinya.

“Kalau boleh memang saya mahu dia memberikan tumpuan kepada pelajaran sahaja. Dalam adik-beradik, Fifa yang paling bijak dan selalu mendapat keputusan yang baik. Sebab itu saya mahu dia mengejar cita-cita dalam bidang tersebut.

“Tapi bila dia mahu mencuba nasib ke dalam bidang seni, saya tetap memberikan sokongan. Tapi dia perlu berusaha keras untuk berjaya,” kata Anzalna memberikan pendapat.

Tambah Fifa pula, dia gembira kerana bakatnya mula dipandang dan diberikan tumpuan oleh kebanyakan peminat.

Walaupun ada yang mula mengenalinya sebagai ‘adik Anzalna’, perkara berkenaan tidak mendatangkan masalah besar kepada dirinya.

“Tidak mengapa kalau mereka mula mengenali saya dengan frasa berkenaan. Mahu tidak mahu saya perlu menumpang juga populariti yang sudah dikecapi oleh Anzalna memandangkan dia terlebih dahulu terlibat dalam bidang ini.

“Tapi dalam masa yang sama saya juga mahu orang mengenali saya dengan produk sendiri. Berikan masa dan saya akan membuktikannya,” kata Fifa.