Beberapa kali menjatuhkan sauh pelayaran, dia mengakui, pernah terdetik dalam hati untuk berhenti sahaja. Namun doa keluarga dan peminat menghentikan langkahnya.

Begitu juga dengan pemilik suara emas, Siti Sarah Raisuddin yang pernah meletakkan noktah dalam diari seninya untuk beberapa tahun. Bukan merajuk mahu sekali berkecil hati, dia cuma ‘berehat’ sementara.

Kembali memercik warna emas dalam kanvas seninya, dia meniti tangga-tangga populariti dengan sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang sentiasa memastikan namanya kembali relevan dalam industri.

Tidak terkecuali, penyanyi berjiwa besar, Noryn Aziz yang menyepi sejak sekian lama dari industri. Dia seolah-olah terapung di lautan seni yang dipenuhi dengan lambakan penyanyi baharu.

Hebat di gelanggangnya yang tersendiri, nama penyanyi ini menceriakan dunia muzik tempatan apabila menyertai Gegar Vaganza (GV) musim kelima ketika ini. Dia membuktikan bakat nyanyiannya bukan calang-calang.

Tiga nama besar ini bakal bergabung di pentas berprestij, Istana Budaya pada sebuah konsert yang cukup dinanti-nantikan khalayak.

Soul Sisters yang akan berlangsung pada 5 dan 6 April tahun depan pastinya memberi makna yang cukup mendalam kepada ketiga-tiga penyanyi wanita ini kerana sama sekali tidak menyangka peluang seumpama itu hadir juga akhirnya.

Misha

Tatkala mendapat khabar tentang konsert Soul Sisters, air mata syukurnya tumpah menyentuh pipi. Dia tidak menyangka, akhirnya doa dimakbulkan juga. Satu detik manis dalam hidupnya bakal tercatat.

Acap kali dia ditanya, tidak pernahkah terlintas di hati kecilnya untuk mengadakan sebuah konsert? Acap kali juga, jawapan sama diulang pakai. Penyanyi mana yang tidak mahu mengadakan konsert.

Bukan mahu menunjuk hebat atau merasakan diri diva, namun bagi Misha, konsert seumpama itu merupakan satu portfolio yang boleh dia banggakan sepanjang hampir dua dekad bergelar penyanyi popular.

“Kalau cakap fasal teruja, semestinya saya merasai perasaan itu. Saya sudah lama menanti saat ini. Setiap kali melangkah ke Istana Budaya atau Dewan Filharmonik Petronas (DFP), hati saya berdoa untuk mengadakan konsert di situ.

“Saya tidak menyangka, pada usia 17 tahun perjalanan seni saya akhirnya peluang itu hadir. Saya kerap kali bertanya kepada diri sendiri, adakah benar apa yang berlaku ini?

“Ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu selama ini. Saya anggap diri seperti diberi ruang dan nafas baharu untuk kembali menghiburkan peminat. Saya bersyukur peminat setia sentiasa ada di belakang,” katanya dalam nada sebak.

Bakal mendendangkan empat lagu solo dan beberapa lagi lagu duet serta trio, Misha menjanjikan persembahan terbaik untuk santapan peminat yang hadir.

Mengakui sudah merasakan tekanan, Misha bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan tentang itu. Jiwanya harus kuat dan mengumpul sebanyak tenaga untuk mengadakan konsert yang dijangka berlangsung untuk tiga jam.

“Kalau cakap fasal tekanan, memang ada. Tapi saya tidak mahu membebankan fikiran dengan kerisauan dan tekanan. Banyak masa lagi untuk berlatih dan memperkemas nyanyian.

“Saya sebenarnya lebih kepada tidak sabar. Konsert adalah kenangan yang kita boleh kongsi dengan peminat. Bekerja dalam industri seni, saya berpeluang berkongsi kemanisannya bersama-sama Noryn dan Sarah.

“Langkah kami pernah terhenti seketika, tapi kini kami bertiga kembali bangkit. Ada cerita di sebalik perjalanan seni itu yang akan kami kongsikan dengan semua peminat yang hadir,” katanya yang turut melancarkan klip video Sampai Bila baru-baru ini.

Noryn

Tidak tergambar perasaan teruja apabila mendapat perkhabaran. Impian jadi nyata, namun peluang tidak datang bergolek.

Mungkin tidak sepopular Misha atau Sarah tetapi dalam gelanggang jazz dan soul, dia punya tempat tersendiri.

Bukan mencari siapa terbaik, ini adalah gabungan tiga jiwa yang sudah merenangi lautan seni hampir dua dekad.

“Abang Edd (penganjur) sangat memahami kami. Dia mendengar dan pada masa yang sama, menerima idea serta buah fikiran kami. Dia tahu kekuatan dan kelebihan kami.

“Setiap kami punya suara dan penyampaian yang berbeza. Itu tarikan dalam konsert Soul Sisters ini. Kita mahu tonjolkan kekuatan masing-masing tanpa ada rasa bersaing,” katanya yang mendapat tawaran ini sebelum menyertai GV.

Bagi persembahan nanti, Noryn memilih untuk menyanyikan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan lagu-lagu popularnya termasuk Cerita Cinta.

“Mungkin sebelum ini ramai yang kurang mengenali siapa Noryn Aziz. Apabila bertanding dalam GV, baru orang nampak bakat saya. Banyak yang saya belajar sepanjang bertanding.

“Menyanyi bukan sekadar melontarkan vokal, tetapi kita sebenarnya bercerita kepada pendengar. Setiap lirik punya cerita sendiri dan tugas kita untuk menyampaikannya kepada peminat.

“Kemampuan saya bukan sekadar jazz. Saya juga boleh menyanyikan lagu bergenre lain. Ramai peminat sudah nampak itu.

"Saya gembira dan teruja untuk berkongsi semua itu dengan peminat kelak,” katanya.

Sarah

Pertama kali mengadakan konsert seperti ini, jiwa Sarah meronta untuk mempersiap diri bagi menghadiahkan persembahan terbaik kepada khalayak.

Mengakui terkesima apabila dikhabarkan tentang penglibatannya pada konsert itu, dia sebak dan terharu.

“Lapan tahun tidak menyanyi, kembalinya ke dunia seni satu persatu impian saya dimakbulkan Tuhan. Benar, mimpi menjadi kenyataan.

“Sebak dan terharu. Semua tahu perjalanan kami bertiga bukan mudah.

"Pernah meniti tangga populariti tetapi terhenti langkahnya seketika. Ini peluang yang cukup berharga,” katanya.

Malah Sarah mendedahkan dia pernah membayangkan konsert dengan Misha ketika mula-mula bertapak dalam industri.

"Tidak sangka, kata-kata menjadi nyata. Pernah terfikir hendak buat konsert dengan Misha dahulu tapi sekadar omong kosong,” katanya yang mengakui kerisaunan berganda apabila digandingkan dengan dua nama yang punya vokal hebat ini.

Bukan takut ditenggelami, dia perlu bersama-sama Misha dan Noryn mengharmonikan nyanyian mereka.

“Kami bertiga bukan hendak tunjuk siapa lebih hebat. Konsert Soul Sisters bukan satu pertandingan vokal. Masing-masing ada kekuatan dan kelebihan sendiri. Semuanya kerjasama.

“Kami penyanyi solo dan perlu belajar untuk mengadunkan vokal bersama-sama. Mendapat tujuk ajar Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, ini satu konsert bertaraf antarabangsa,” katanya.