Bersyukur Tuhan menemukannya dengan Erwin Dawson, pelakon drama Ku Kirim Cinta ini mengaku bersama lelaki itu, dia merasai pengertian dan keikhlasan cinta yang sebenar meski usia perkenalan mereka baru setahun.

Sudah dilamar oleh Erwin pada tahun lalu, Julia yang sekian lama hidup tanpa figura bapa atau lelaki dalam hidupnya mengaku hatinya tertawan dengan kesungguhan pelakon filem Pulang itu untuk menjadikannya isteri.

Malah, dia melihat Erwin juga mampu menjadi bapa dan ketua keluarga yang baik seandainya perancangan mereka untuk bersatu sebagai suami dan isteri pada awal tahun depan diizin Tuhan.

“Membesar tanpa seorang ayah di sisi menjadikan saya amat teliti dalam memilih pasangan. Hidup saya cuma ada ibu dan dua adik-beradik lain dan di mata saya, ibu adalah seorang wanita yang sangat kuat.

“Apabila ada lelaki yang mahu menghampiri, tentunya saya agak defensif namun uniknya Erwin, hanya dia seorang sahaja yang mampu melembutkan hati saya. Malah, saya suka melihat dia melayan kanak-kanak dan ternyata dia memang pandai mengambil hati,”katanya.

Mengaku banyak perubahan positif berlaku sejak mengenali pelakon itu, Erwin bagi Julia adalah seorang yang sangat positif dan terbuka, sesuatu yang berbeza dengan dirinya.

“Dia ni baik hati. Namun ada ketika sifat baiknya itu keterlaluan juga sehinggakan pernah dia menolong sekawan warga asing yang sedang menunggu kereta sewa dengan menghantarnya ke destinasi yang dituju.

“Kalau sayalah, tidak mungkin. Bukan tidak suka menolong, tetapi zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi. Takut juga,”katanya.

Bagaimanapun kata Julia, dia senang dengan personaliti Erwin yang mendamaikan serta banyak bersabar dengan dirinya.

“Saya ni seorang yang suka duduk dalam dunia sendiri (introvert) namun banyak berubah kerana dia. Tanyalah pada sesiapa yang pernah temu bual saya dahulu, mereka pasti katakan yang saya ni tak banyak bercakap.

“Ditanya sepatah, jawapan juga sepatah. Dia banyak mengajar dan tanpa dipaksa-paksa Erwin mampu membentuk saya menjadi seorang wanita yang lebih baik daripada sebelum ini,”katanya yang turut berkongsi minat yang sama dengan kekasihnya iaitu gemar melakukan aktiviti riadah.