Rukmini, yang juga seorang pelakon filem India dan pernah berlakon bersama bintang handalan seperti Rajnikanth dalam filem Kochadaiiyaan, dan Amitabh Bachchan dalam filem Shamitabh, akan membuat persembahan "Maargam - The Art of Bharatanatyam".

Penari serba boleh itu akan mempersembahkan Bharatanatyam Maargam iaitu tarian klasikal India yang dipadankan dengan muzik Carnatic iaitu adunan muzik, irama dan ekspresi yang kompleks.

Penganjur, A.Kavippreya memberitahu, persembahan sulung Rukmini di Malaysia itu juga merupakan acara kebajikan dengan kutipan daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Shirdi Sai Baba Malaysia.

Pengarah Acara Avant Garde itu berkata, jualan tiket dengan harga antara RM40 dan RM100, begitu menggalakkan dengan 80 peratus daripada 622 tiket telah terjual.

Rukimini, antara penari Bharatanatyam paling menonjol di dunia, pernah dianugerahkan dengan gelaran 'Arsha Kala Bhushanam' atas persembahan hebatnya pada 2012.

Beliau telah membuat persembahan di seluruh India dan luar negara serta mempunyai ramai pengikut dalam laman sosialnya di Facebook dan Instagram.

Rukmini adalah lulusan daripada antara sekolah seni persembahan terkenal di Amerika Syarikat iaitu Boston Conservatory dengan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan dalam tarian (moden dan klasik). - BERNAMA