Wanns atau nama sebenarnya Wan Nursalam Wan Ahmad, 26, terpaksa mencuba bakatnya dalam bidang pengacaraan dan lakonan pula sebagai alternatif.

“Sudah lama saya tidak mendapat undangan persembahan pentas ataupun program televiysen. Kadang-kadang cemburu juga tengok orang baharu dapat banyak peluang berbanding saya. Apapun saya tetap yakin, setiap orang ada rezeki tersendiri.

“Saya tidak akan berhenti untuk mencuba mencari ruang menghasilkan single baharu cuma peluang itu datang cepat atau lambat sahaja. Jadi sebelum peluang itu datang, saya carilah apa yang boleh dibuat,” katanya kepada Mega HITS.

Dalam pada itu, kata Wanns, dia terpaksa akur dengan pihak pengurusan Pencil Pictures Record biarpun dalam koleksinya ada beberapa lagu yang sudah lama ada dalam simpanan.

“Walaupun single pertama adalah ciptaan saya sendiri dan jika diberi peluang saya ingin bekerjasama dengan komposer Tam Spider, Harry Khalifah atau Faizal Tahir. Sebenarnya, lagu dalam simpanan saya pun banyak, tak tahulah boleh diterima atau tidak.

“Sebenarnya saya memang rindu untuk masuk studio rakaman tapi nak buat macam mana belum waktunya. Jadi cara untuk saya melepaskan kerinduan menyanyi sama ada di studio atau pentas adalah dengan menyanyi di laman sosial saja,” katanya terus terang.

Jadi hero telefilem

SELAGI ada usaha, yang dihajati pasti tercapai. Begitulah dengan Wanns Ahmad yang mahu mengembangkan bakatnya bukan sekadar nyanyian dan pengacaraan sebaliknya turut menceburi bidang lakonan.

Siapa sangka, sudahlah pertama kali berlakon telefilem, ditawarkan pula sebagai watak utama. Kata orang rezeki jangan ditolak. Meskipun tahu tanggungjawab yang diberi berat, Wanns tetap menerima tawaran berlakon telefilem Khalifahkah Aku.

Dalam telefilem arahan Hashim Rejab yang juga diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records itu, Wanns melakonkan watak Fatah di samping Aishah Azman sebagai Fathia.

“Sehari sebelum penggambaran saya tidak dapat tidur lena sebab takut memikirkan hari pertama di lokasi. Berdebar tetap ada biarpun sebelum itu saya telah mendapat bimbingan daripada pelakon Ellie Suriati.

“Adegan pertama yang dirakam adalah babak pernikahan. Memang sukar sikit hingga rakaman terpaksa diambil dua tiga kali tapi bila tiba adegan menangis, saya tak ada masalah. Untuk menjiwai suasana sedih itu, saya suka dengar lagu-lagu sedih sebelum penggambaran.

“Telefilem ini memberi keinsafan sebab asalnya Fatah adalah anak yang baik tapi apabila bertemu dengan Fathia, dia seperti terkena kejutan budaya,” ceritanya tentang drama yang bakal ditayangkan sempena hari raya nanti.

Oleh kerana keseronokan yang diperoleh sepanjang menjalani penggambaran telefilem dengan Fauzi Nawawi dan pelakon lain, Wanns terus menyimpan impian untuk mencuba drama lain pula.

“Saya akan cuba yang terbaik jika mendapat tawaran lain. Bagi saya, selain menyanyi, saya perlu mencuba bidang seni lain jika mahu terus kekal,” akuinya.

Seronok buat Aroma Tradisi 

SIAPA sangka niatnya untuk mencuba nasib sebagai pengacara berjaya setelah melepasi uji bakat untuk program Aroma Tradisi yang disiarkan setiap Rabu, 11.30 pagi di TV3.

Kata Wanns, dia sekadar mahu mencabar diri ketika hadir uji bakat dan tidak sangka terpilih untuk menjadi pengacara bagi program sebanyak 23 episod yang sudahpun memasuki musim kelima itu.

“Alhamdulillah, saya dipilih untuk mengacara Aroma Tradisi dan ini adalah antara cara untuk saya terus mengekalkan nama dalam bidang seni.

“Biarpun sebelum ini sudah banyak program makan-makan, Aroma Tradisi ini sedikit berbeza sebab saya perlu berinteraksi dengan orang yang menyediakan masakan itu.

“Selalunya sebelum ke lokasi, saya tengok-tengok dulu resipi yang akan dibuat agar tidak kekok untuk berceloteh sewaktu rakaman,” katanya.

Tambahnya, program yang menjalani rakaman di Sijangkang, Selangor; Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Mortem, Melaka; dan Muar, Johor itu amat menyeronokkan.

Selain dapat menikmati pelbagai masakan tradisional, pada waktu yang sama dia berpeluang untuk menambah kenalan di setiap lokasi yang dikunjungi.

“Selepas raya nanti baru selesai penggambaran dan mungkin dibuat di Sabah. Saya selesa buat program ini, mungkin saya ini jenis yang tidak memilih tentang makanan.

“Saya juga menonton program-program yang pernah dikendalikan oleh Karl Shafek sebelum ini sebagai panduan.

“Namun apabila rakaman, saya tetap dengan gaya sendiri,” jelasnya.