Acara Toyota Classics merupakan program kebajikan tahunan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMW Toyota Motor bagi mengumpulkan dana yang akan disumbangkan kepada golongan dan organisasi yang memerlukan.

Penganjuran kali ini menampilkan persembahan Royal Philharmonic Concert Orchestra (RPCO) dengan penampilan khas pemimpin orkestra, Anthony Weeden dan pemain biola, David Juritz.

RPCO ini ditubuhkan pada 1987 di United Kingdom dan sejak itu pernah mengadakan persembahan antaranya, bersama mendiang Luciano Pavarotti, Burt Bacharach, Tina Turner, Henry Mancini, Liza Minnelli, Barry Manilow, Sting dan Stevie Wonder.

S2 berpeluang mewawancara kedua-dua artis tersebut baru-baru ini.


Sekian lama anda lebih dikenali sebagai peneraju pemuzik solo dan pada masa sama, terlibat dalam pelbagai genre muzik. Apakah yang membentuk pendekatan anda terhadap muzik? 

Kekal segar! Maklum balas audiens terhadap muzik sangat telus. Secara naluri, ia bermakna setiap persembahan adalah berbeza. Matlamat berlatih berjam-jam bukan untuk anda menghasilkan interpretasi yang sama berulang-ulang. Ia lebih kepada memberi anda kebebasan dengan apa sahaja idea baharu semasa anda membuat persembahan pentas.

Dari 1991 hingga 2010, hampir 20 tahun anda menjadi peneraju London Mozart Players (LMP), menjadikan anda peneraju paling lama dalam sejarah orkestra. Apakah yang mendorong anda?

Saya menikmati masa menyeronokkan di LMP. Bagi saya, ia adalah tugas ideal. Saya menerima banyak peluang untuk bermain solo dan mengarah orkestra, dan tentunya saya dapat bekerja dengan sekumpulan pemuzik yang penuh komitmen.

Apakah yang mendorong kerjaya anda – minat mendalam, kemahsyuran atau wang?

Saya rasa kerana saya sekadar suka menggesek biola dan tidak putus-putus mengaguminya. Setiap hari apabila saya mengeluarkan biola dari kotak, saya bermain secara skala dan berlatih terlebih dulu. Bila anda berjaya mengalunkan beberapa nota, ia akan menentukan keseluruhan hari anda. Seseorang harus berusaha menghasilkan persembahan terbaik dan ini memberi motivasi besar kepada saya.

Saya juga bernasib baik berada dalam kedudukan yang membolehkan saya mengikuti muzik yang berbeza. Saya mengarahkan festival muzik di Dorset yang mana saya boleh memilih program dan persembahkannya di London Tango Quintet. Ia menyeronokkan.

Kemahsyuran dan wang? Itu pun bagus tetapi saya tidak terlalu memikirkannya.

(PEMIMPIN ORKESTRA)

Anda pernah mengadakan persembahan dengan banyak orkestra di seluruh dunia termasuk The Royal Philharmonic Orchestra, Metropole Orchestra (Amsterdam), The New York City Ballet Orchestra, The Greek National Opera, The Melbourne Symphony Orchestra dan banyak lagi. Apakah pengalaman ini mempengaruhi anda dalam penghasilan muzik?

Saya merasakan pengalaman muzik, meskipun ketika itu seakan tidak penting, ia boleh memberitahu dan mempengaruhi proses kreatif, dan itulah keindahan seni. Pastinya terdapat banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan, bekerja dan belajar daripada bakat-bakat hebat dari seluruh genre muzik tetapi antara yang paling memberi inspirasi ialah penonton!

Saya tidak lupa menemui seorang remaja menghadiri persembahan BBC Prom pertama saya di Royal Albert Hall di London bagi menyaksikan Simfoni kedua Mahler. Selalunya mereka yang pertama kali datang paling membawa kesan, dan ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus berkarya.

Apakah yang mempengaruhi anda semasa mula berkecimpung?

Ketika masih belajar, saya bernasib baik dapat menimba ilmu daripada pemuzik yang hebat. Saya namakan beberapa di sini: Neil Thomson (Pengarah Artistik dan Pemimpin Principal Philharmonic Orchestra of Goiás, Brazil); Daniele Gatti (Ketua Pemimpin Orkestra Royal Concertgebouw, Amsterdam); Julian Anderson (komposer); John Carewe (pemimpin orkestra); Sorab Uduman (komposer); Howard Hawkes (peniup trumpet); Django Bates (komposer) dan ramai lagi, termasuk sahabat-handai dan keluarga. Saya hargai mereka.

Anda merupakan pemenang pelbagai anugerah. Apakah anugerah pada usia muda memberi tekanan kepada anda? Bagaimana anda hadapinya dan apakah nasihat kepada pemuzik muda?

Memang wujud situasi di mana pemuzik muda diangkat ke pentas antarabangsa terlalu mendadak. Misalnya selepas memenangi pertandingan berprestij, terutama di mana syarikat rakaman dan ejen mahu meraih peluang. Namun, situasi saya sedikit berbeza dan anugerah yang saya menangi ketika itu diperoleh semasa saya mampu memahami perniagaan muzik secara matang. Nasihat saya kepada pemuzik muda agar menurut impian anda sendiri dan terus membangunkan keupayaan muzik bagi melahirkan seni terbaik.

Pengetahuan bahawa seseorang pendengar telah diberi detik keseronokan atau harapan, atau mengubah selera badan, berkomunikasi atau menerusi percambahan minda atau persembahan muzik yang mencetuskan ilham, adalah ganjaran terbesar bagi kami sebagai artis.

Namun, jangan lupa menanyakan diri sendiri mengapa anda menjadi ahli muzik dan untuk siapa anda lakukannya. Adakah untuk sepanjang hidup anda, kerana jawapannya mungkin juga berubah.

Untuk pertama kalinya, Royal Philharmonic Concert Orchestra menyertai Toyota Classics 2017, apakah yang mendorong anda?

Ia merupakan penghormatan besar bagi RPCO apabila dipelawa membuat persembahan bagi konsert jelajah Toyota Classics 2017. Adalah penting untuk orkestra ini mencapai penonton seberapa ramai yang boleh, dan konsert ini peluang terbaik untuk RPCO meneruskan misi berkomunikasi dengan penonton baharu. Muzik selalu dirujuk sebagai bahasa serupa, tetapi ia juga bahasa yang kaya. Kami gembira mempersembahkan repertoire muzk kepada penonton di Asia Tenggara dan seronok menempuh pengalaman pelbagai budaya sepanjang penjelajahan. Malah, kami juga memainkan muzik asal negara yang kami lawati.