Menurut Furyna, kejayaan karya arahan Osman Ali yang menampilkan Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Datuk Farid Kamil mengutip RM3.4 juta telah mendorongnya untuk sekali lagi terbabit dalam pembikinan filem.

“Saya bersyukur apabila percaturan pertama Aura White mendapat sambutan baik penonton biarpun ketika itu filem Pinjamkan Hatiku terpaksa bersaing dengan naskhah-naskhah hebat lain.

“Sekarang saya sedang mencari karya sesuai untuk diterbitkan dan untuk kali ini, saya mahu ketengahkan filem seram pula,” katanya.

Furyna berkata demikian sewaktu ditemui dalam majlis pelancaran ubat gigi Aurawhite semalam.

Pada acara tersebut, aktres Fasha Sandha, aktor Izzue Islam dan penceramah motivasi, Azman Syah Alias telah dilantik sebagai ikon bagi produk berkenaan.

Tambahnya, dia amat mementingkan kualiti dan mengalu-alukan sesiapa jua yang ingin bekerjasama merealisasikan hasratnya pada masa akan datang.

“Filem seram yang bakal diterbitkan akan menggunakan khidmat sutradara berbeza kerana saya ingin mempelbagaikan portfolio seni kami.

“Malah Aurawhite sentiasa menerima sebarang cadangan daripada sesiapa yang mahu menjalin kolaborasi dengan pihak kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE