Sejak mula dikenali dengan lagu Knock Knock beberapa bulan lalu, dia tidak menyangka akan menerima bahananya hari ini. Masakan tidak namanya naik mendadak saat satu persatu cerita kurang enak bertebaran sejak akhir-akhir ini.

Bagi Elizabeth sudah pasti dia sentiasa mengharapkan perjalanan seninya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Namun apabila dia mula dihimpit dengan pelbagai kontroversi, dia mula belajar banyak perkara tentang dunia baharunya ini.

“Saya akui tidak pernah mengikuti perkembangan industri muzik tempatan (Melayu) satu ketika dahulu. Jadi tak banyak perkara yang saya ketahui tentang hal ini.

“Tapi bila saya sudah masuk ke dalamnya baru saya tahu banyak permainan dan politik hiburan yang perlu saya ketahui. Banyak gosip panas tentang diri saya mula bertebaran dan saya perlu menghadapinya.

“Tak mengapalah, saya belajar sedikit demi sedikit walaupun perit untuk ditelan. Tiada perkara yang tak boleh diselesaikan asalkan saya tabah,” kata Elizabeth lagi.

Paling menjeruk hatinya tatkala ada segelintir pihak yang menjaja ceritanya meniduri golongan kenamaan (VIP) satu ketika dulu.

Baginya perkara tersebut langsung tidak benar sama sekali dan dia sendiri sudah berkali-kali menafikan perkara tersebut.

Enggan mengetahui siapakah gerangan orang yang bertanggungjawab menyebarkan cerita karut tersebut, Elizabeth baru mengetahui itu merupakan asam garam dunia hiburan tempatan yang tak pernah lari daripada cerita panas.

“Entahlah saya sendiri tak pernah mengetahui siapakah VIP yang dimaksudkan. Saya tak buat kerja begitu dan tak ada sebab untuk saya melayan cerita karut itu.

“Mula-mula saya terkejut dengan penyebaran cerita itu. Saya kurang ‘masak’ dengan industri nyanyian tempatan dan tak merasakan akan terkena cerita sebegitu rupa.

“Tapi tak mengapalah, biarkan sahaja mereka. Yang penting saya tidak melakukan perkara tersebut,” ungkap Elizabeth lagi.

Pun begitu dia bersyukur kerana keluarganya tidak pernah melenting atau marah dengan keadaan itu.

Paling penting apabila dia diberikan kepercayaan penuh oleh keluarganya yang begitu kuat menyokong minatnya untuk menjadi penyanyi terkenal satu hari nanti.

Perbaiki

SEMAKIN lama berada dalam industri seni, Elizaberh tidak menafikan yang adakalanya hatinya cukup terasa saat dilemparkan dengan pelbagai komen negatif daripada peminat.

Paling terkesan apabila ada pihak yang mempertikaikan cara nyanyiannya dan menuduh dia tidak boleh menyanyi secara langsung.

Meskipun perit untuk menerima kritikan tersebut, dia tidak mengambil mudah soal itu dan sedang memperbaiki teknik nyanyian ketika ini.

“Cuba bayangkan orang tuduh saya tak boleh menyanyi live (secara langsung)! Memang perit untuk ditelan tetapi itu yang membuatkan saya bersemangat untuk memperbaiki kelemahan.

“Bagi saya orang boleh menilai tetapi biarlah komen yang dilemparkan itu tidak keterlaluan. Tapi saya okay, tak tersinggung pun,” katanya tertawa.

Buat masa ini, Elizabeth tidak menerima apa-apa tawaran menyanyi selama sebulan bagi memberi tumpuan kepada kelas vokal yang disertainya.

Dia yang menggunakan khidmat guru vokal Alwin Santiago mahu membuktikan penyanyi bukan Melayu sepertinya mampu menyanyi dengan naik tanpa ada halangan.

Tambah Elizabeth lagi, dia kurang gemar dengan persepsi segelintir peminat yang hanya meminatinya disebabkan dia berketurunan Cina, wajah yang comel dan boleh menyanyikan lagu Melayu.

“Saya mahu ubah persepsi itu. Bukan tak suka orang meminati diri sendiri tetapi lebih manis kalau mereka minat saya disebabkan kebolehan yang ada.

“Sebab itu saya berusaha untuk membuktikan yang saya juga mampu jadi seperti penyanyi lain. Bukan sekadar boleh menyanyi tetapi mampu menguasai industri secara keseluruhannya.

