Berkata kepada Utusan Online, Ernie yang merupakan guru vokal tidak menjangka klip video nyanyian mereka di AJL32 menjadi sohor kini (trending) di laman YouTube.

“Melalui pembacaan di ruangan komen, kebanyakannya terkejut dengan teknik wisel yang saya lakukan ketika menyampaikan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Syamel itu.

“Tidak tahu hendak kata apa-apa cuma saya berterima kasih atas setiap pujian yang telah diberikan. Alhamdulillah, kerja keras kami berdua membuahkan hasil,” katanya.

Menurut Ernie, selepas kejayaan Aku Cinta, dia dan Syamel sedang sibuk menghasilkan dan mempromosikan single solo masing-masing.

Terdahulu, pada sidang akhbar sejurus tamatnya AJL32, pasangan duet itu mendapat pujian juri yang mengatakan tiada satu nada pun nyanyian mereka kedengaran sumbang.

Paduan sempurna tersebut sekali gus melayakkan Ernie dan Syamel menjulang trofi Vokal Terbaik pada malam berlangsungnya 11 Februari lalu.

Mengulas lanjut tentang kolaborasinya dengan penyanyi lagu Lebih Sempurna itu, dia menunggu sahaja lamaran Syamel.

“Memang ada perancangan tetapi kami mahu fokus dulu terhadap lagu solo. Syamel baru sahaja tampil dengan single Biar Cinta.

“Saya juga sudah ada lagu cuma belum siap sepenuhnya. Tajuk pun belum dimuktamadkan. Masih dalam proses pembikinan,” jelasnya yang akan tampil dengan single solo pada April ini. - UTUSAN ONLINE