Sejak mendapat tahu dirinya menghidap penyakit tersebut pada Julai tahun lalu, bintang filem Hamara Dil Aapke Paas Hai ini pergi menjalani rawatan di New York. Namun dia tidak membiarkan peminat risau dengan kesihatannya.

Sonali sering mengemaskini akaun Instagram berkongsi mengenai perjalanan hidupnya bertarung dengan kanser. Pelakon berusia 44 ini seolah-olah mahu perjuangannya memberi inspirasi untuk membantu pesakit kanser lain.

 

Wanita ini bagaimanapun berkata, pada mulanya dia berat hati mahu menjalani rawatan di sana tetapi selepas dipujuk suaminya Goldie Behl, barulah dia bersetuju.

“Kami telah menghantar semua ujian sebelum berangkat ke sana. Ketika sampai di hospital, doktor memaklumkan kanser saya sudah di tahap keempat dan saya mempunyai 30 peratus peluang untuk hidup.

“Berita itu benar-benar memeranjatkan dan saya hanya berpaling ke arah Goldie. Dan saya masih ingat lagi tatkala saya melihatnya saya mengucapkan terima kasih kepada Tuhan, kerana dia (Goldie) telah membawa saya ke sini,” kata ibu anak satu ini.

Sonali kini menjalani rutin seperti biasa dengan melakukan pelbagai aktiviti yang digemari. Malah penyakit dideritai itu tidak sedikit pun membuatnya berputus asa untuk menikmati hidup.