Lain daripada filem-filem yang pernah diterbitkan, filem terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar ini ternyata menyaksikan satu garapan baharu yang mempunyai sentuhannya yang tersendiri.

Tidak perlu menunggu masa yang lama, Polis Evo nampaknya telah mengubah tipikal mengenai filem aksi tempatan yang pernah mengundang rasa kecewa sesetengah penonton.

Mengutip lebih RM4 juta selepas seminggu berada di pawagam adalah hampir mustahil dengan keadaan industri perfileman tempatan yang tidak menentu arahnya ketika ini. Malah, ada yang menganggap filem tidak akan laku dan akan terjejas kutipannya dengan ketidakstabilan ekonomi negara.

Bagaimanapun, bakat dan kredibiliti tiga penulis muda bernama Joel Soh, 28, Kyle Goonting, 27, dan Anwari Ashraf, 26, sudah memastikan kejayaan Polis Evo. Ditambah pula dengan nilai kesungguhan dan keikhlasan sang pengarah, filem ini tidak hanya beralaskan wajah filem aksi yang ala kadar.

Mengangkat kisah dua anggota polis bernama Inspektor Khai lakonan Shaheizy Sam dan Inspektor Sani (Zizan Razak), bukan hanya elemen aksi itu diangkat sebagai agenda utama tetapi naskah ini turut mengambil pendekatan menyelami perasaan dan keinginan penonton khususnya dalam kalangan remaja yang rata-rata mahukan sebuah filem yang penuh dengan aksi.

Daripada olahan skrip, pengarahan, aksi lagak ngeri dan lakonan, filem terbitan Astro Shaw ini ternyata memiliki ramuan dalam menguasai pasaran box-office. Ternyata, percaturan pengarah itu telah berjaya dan wajar menerima pujian dengan standard yang ada.

Penceritaan dalam filem ini telah dikembangkan dengan baik dan segala perkara mendebarkan bermula apabila Khai dan Sani ditugaskan untuk menumpaskan sebuah kegiatan pengedaran dadah.

Pengarah juga ternyata bijak apabila membawa wajah dan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke layar perak dengan hampir 80 peratus inti patinya menyajikan aksi barisan pelakon utama yang tidak menghampakan.

Kekuatan lakonan dan perwatakan yang dimainkan oleh Sam dan Zizan memang cukup memberi kesan dalam filem 120 minit ini.

Kutipan yang tidak dijangkakan ini memang satu perkara yang harus dibanggakan dan pengarah sendiri pernah memberitahu, filem ini dihasilkan dengan amat berhati-hati menerusi garis panduan PDRM.

Masih dengan elemen penceritaan, pengarah meletakkan komedi, persahabatan dan kekeluargaan itu seimbang tanpa ada sebarang cacat celanya.

Kemampuan Zizan dalam membawa watak Inspektor Sani yang mempunyai personaliti serius dalam komedi itu memang menjadi. Begitu juga Sam yang perlu diberi pujian kerana kehebatannya dalam menampilkan aksi melompat dan menawan sindiket pengedaran dadah.

Perwatakan Khai adalah seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas manakala Sani seorang yang lebih mengikut prosedur dan mementingkan diplomasi.

Tidak mengangkat terlalu banyak elemen komedi juga menjadi kejayaan kepada filem ini sehingga boleh mencapai kutipan yang dikira cukup memberangsangkan.

Pujian demi pujian diterima kerana rencah yang cukup dalam adunan penceritaan dan aspek teknikalnya.

Inilah penanda aras baharu untuk filem tempatan dan menjadi penguat kepada penerbit lain dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti.

Polis Evo mula ditayangkan pada 17 September lalu di 98 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei.

Selain kejayaan dalam kutipan itu, Polis Evo juga mencatatkan jumlah tontonan trailer rasmi filem di Youtube buat masa ini yang telah mencapai 1 juta tontonan.

Lagu tema Polis Evo berjudul Evo juga mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanahair apabila hampir 700,000 pelayar mendengar lagu berentak up beat ini dalam tempoh kurang satu bulan selepas muzik video ini dimuat naik dalam laman Youtube.

Filem ini juga ternyata memberikan kesan besar di laman-laman sosial apabila sekurang-kurangnya 10,000 ribu pengguna memperkatakannya sebelum filem ini ditayangkan.

Secara keseluruhan, Polis Evo berjaya mendapat melebihi 34 juta pendedahan di media sosial. Malah filem ini telah menjadi trending di laman Twitter.

Selain Zizan dan Sam, Polis Evo turut menampilkan antaranya Nora Danish, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi dan Allahyarham Harun Salim Bachik.

Skrip 180 muka surat

Dalam pada itu, menurut penulis skrip yang juga penerbitnya, Joel Soh, skrip filem ini setebal 180 muka surat, umpama sebuah novel.

Katanya, mereka bertiga memang betul-betul memastikan setiap babak dalam filem ini dibangunkan dengan sebaik mungkin.

“Ini adalah cerita dan idea asal kami. Keseimbangan aksi dan komedi adalah punca utama kejayaan kepada filem ini. Selain itu, kami juga menampilkan kepelbagaian emosi dengan elemen drama. Sejujurnya, filem ini diberikan penjelasan yang terperinci dalam skripnya.

“Setiap muka surat skrip ini mewakili satu minit masa tayangan. Kami memang mahu berikan yang terbaik dalam mengangkat martabat PDRM tentang sahabat dan kerjasama,” katanya.

Tambah Joel, koreografi untuk aksi dan pergerakan juga dibuat dengan sebaiknya.

“Perkembangan dalam cerita ini adalah dalam hubungan antara Khai dan Sani. Sepanjang skrip ini dibuat, kami mengambil berat proses untuk melakarkan watak-watak di dalam filem ini.

“Penciptaan psyche watak-watak ini penting dalam menentukan keberkesanan watak yang akan dibawa oleh pelakon terutamanya hero yang diketengahkan.

“Kelebihan dan kelemahan kedua-dua karakter itu dicatur dengan rapi supaya watak yang mereka pamerkan dibuat secara seimbang.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong cerita ini selain usaha dan promosi yang dibuat oleh Astro Shaw. Nampaknya, penonton sudah berpuas hati dengan hasil kerja kami,” jelasnya.