Bagaimanapun, terbaharu, pengarah yang sebelum ini pernah mencetuskan fenomena tersendiri apabila mengarahkan filem mitos Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin tidak takut untuk mencuba walaupun ini adalah pertama kali mengarahkan sebuah filem genre sukan.

Diterbitkan oleh U2 Media Sdn. Bhd., yang sebelum ini pernah menerbitkan filem hebat seperti Lelaki Harapan Dunia, produksi tersebut kini tampil dengan sebuah lagi karya yang dijangka berkualiti iaitu Jejak Warriors.

Bertemu dengan Teong Hin yang hadir ke Studio Utusan baru-baru ini, dia sendiri mengakui bahawa dirinya bukanlah peminat tegar industri bola sepak tempatan, apatah lagi sebuah pasukan yang bukan berstatus kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, mandat yang diberikan kepadanya untuk mengarahkan sebuah karya yang belum pernah menjadi bahan ‘permainannya’ iaitu genre sukan, dia berasa teruja untuk memikul peranan tersebut dan berjanji untuk mencuba sedaya upaya untuk menterjemahkan kehendak penulis skrip dalam bentuk visual yang bukan sahaja menarik minat pencinta filem tempatan, bahkan peminat sukan tanah air.

“Saya tidak berapa mengikuti perkembangan semasa sukan bola sepak di negara ini kerana saya sendiri tidak minat bermain bola sepak. Tetapi apabila mendapat tugasan ini, saya rasa ia sesuatu yang menarik untuk dicuba.

“Filem-filem bola sepak yang pernah saya tonton selama ini selalunya tertumpu pada kisah individu atau sepasukan mencapai kemenangan di padang mahupun dalam kehidupan seharian.

“Tetapi berlainan dengan mesej yang terdapat di sebalik skrip Jejak Warriors. Ia menyentuh aspek yang paling saya minati tentang sukan ini, yakni semangat persaudaraan dan kesetiaan dalam kalangan peminat,” katanya.

Bagi pengarah berkenaan, pasukan bola sepak ibarat sebuah keluarga. Itulah kelainan yang ada dalam Jejak Warriors yang sarat dengan mesej kekeluargaan tetapi pada masa yang sama penerapan semangat kesukanan yang jitu.

“Pengisian serta moral yang terdapat di dalamnya benar-benar berguna untuk ditonton selain mempunyai elemen fantasi tersendiri,” jelasnya.

Antara barisan pelakon Jejak Warriors ialah Allif Firdaus, Pekin Ibrahim, Nadiya Nisaa serta pemain The Red Warriors iaitu Khairul Fahmi, Wan Zack Haikal, Mohd. Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam.

Bulan jatuh ke riba

Mendekati teraju utama filem Jejak Warriors yang baru berusia 14 tahun, Allif Firdaus, remaja berkenaan sememangnya seorang pemain bola sepak di sekolahnya.

Diperkenalkan oleh mentornya yang juga pelawak tersohor Sabri Yunus ke bidang lakonan, Allif mengakui tawaran membintangi sebuah karya yang berhubung kait dengan minat sejatinya iaitu bermain bola sepak adalah sesuatu yang di luar dugaan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah bimbingan Sabri sendiri menerusi drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang diarahkannya. Selepas itu pernah juga membintangi telefilem Primadona Yang Hilang, juga arahannya.

“Jadi, penglibatan saya dalam bidang lakonan adalah disebabkan beliau yang berjaya meyakinkan saya tentang bakat yang ada dalam diri. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu boleh berlakon.

“Minat memang ada, tetapi saya takut untuk mencuba sebelum keyakinan itu datang sedikit demi sedikit selepas mencuba dan terus mencuba. Tak tahu, saya akan tanya terus dan cuba perbaiki. Petua yang saya amalkan, saya akan fahamkan keseluruhan jalan cerita. Dah faham, baru saya berani nak mulakan penggambaran,” ceritanya yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan.

Mengulas tentang tanggungjawabnya sebagai pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Azhariah, Melor, Kota Bharu, Allif memberitahu, keizinan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya memudahkan dia merencanakan segalanya.

“Ibu bapa menyokongpembabitan dalam bidang ini. Mereka juga yang membantu saya menyusun jadual dan menguruskan hal-hal lain. Jika ketinggalan dalam subjek di sekolah, saya akan buat susulan dengan cikgu ataupun rakan sekelas.

“Pada masa sama, keluarga juga membantu saya dalam pelajaran, jadi tidak timbul isu keciciran dalam mata pelajaran,” jelasnya yang rasa bangga dapat berlakon bersama barisan bintang filem serta bintang sukan kelahiran Cik Siti Wan Kembang.

Bukan filem pasukan Kelantan

Dalam pada itu, pelakon yang menjadi bapa kepada Allif iaitu Pekin Ibrahim melahirkan rasa bangga dengan penghasilan filem Jejak Warriors. Ini kerana, filem berkenaan bukan semata-mata bercerita tentang pasukan bola sepak Kelantan, tetapi keseluruhannya tentang industri bola sepak tempatan.

“Sebab itu saya percaya, filem ini bukan sahaja mampu menarik minat penyokong The Red Warriors, tetapi ia turut akan membawa keseluruhan peminat bola sepak di negara ini ke pawagam kerana ia kisah bola sepak tanah air secara amnya.

“Ini tidak tertumpu kepada pasukan Kelantan sahaja, tetapi bagaimana corak persembahan yang ditampilkan selain kisah realiti di sebalik sukan ini sendiri.

“Lebih menarik, ia diarahkan oleh seorang pengarah yang bukan peminat bola sepak dan juga bukan anak kelahiran Kelantan, tetapi jiwa Kelantan itu dapat digambarkan dengan begitu baik.

“Sebagai bonus, rusuhan pada 2009 yang berlaku di Stadium Mohammad IV, Kota Bharu dalam satu perlawanan bola sepak turut dilakonkan semula dan ini mendapat bantuan penduduk tempatan yang suka rela membabitkan diri dalam babak berkenaan.

“Secara tidak langsung, rusuhan tersebut nampak seperti benar-benar berlaku, tambahan pula dengan pembabitan pemain bola sepak Kelantan yang pernah menempuhi pengalaman itu,” katanya.