Pelakon muda yang mula mencuri perhatian peminat menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek ini berpindah ke Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu.

Hampir dua minggu berpuasa, pemuda berdarah kacukan Melayu-Switzerland ini memberitahu, walaupun terikat dengan komitmen penggambaran namun ibadah rukun Islam ketiga dapat

 

dilaksanakan dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya seronok sebab ini saat yang saya nantikan untuk merasai pengalaman bagaimana berpuasa di sini. Saya sukakan suasana Ramadan di sini. Walaupun dalam bulan ini saya sibuk di set lokasi tetapi tak menghalang saya untuk meneruskan ibadah berpuasa.

“Lagipun tempoh berpuasa di Malaysia tidaklah terlalu lama berbanding pengalaman berpuasa ketika menetap United Kingdom dan di rumah keluarga di Switzerland sebelum ini,” kongsi pelakon drama 30 Pesanan Suara ini kepada Pancaindera.

Bagi orang bujang sepertinya, kata Dini menjelang petang dia tidak tergesa-gesa untuk berada di rumah. Sebaliknya, sementara menanti waktu berbuka dia akan singgah dulu di gimnasium untuk bersenam.

Namun jika ada kelapangan, dia juga tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar Ramadan bersama teman-temannya dan merasai kemeriahan suasana masyarakat di sini membeli juadah untuk berbuka.

Untuk menu berbuka pula, dia lebih gemar memulakan dengan memakan kurma dan minum air serta mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit.

“Kalau dalam bulan puasa ini, saya akan cuba selesaikan semua kerja sebelum pukul 5 petang. Selepas itu saya akan terus ke gimnasium dan pulang ke rumah ketika hampir waktu berbuka.

“Kadang-kadang saya cari juga peluang untuk ke bazar Ramadan. Kalau berbuka, jarang ambil

WALAUPUN berpuasa, Dini tetap mengamalkan aktiviti kecergasan
WALAUPUN berpuasa, Dini tetap mengamalkan aktiviti kecergasan di gimnasium.

makanan yang berat. Saya lebih suka makan sayur-sayuran atau ambil makanan dalam kuantiti sedikit.

“Selalunya yang mesti ada di atas meja, air mineral, air kelapa dan kurma. Selepas solat tarawih, kalau lapar sangat baru saya ambil makanan berat.

“Bersahur pula, saya suka amalkan minum banyak air kosong dan kadang-kadang saya buat smoothie buah-buahan,” tutur pemuda yang fasih dengan loghat utara ini.


Rebut ganjaran pahala

Sepertimana umat Islam lain, sepanjang sebulan ini Dini memanfaatkan Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah serta merebut ganjaran pahala.

Selain tidak melepaskan peluang mengerjakan solat tarawih di masjid, dia juga bermuhasabah diri untuk menjadi seorang Muslim dan anak yang lebih baik.

“Sama macam orang lain, kedatangan bulan Ramadan yang hanya setahun sekali ini, saya mahu gunakan kesempatan untuk menambahkan pahala.

“Sebab itu sebolehnya saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengerjakan ibadah solat tarawih. Saya juga mahu manfaatkan keberkatan Ramadan dengan bermuhasabah dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu berkongsi pula pengalaman berpuasa, antara detik yang tidak dapat dilupakan, ketika dia menjalani ibadah tersebut di Dubai.

“Saya suka dan rindukan suasana ketika berpuasa di Abu Dhabi, beberapa tahun lalu. Seingat saya, berpuasa lebih dari 15 jam.

“Dulu semasa kecil kalau saya berasa lapar, ibu akan memujuk saya dan bercerita kepada saya tentang kelebihan dan pahala yang akan kita peroleh kalau dapat berpuasa penuh.

“Itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus bertahan,” tuturnya yang mula belajar berpuasa penuh pada usia 10 tahun.

Mengenai perancangan menyambut hari raya Aidilfitri, Dini akan bercuti selama dua minggu dan meraikan bersama ibu bapanya yang akan pulang ke sini.

Mereka sekeluarga akan beraya di kampung sebelah ibunya yang terletak di Pulau Pinang.

“Disebabkan sudah menetap di sini jadi saya tunggu saja keluarga yang akan datang dari Switzerland.

Mungkin kami akan beraya di rumah nenek di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dini bakal muncul menerusi drama Calon Menantu Tuan Rumah yang akan ditayangkan menerusi saluran RTM.