Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Peluk Islam selepas ibu berkahwin lagi

Shuhaimi Lua Abdullah 9
Shuhaimi Lua Abdullah

BUKAN senang untuk menjadi senang! Itu kata-kata perangsang si ibu yang masih dipegang oleh pengarah drama, Shuhaimi Lua Abdullah, 42 hingga ke hari ini.

Berasal dari keluarga susah, sejak kecil lagi, anak ketiga dari lima orang adik-beradik ini sudah diajar cara mencari duit.

“Dulu semasa berumur sembilan tahun saya selalu membantu ayah berniaga di kedai runcitnya di Kampung Beris, Gajah Mati, Kelantan.

“Hampir setiap pagi, saya ditugaskan oleh ayah untuk mengambil surat khabar daripada pembekal dan menjualnya di kedai kami.

“Tepat pukul enam pagi, saya sudah pun keluar dari rumah untuk mengambil surat khabar daripada pembekal. Kemudian menjualnya di kedai sementara menunggu ayah mengambil alih menjaga kedai.

“Selepas pulang ke rumah, saya menyambung tugas menjaga adik-adik pula memandangkan ibu perlu membantu ayah. Itulah rutin harian saya setiap kali tibanya hujung minggu dan cuti sekolah.

“Masa tu, setiap kali membantu di kedai, saya akan dibayar upah. Saya masih ingat lagi, duit tersebut akan saya simpan di dalam tabung buluh di tepi katil,” ujarnya mengenang kisah lampau.

Menginjak usia 10 tahun, ayah dan ibunya mengambil keputusan untuk bercerai. Ketika itu, dia bersama adik-beradik yang lain kekal di bawah jagaan ibunya.

Perceraian tersebut membuatkan mereka anak-beranak kehilangan sumber pendapatan. Ketika itu, dia terpaksa membantu ibu menjual kain pasang dari rumah ke rumah.

“Saya sering mengikut ibu menjaja kain kerana kasihan dengannya. Kadang-kadang sampai ke malam baru kami pulang. Jika saya keluar dengan ibu, abang dan kakak pula akan menjaga adik-adik.

“Hidup kami ketika itu agak susah. Bayangkan pelanggan semua akan bayar duit kain secara ansuran setiap bulan. Kadang-kadang RM 10 sebulan dan tak kurang juga ramai yang liat untuk membayar.

“Dengan duit tidak seberapa itulah kami meneruskan hidup. Pernah juga kami terpaksa mengikat perut bila ibu betul-betul tiada duit. Tapi yang pasti kami adik-beradik tetap bersekolah biar sukar mana sekalipun keadaan ketika itu,” tuturnya.

Dari Pelakon ke Pengarah

Tidak pernah menyangka hasratnya untuk berlakon menjadi kenyataan, dia cukup teruja apabila diberi peluang untuk berlakon oleh seorang penerbit yang menjalankan penggambaran di tempat kerjanya.

“Lakonan saya yang pertama adalah menerusi telefilem Zarul VS Zarina, saya bergandingan dengan Allahyarham Faizal Yusuf. Selepas itu, saya terus lagi mendapat tawaran sebagai pelakon pembantu.

“Hampir dua tahun bergelar pelakon saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang seni.

“Tapi dalam masa yang sama, saya dapat merasakan diri ini kekurangan pakej untuk bergelar pelakon. Kerana itu saya mengambil peluang untuk mempelajari bidang pengarahan pula.

“Tanpa membuang masa, saya terus bergerak dengan bekerja di bawah syarikat produksi milik Datuk Jurey Latif. Di situ saya bergelar pengurus produksi. Perlahan-lahan saya belajar menulis skrip dan menyertai kursus di bawah kelolaan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia),” ungkapnya.

Mungkin kerana minat yang mendalam, dia tidak mengambil masa yang lama untuk mengarah. Hasil dari pengalaman yang diperoleh, dia kemudiannya mengarah filem pendek berjudul Chukang.

“Filem tersebut penuh dengan kontroversi kerana mengisahkan dunia songsang hubungan sejenis. Pun begitu ia berjaya menjadi platform untuk saya mencipta nama dalam bidang pengarahan.

“Bagi mengukuhkan nama dan bergerak maju ke hadapan pada tahun 2013, saya kemudiannya menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Tanah Beris Film Production.

“Biarpun begitu, ia bukanlah semudah yang disangka. Dengan pengalaman dan tunjuk ajar dari rakan-rakan, saya mengeluarkan wang sebanyak RM 65,000 untuk menyiapkan tele filem berjudul Perempuan Tanpa Rahim dan beberapa bulan menanti, akhirnya telefilem berkenaan menerima respon daripada pihak TV3,” tuturnya lagi.

