Pelakon ini sudah pun dijatuhkan hukuman oleh pihak Majlis Hakim Pengadilan Negeri Jakarta Pusat dan perlu menjalani pemulihan selama setahun. Walau bagaima­napun beberapa hari selepas dijatuhi hukuman, dia dilihat bersiar-siar dengan kekasihnya pelakon Ranty Maria.

Padahal ketika itu, ramai yang sedia maklum dia baru sahaja dijatuhi hukuman satu tahun pemulihan. Menjawab persoalan yang berlegar, menurut Ammar, status hukumannya sudah ditetapkan pada November 2017. Namun tempoh tersebut telah dikurangkan kepada lima bulan.

“Memang ramai yang beranggapan saya perlu berada satu tahun di penjara. Namun sebelum dijatuhi hukuman, saya telah pun menjalani tempoh lima bulan sebagai tahanan. Tinggal tempoh tujuh bulan lagi saya akan menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Natura, Jakarta Selatan.

“Saya sebenarnya sudah bebas bergerak seperti orang lain, cuma dalam masa tujuh bulan ini, diwajibkan melapor diri setiap minggu kepada pihak polis. Setiap kali ke sana saya harus menjalani ujian air kencing dan berjumpa dengan kaunselor. Mereka akan lihat perkembangan saya dalam tempoh tersebut,” ungkapnya kepada media di Jakarta Selatan.

Tidak menyalahkan pihak yang meragui status hukumannya, dia berharap agar tiada kekeliruan lagi yang timbul tentang perkara tersebut.

“Cuma sekarang, saya wajib melapor diri sebelum buat sesuatu aktiviti, itu sahaja. Biarpun begitu sekarang jiwa saya lebih tenang dan sedikit pun tidak berasa terbeban dengan hukuman tersebut. Dalam masa yang sama saya akan memastikan perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” ujarnya penuh keinsafan.

Ekoran peristiwa hitam itu, bintang sinetron Anak Langit ini turut kehilangan beberapa kontrak seninya. Dalam tempoh tersebut dia berada dalam fasa yang sulit untuk berdepan dengan kenyataan. Namun kini, dia kembali bangkit semula untuk menebus kembali kesilapan yang pernah dilakukannya.

Terdahulu, penangkapan Amar bermula dari maklumat yang diberikan oleh orang ramai mengenai sebuah rumah yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah. Setelah menjalankan siasatan, pihak berkuasa akhirnya melakukan penggeledahan di kediamannya yang terletak di Pesona Khayangan, Sukmajaya.

Kekasih setia

LELAKI ini sangat beruntung kerana dikelilingi oleh insan-insan yang sayang kepadanya. Antaranya, Ranty Maria yang setia mendampingi sehingga dia dijatuhi hukuman.

“Ranty sangat luar biasa. Sudah tentu dia mendapat tempiasnya kerana dia kekasih saya, namun sedikit pun dia tidak gelabah.

“Waktu saya ditahan selama 10 hari, hampir setiap hari dia menemani biarpun jadualnya padat dengan penggambaran. Selepas berpindah ke pusat pemulihan di Lido, Sukabumi, dia juga ada datang, itu yang membuatkan saya begitu terharu dengan pengorbanannya,” cerita Ammar lagi.

Ranty tidak sesekali terpengaruh dengan orang sekeliling yang meminta menjauhi dirinya. Sebaliknya si kekasih semakin kuat dan setia untuk menunggu sehingga masalahnya selesai.

“Disebabkan dia orang yang paling dekat dengan saya sudah pasti dia mendapat bisikan dari teman-teman dan keluarga tetapi, Ranty tidak terikut-ikut dengan cakap-cakap orang. Dia benar-benar seorang yang luar biasa di mata saya. Padahal saya sendiri tidak boleh membayangkan bagaimana perasaan andai menjadi dirinya,” tutur Ammar Zoni.

Terjerat dengan kes tersebut juga tidak membuatkan kekasihnya terkejut. Ini kerana Ranty sememangnya sudah mengetahui perkara itu sebelum dia tertangkap lagi. Malah sering mengingatkannya untuk berhenti mengambil dadah.

“Tidak ramai yang tahu melainkan mereka yang terdekat dengan saya, Ranty selalu beri amaran yang saya akan menyesal. Cuma ketika itu tidak terkesan dengan kata-katanya kerana dipengaruhi oleh dadah. Beberapa sahabat juga tidak putus memberi nasihat. Mereka datang berjumpa, memeluk erat sambil menangis. Tidak sekalipun mereka menghakimi malah sentiasa memberi kata-kata semangat,” ujar artis yang mahir bermain silat ini lagi.