Dalam perkongsian penyanyi itu di laman sosialnya, seorang peminat dari Brazil juga turut memuat naik gambar dirinya dengan tatu Siti Nurhaliza di lengan sebagai tanda sayang dan minatnya terhadap penyanyi Jerat Percintaan itu.

Dalam kapsyen yang dimuat naik lelaki yang dikenali sebagai Pedro itu, dia mula meminati penyanyi itu sejak pertama kali mendengar lagu Kesilapanku, Keegoanmu yang dikeluarkan pada tahun 1997 menerusi album Siti Nurhaliza 2.

“Sejak hari itu, saya membawa Siti Nurhaliza dalam hati dan diri saya. Saya gembira dan teruja melihat kehidupan dan kesihatan anda yang baik bersama suami tercinta.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk anda, ikhlas daripada Pedro, peminat nombor satu anda dari Brazil,” katanya yang menggunakan akaun @Philosopop di Instagram.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza yang memuat naik kembali gambar itu ke laman Instagramnya berterima kasih kepada Pedro dan mengharapkan agar lelaki itu datang ke Malaysia suatu hari nanti.- UTUSAN ONLINE