Bermula dari situ juga, lama kelamaan, dia semakin mendapat perhatian dan mula mendapat banyak tawaran untuk mengarahkan drama serta tele filem. Sehingga kini hampir 40 buah drama dan tele filem berjaya dihasilkan.

Antara hasil kerja yang menaikkan namanya adalah Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Bencita, Rebah Taubat, Beruk Tok Ayah, Nasuha dan Ramadhan Jangan Tinggal Kami.

Figura ini juga berkebolehan dalam mengarahkan drama komedi seperti Jangan Ambil Botol Itu, Kampung Ku, Besan Tiga Segi, Aidiladha, Abang Sado Kau Ado dan banyak lagi.

Sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang pengarahan, dia juga tidak terlepas berhadapan dengan pelbagai dugaan serta kontroversi. Tidak tunduk mengalah, dia sebaliknya menjadikan pengalaman tersebut penguat semangat.

“Antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan apabila berlaku salah faham dengan seorang penerbit wanita. Peristiwa itu pernah membuatkan saya hampir serik menerima tawaran mengarahkan telefilem atau drama daripada syarikat luar.

"Ini menjadi pengajaran dan saya lebih berhati-hati selepas itu,” katanya yang kini sedang sibuk mengarahkan lapan buah drama sebelum menjelang nya Aidilfitri, selain bakal mengarahkan dua buah filem pada tahun hadapan.

Pelajar Komunikasi

Tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Komunikasi Massa kerana inginkan kelainan dalam dunia pekerjaannya.

Pun begitu hasratnya ditentang oleh keluarga dan rakan-rakan. Orang di sekelilingnya ketika itu menganggap bidang tersebut tidak menjamin masa depan yang cerah.

“Waktu tu ramai kawan-kawan yang minta jadi guru kerana keluar-keluar sahaja dijamin dapat kerja.

“Tapi saya satu-satunya yang meminati bidang lain. Tapi saya tak sangka waktu itu, saya diterima melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Komunikasi Massa di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Tiga tahun bergelar pelajar dari 1996 sehingga 1999, saya mula menyedari yang jiwa ini lebih terarah pada bidang seni. Di sana saya merupakan antara pelajar yang aktif mengikuti kelas tarian, lakonan, teater dan sebagainya,” katanya dalam bicara kepada Pancaindera.

Walau bagaimanapun sejurus tamat pengajian pada 1999, dia tidak berjaya merealisasikan impiannya untuk berada dalam bidang seni memandangkan ketika itu negara dilanda kegawatan ekonomi.

“Tamat sahaja pengajian saya bekerja dalam bidang korporat selama tiga tahun. Selepas itu, beralih pula ke bahagian pemasaran di sebuah syarikat makanan segera yang agak popular.

“Ketika bekerja di situ, saya lihat banyak syarikat produksi datang ke syarikat kami untuk menjalankan penggambaran di situ. Sedar tak sedar, saya teruja dan jatuh cinta terhadap bidang seni bila melihat orang berlakon dan bekerja di belakang tabir,” katanya.

Peluk Islam

Dua tahun hidup sebagai ibu tunggal, akhirnya ibunya bertemu jodoh dengan lelaki Melayu bernama Wan Mamat Wan Donik. Ketika itu, hidup mereka agak terurus dan tidak sesukar sebelumnya. Setelah ibunya berkahwin dan memeluk Islam, dia-bersama adik beradik yang lain pun turut serta memeluk Islam.

Jika sebelum itu dia dikenali sebagai Lua Kun See, setelah memeluk Islam namanya ditukar kepada Shuhaimi Lua Abdullah.

Pun begitu, hidup mereka sekeluarga terus diuji apabila keluarga sebelah ibunya tidak menerima penghijrahan mereka.

“Agak sukar juga ketika itu apabila keluarga sebelah ibu bertindak memulaukan kami. Puas ibu memujuk namun tidak berhasil. Waktu tu saya kasihan melihat ibu yang sering menangis.

“Tidak cukup dengan itu, kami juga terpaksa kuatkan semangat untuk meneruskan hidup. Maklumlah ketika penghujung 80-an, masyarakat kurang terbuka untuk menerima golongan mualaf berbanding hari ini.

“Ramai yang menggagap kami sebagai orang asing. Kadang-kadang bila ada kenduri ke, kami tidak dijemput, tetapi mujurlah guru-guru dan rakan di sekolah boleh menerima.

“Saya masih ingat, waktu itu, ibu dan ayah tiri selalu berpesan pada kami adik beradik supaya terus kuat dan jangan sesekali mengalah,” ujar bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Tawang, Bachok, Kelantan ini lagi.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan