Ukuran yang sepatutnya dilakukan pada kepadatan estetika yang ditonjolkan pada setiap karya yang diketengahkan kepada masyarakat. Perlu bersandar sepenuhnya pada nilai kemanusiaan sejagat agar penonton tidak diisi dengan hiburan yang tidak berasas.

Juga dengan soal penceritaan, setiap naskhah juga menuntut kejujuran yang diseimbangkan dengan citra karya yang tidak boleh terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya.

Filem Adiwiraku adalah contoh filem yang dihasilkan dalam bajet rendah, sekitar RM500,000 dan kemudiannya mendapat kutipan sebanyak RM117,810 selepas 21 hari ditayangkan di pawagam.

Filem itu tidak memberi sebarang pulangan yang berlipat kali ganda kepada pihak penerbitan. Fakta ini diakui pengarah filem, Eric Ong dan penerbit eksekutifnya, Jason Chong.

Sebaliknya pembikin filem tersebut mahu menyampaikan mesej golongan penonton dalam usaha membuka minda mereka agar tidak berterusan disogokkan dengan jalan cerita yang klise.

“Dari peringkat awal penerbitan Adiwiraku dihasilkan, memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Bajet kecil dan tiada elemen komersial membabitkan barisan pelakon, semua itu bukan penghalang buat filem itu dihasilkan.

“Sebaliknya, filem itu berpegang teguh kepada kejujuran dan keikhlasan barisan pelakon dan pasukan produksi yang bersepakat untuk menjayakan filem itu tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran akan datang,” kata Jason.

Adiwiraku adalah antara 53 filem cereka yang menyertai FFM29 tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 19 filem yang berjaya dicalonkan dalam temasya yang sama.

Permulaan yang baik

KEPUTUSAN penuh FFM29 tahun ini juga digambarkan sebagai corak masa depan perfileman tempatan. Boleh dikatakan juga sebagai pembuka jalan buat setiap pembikin filem untuk lebih kreatif menyampaikan idea yang lebih dekat dengan hati penonton.

Paling penting, filem yang dihasilkan itu bukan berorientasikan kepada hiburan semata-mata sebaliknya mengangkat identiti tempatan sebagai pendedahan kepada masyarakat luar negara.

Itu juga menjadi tanggungjawab utama pengkarya filem dalam usaha menggambarkan keistimewaan Malaysia yang tidak pernah meminggirkan soal nilai moral dan estetika kebanggaan setiap bangsa yang terbilang walaupun negara itu sudah maju ke depan.

Jika setiap seorang daripada pembikin filem tempatan berlumba-lumba untuk menghasilkan filem terbaik sebegini, tidak hairanlah jika satu hari nanti dunia perfileman tempatan setaraf piawaian pembikin filem antarabangsa pula.

Nasib filem kalah

HINGGAKAN ada yang bertanya bagaimana pula nasib 34 pembikin filem yang menghantar karya mereka tetapi langsung tidak berpeluang untuk dicalonkan dalam mana-mana kategori yang dipertandingkan dalam FFM29 kali ini?

Antaranya filem Pencuri Hati Mr. Cinderella, Minah Moto, Sindiket, Let’s Eat, Lurking Woods, Harmonika, Malay Regiment, Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior dan RIP.

Adakah filem mereka tidak bagus disebabkan kegagalan mendapat kutipan yang memberangsangkan di pawagam atau kurang menepati piawaian yang ditetapkan barisan panel juri yang diketuai pengarah dan penulis, Adman Salleh.

Ada pihak menyatakan rasa simpati kepada golongan pembikin filem sebegini apabila gagal mendapat tempat di hati barisan panel juri profesional yang menilai hasil karya mereka.

Bagaimanapun itu bukan persoalan utama di sini. Sebagai pembikin filem, Datuk Jurey Latiff Rosli juga tidak pernah menjadikan isu filem terbitannya, Malay Regiment tidak mendapat pencalonan sebarang pencalonan dalam FFM29 kali ini sebagai satu isu besar.

Sebaliknya beliau menghormati keputusan sebulat suara yang dibuat panel juri yang semestinya arif dalam lapangan bidang mereka dalam usaha mencari filem terbaik.

“Menang atau kalah adat pertandingan. Saya menyokong sepenuhnya keputusan pihak juri. Tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana semuanya sudah ditentukan.

“Apa yang penting di sini adalah semangat juang buat setiap pembikin filem agar tidak mudah mengalah dengan kerja mereka,” kata Jurey yang turut menyifatkan keputusan FFM29 kali ini sangat adil dan saksama.

Filem aksi Malay Regiment terbitan World Evolution Brain (M) Sdn.Bhd. mendapat kutipan sebanyak RM60,060 selepas 17 hari ditayangkan di pawagam.

Malay Regiment antara 41 filem berbahasa Melayu dipertandingkan dalam FFM29 selain filem bahasa Mandarin (6), bahasa Tamil (5) dan bahasa Inggeris (1).