“Beri saya masa untuk membuktikannya,” pintanya yang bakal mengeluarkan single baharu yang berjudul Mama sedikit masa lagi.

Sabar

TIDAK terlepas daripada dijadikan bahan gosip, Elizabeth cukup terkesan apabila isu tidak hadir ke satu undangan nyanyian terus diperbesar-besarkan.

Baginya dia sendiri sudah membatalkan kehadiran ke acara tersebut maka seharusnya perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu besar sehingga hari ini.

“Memang saya tak sihat dan tak ada suara ketika itu. Sebab itu saya batalkan kehadiran dan memulangkan semula deposit kepada pihak penganjur.

“Tapi masalah itu tak selesai memandangkan mereka tetap berkeras mahukan saya hadir. Saya tak mahu menyanyi dalam keadaan tersebut kerana impak buruknya nanti kena kepada saya,” kata Elizabeth menjernihkan keadaan.

Dalam pada itu dia Elizabeth juga menjadi mangsa kutukan peminat di laman sosial gara-gara nama kelab peminatnya sama dengan sebuah kumpulan dari Korea Selatan.

Hanya kerana singkatan nama kelab peminat Elizabeth Lover Fans (ELF) mirip kepada kumpulan tersebut dia dikecam teruk sehingga membuatkan dia tidak membuka laman sosial selama seminggu.

“Tak sangka pula hanya kerana itu orang hentam saya. Setiap hari hampir seribu komen mengutuk saya dengan pelbagai sindiran tajam.

“Ini perkara baharu buat saya dan saya kena belajar menghadapinya. Tak mengapa saya kuat untuk menghadapinya,” kata Elizabeth tersenyum.

Tuah

Mula dikenali melalui YouTube kira-kira setahun yang lalu, dia sendiri tidak menyangka tuah menyanyikan semula lagu Havoc mendapat sambutan hangat beberapa syarikat rakaman.

Ketika itu dia yang sedang menuntut di Texas, Amerika Syarikat (AS) hanya sekadar suka-suka menyanyikan semula lagu tersebut dan dimuat naik di laman tersebut.

Ketika itu ramai yang mula bertanyakan siapakah Elizabeth Tan selepas video Havoc tersebut menjadi viral di Internet.

Kebanyakan syarikat rakaman mula ‘memancing’ dirinya untuk bernaung di bawah label masing-masing.

Namun perkara itu langsung tidak pernah membuatkannya mendabik dada. Bagi gadis ini pastinya ini merupakan satu percaturan dan dianggap perjudian untuk menembusi pasaran Melayu khususnya.

“Sejak dahulu lagi saya memang bercita-cita mahu menjadi pelakon atau pengacara. Tapi sebagai penyanyi perkara itu langsung tidak pernah diimpikan.

“Saya masuk ke dalam industri nyanyian hanya kerana mahu mencuba nasib. Tak sangka pula lagu Knock Knock benar-benar membuatkan orang mula mengetahui diri saya,” katanya lagi.

Memilih Faithful Music yang dinaungi oleh Faizal Tahir sebagai syarikat rakaman, dia yakin percaturan lelaki tersebut menjadi dan membawanya ke fasa baharu sedikit masa lagi.

Bagi gadis yang berusia 22 tahun ini, pastinya dia menghadapi kesukaran pada awalnya terutama untuk menyanyikan lagu berbahasa Melayu.

Meskipun fasih berbahasa Melayu, Elizberth menjelaskan yang dia tetap menghadapi masalah terutamanya daripada aspek sebutan memandangkan dia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa seharian.

Pun begitu, dia menjadikan perkara tersebut sebagai cabaran dan pada masa yang sama terus memperbaiki kelemahan tersebut.

“Sebetulnya saya teringin untuk merakamkan lagu berbahasa Inggeris. Tetapi rezeki saya lebih tertumpah kepada lagu berbahasa Melayu dan saya tak kisah mengenai perkara itu.

“Sekarang saya masih mempelajari selok belok bercakap dalam bahasa Melayu agar sebutan saya tidak janggal didengar. Sebenarnya ini bukan satu isu besar memandangkan sejak bersekolah saya sudah bercampur dengan rakan-rakan berbangsa Melayu,” ungkap bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Melawati, Kuala Lumpur ini lagi.