Malah kata Haliza, 46, dia mengandaikan anak-anak muda sekarang lebih selesa ‘melayan’ sesuatu yang ringan dalam media sosial berbanding karya yang menekankan soal realiti kehidupan.

Justeru apabila persembahan teater masih dikunjungi generasi muda, situasi tersebut memberi petanda positif kepada kelangsungan karya seni itu untuk terus diangkat dalam liga tersendiri.

“Bagi saya, peminat teater bukanlah golongan yang cenderung kepada hanya media sosial dan golongan ‘artis segera’ yang tiba-tiba popular. Anak muda yang meminati teater menunjukkan kebijaksanaan mereka.

“Saya sendiri mengaku penonton teater adalah generasi bijak. Golongan seperti inilah yang perlu kita sokong,” kata Haliza .

Begitu pun, kecenderungan kepada teater yang bersifat alternatif kecil bilangannya kerana sifat karya itu sendiri menampilkan makna tersirat yang hanya boleh difahami secara mendalam.

“Teater alternatif bagus kerana menggambarkan tentang kehidupan dan makna di sebaliknya. Penonton pula perlu membuat kesimpulan sendiri.

“Sudah menjadi satu keperluan untuk mana-mana karya itu membuatkan penonton berfikir tentang sesuatu yang penting, tidak kepada perkara yang bukan-bukan. Jadi fikiran mereka akan lebih tajam dan terbuka. Mereka sendiri akan tertanya-tanya apakah yang berlaku di sebalik persembahan teater tersebut.

“Jika disebut teater alternatif dahulu dan sekarang, masih ada golongan yang setia dengan teater sebegini. Mungkin karya begini tidak ‘pecah panggung’ tapi ia sentiasa penuh,” katanya.

Justeru, Haliza yang terdidik dari pentas teater di bawah arahan Datuk Rahim Razali pada awal kemunculannya, masih optimis dengan nashkah teater yang bersifat alternatif.

“Saya yakin teater akan terus hidup walaupun kita berada dalam masyarakat yang mengejar kebendaan dan leka dengan media sosial.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah teruskan menyokong teater. Mungkin tidak banyak, sekurang-kurangnya teater tidak akan mati,” kata Haliza yang ditemui selepas majlis pratonton teater Pokok.

Pokok karya diterajui dua insan hebat

Haliza mengaku sangat selektif dalam memilih karya. Namun, penglibatan pengarah yang popular dengan filem Jogho dan Hanyut, U-Wei Haji Shaari serta penulis skrip, Tan Sri Johan Jaaffar membuatkan dia menerima tawaran berlakon teater Pokok tanpa berfikir panjang.

“Teater Pokok sangat istimewa. Selain jalan ceritanya mengisahkan tentang realiti kehidupan sekarang, ia menjadi lebih istimewa kerana diterajui oleh dua insan hebat.

“Penglibatan dua insan ini iaitu U-Wei Haji Ashaari dan Johan Jaaffar membuatkan saya menerima tawaran tanpa berfikir panjang.

“U-Wei adalah figura yang hebat dalam bidang seni manakala Johan Jaaffar pula punya nama besar dalam dunia media dan bidang sastera. Saya rasa sesiapa pun akan berbangga kalau dapat bekerja dengan mereka,” jelas Haliza dengan nada gembira.

Malah kecenderungan U-Wei yang gemar menjulang isu berkaitan wanita dan kehebatan gender tersebut juga memberi rasa kagum kepada Haliza.

“U-Wei bukan calang-calang orang. Tak semua lelaki boleh mengakui kehebatan wanita. Hanya lelaki gentleman yang mengakui wanita lebih kuat berbanding lelaki,” kata Haliza.

Bercerita lanjut tentang cabaran berlakon teater Pokok, kata Haliza, skrip nashkhah tersebut tidak boleh dihafal semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pemahaman terhadap isi yang ingin dijelaskan.

“Saya berbesar hati orang masih percayakan saya untuk berlakon teater. Dalam bidang apa pun, kalau komited terhadap kerja dan tanggungjawab insya-Allah rezeki pasti ada,” kata Haliza yang mempunyai alasan tersendiri untuk bersikap memilih dalam setiap tawaran yang diberikan kepadanya.

Kata pelakon ini, dia hanya akan muncul dalam drama yang melibatkan penerbit dan pengarah yang memahami caranya bekerja dan boleh bertolak ansur.

“Dalam masa sama, saya tidak mahu watak yang menggambarkan wanita lemah dan sering menjadi mangsa keadaan.

“Mungkin dulu saya pernah membawa watak-watak sebegitu, sekarang bukan masa saya untuk mengejar populariti dan fikirkan duit kerana itu bukan segala-galanya,” kata Haliza.

Selain Haliza yang membawa watak sebagai Mardhiah, teater Pokok turut dilakonkan oleh Ebby Saiful sebagai Darwis, Buyung Zasdar sebagai Amud dan Rahim Jailani sebagai Tuk Kaya.

Pementasan teater ini adalah hasil gandingan Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perodua dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Ia bermula hari ini sehingga 16 Disember, pukul 8.30 malam.

Empat pementasan sebelah siang (matinee) akan diadakan pada 8, 9, 15 dan 16 Disember (3 petang). Harga tiket adalah RM50 dan RM30.

Maklumat lanjut boleh layari www. airasiaredtix.com.