Memiliki kreativiti dan kebolehan mencipta lagu sejak usia 16 tahun merupakan satu kelebihan yang perlu dihargai dan diketengahkan dalam industri seni tanah air.

Bakat mereka bagaimanapun tidak banyak diperkatakan secara umum. Mungkin kurang liputan di media arus perdana menyebabkan muzik mereka hanya didengari sekelompok peminat dari dalam dan luar negara.

Apa pun empat remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ini mempunyai banyak potensi dan ruang untuk melangkah lebih jauh memandangkan usia mereka masih muda iaitu lingkungan 18 tahun kesemuanya.

Dianggotai Raja Arif Aizuddin Raja Kamarudin (vokal), Adrian Danial Ashraf (gitar utama), Mohd Firdaus Azmi Faizal (gitar bes) dan Muaz Rabbani Muzzamir (dram), Midnight Fusic mempertaruhkan genre muzik yang mereka minati sejak zaman sekolah iaitu indie dan alternatif.

Mengetengahkan bunyi gitar yang terang dan lunak, kumpulan ini menjadikan band-band seperti The 1975, Muse, Band Suns dan band tempatan Hujan sebagai sumber inspirasi mereka.

Kekuatan mereka terletak pada susunan muzik yang rancak dan funky yang digabungkan dengan lirik dalam bahasa Inggeris yang terhasil daripada ekspresi diri dan luahan terpendam yang diterjemahkan menjadi sebuah lagu, sekali gus menyerlahkan jiwa muzik anak muda ini.

“Gaya penulisan lirik kami banyak diinspirasi berdasarkan permasalahan dan pengalaman harian yang dilalui. Kebanyakan lirik ditulis oleh saya bersama Adrian, namun setiap anggota kumpulan terlibat mencipta lagu,” kata vokalis Raja Arif Aizuddin kepada S2.

Bercerita mengenai sejarah penubuhan band ini, menurutnya, Midnight Fusic ditubuhkan selepas dia dan Adrian Danial memutuskan untuk bergabung bersama dua lagi rakan mereka yang turut memiliki rasa cinta dan minat terhadap muzik yang sama.

“Kami tidak pernah terfikir pun untuk terlibat dalam muzik secara serius. Adrian dan saya bermula dengan membuat cover lagu ketika bersekolah di tingkatan satu. Selepas Firdaus dan Muaz menyertai kumpulan kami, barulah Midnight Fusic ditubuhkan secara rasmi pada 2016,” ujarnya.

Menurutnya, pemilihan nama Midnight Fusic adalah kerana minat mereka terhadap muzik mendorong mereka mencipta lagu, dari tengah malam hingga siang.

“Sementara Fusic pula tercetus daripada gabungan perkataan food dan music kerana kami suka makan dan bermain muzik,” katanya.

Bernaung di bawah Sony Music Malaysia, kumpulan ini membuat kemunculan pertama menerusi single sulung berjudul Heart of May yang dilancarkan pada September lalu, diikuti single kedua, Love Sick pada Disember tahun lalu.

Pencapaian membanggakan bagi kumpulan ini apabila lagu single pertama mereka berjaya menduduki tangga pertama di Hitz.Fm Met 10 Chart.

Aktif membuat persembahan acara di merata tempat, Midnight Fusic kini menyasarkan untuk mengeluarkan Extended Play (EP) atau mini album pertama mereka pada April ini.

Dalam pada itu, menurut Raja Arif Aizuddin, mereka tidak menolak untuk tampil di media arus perdana namun, masih tetap mengetengahkan konsep dan genre muzik yang mereka perjuangkan.

“Kami mahu mengekalkan genre muzik yang dibawa, meskipun lagu yang dihasilkan mungkin tidak sepopular genre muzik yang lain.

“Paling penting lagu yang dipersembahkan adalah hasil sentuhan muzik dari kami sendiri dan bukan daripada pihak luar,” katanya.