Filem seram memerlukan teknik pembikinan yang lebih rumit kerana memerlukan sentuhan terhadap emosi penonton dan mempunyai keupayaan untuk mencuit rasa takut dalam jiwa mereka. Filem seram juga bergerak dalam pelbagai kerangka ketakutan termasuk penerokaan aspek hantu, mistik, roh dan sebagainya. Filem seram Malaysia juga memiliki nilainya yang tersendiri melalui penonjolan imej-imej seram bersifat tempatan seperti pocong, penanggal, pontianak dan saka.

Filem seram yang tidak mampu menyentuh titik ketakutan dalam emosi penonton akan menjadi filem seram yang gagal. Inilah yang berlaku kepada filem Pelepas Saka lakon layar dan arahan oleh Hashim Rejab. Filem ini cuba bermain dengan isu pewarisan saka dan bagaimana saka itu cuba dipindahkan ke individu lain. Di dalam filem ini digambarkan ritual-ritual yang digunakan dalam usaha pemindahan saka berkenaan. Pelepas Saka mempertaruhkan wajah-wajah baru sebagai penggerak utama filem ini.

Hanif Safuan, Lydia Izzati dan Hafizz Bahari dan dibantu oleh pelakon-pelakon seperti Esma Daniel, Wan Norazlin, Nor Albaniah, Fauzi Nawawi dan Aman Graseka. Filem ini berkisar tentang watak Haider (Hanif) dan isterinya, Alisya (Lydia) pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri doa selamat yang dibuat oleh ibu bapa Haider lakonan Esma dan Wan Norazlin. Turut pulang ialah adik Haider, Raden (Hafizz).

Raden adalah bekas kekasih Alisya dan selepas saka Asiah (Nor Albaniah) dilepaskan kepada Haider, dia mula berubah dan menjadi seorang yang panas baran dan mula mengesyaki Raden cuba menjalinkan semula hubungan dengan isterinya, Alisya.

Filem ini mempunyai masalah yang ketara pada aspek penceritaannya apabila kita hanya dipaparkan dengan elemen-elemen biasa yang sudah dilambakkan di dalam filem-filem seram sebelum ini, tiada apa-apa pembaharuan dapat dikesan pada filem ini.

Aspek penceritaan yang kurang ini juga memberikan kesan kepada mutu lakonan yang nampak canggung dalam beberapa babak. Namun begitu, lakonan Nor Albaniah kelihatan baik dan Hanif Safuan juga memberikan persembahan yang boleh diberikan pujian semasa babaknya dirasuk.

Kekurangan

Kitaran semula kepada kisah-kisah seram yang biasa kita tonton di layar perak atau kaca televisyen sememangnya mudah kita kesan di dalam Pelepas Saka. Malah cubaan untuk menimbulkan rasa seram itu juga seperti dibuat-buat dan hanya bergantung semata-mata kepada kesan solekan wajah seram saka berkenaan.

Sewajarnya sesebuah filem seram yang lengkap harus memiliki keupayaan untuk menjalinkan aspek bunyi dan visual menjadi satu simbol keseraman yang mampu mengusik penonton, namun perkara ini tidak dirasakan di dalam Pelepas Saka.

Suntingan filem ini juga seperti tidak lancar dan terdapat juga pengulangan babak yang sewajarnya tidak perlu kerana ini hanya mengganggu mood penontonan dan mengurangkan daya pemahaman penonton untuk mengikuti filem ini sehingga tamat.

Pelepas Saka hanya menggunakan formula mudah, pulang ke kampung, di rasuk saka dan kemudian saka dikeluarkan hasil bantuan seorang ustaz. Pengisian yang tidak cukup dan pengembangan watak yang tidak sekata ini membuatkan kita merasakan filem ini sekadar sebuah lagi filem seram. Jika filem ini mengukuhkan aspek penceritaan, permainan visual yang lebih menarik serta mampu meneroka subjek saka itu dengan lebih teliti mungkin Pelepas Saka akan mampu memberikan hasil yang lebih positif.

Filem seram seperti Seru (2011) arahan dan lakon layar oleh Woo Ming Jin dan Pierre Andre merupakan filem seram yang memiliki kekuatan penceritaan yang dimaksudkan dan kita dapat merasakan bagaimana filem ini mampu mengacau emosi dan ketakutan kita walaupun tanpa paparan wajah-wajah hodoh. Filem Seru ini sebenarnya wajar dianggap sebagai salah sebuah filem seram terbaik Malaysia, namun sayangnya filem ini tidak menerima pengiktirafan sewajarnya.

Selain itu, sebuah filem pendek arahan Muzzamer Rahman berjudul Nadia (2015) melalui projek kerjasama tiga syarikat penerbitan alternatif, Fixi, Lejen Press dan DuBook Press juga boleh dianggap sebagai filem seram yang baik. Filem yang berdurasi 17 minit ini menampilkan Beto Kusyairy, Azhan Rani, Sara Ali, Jay Izwazir dan Zaidi Omar. Filem Nadia ini diadaptasi daripada cerpen oleh Jarr Najmuddean di dalam buku #CeritaSeram terbitan DuBook Press.

Filem ini berjaya menimbulkan suasana seram melalui jalinan visual dan bunyi yang baik di samping warna filemnya yang menyerlahkan kesuraman yang cuba ditampilkan. Ruang seram yang diteroka juga terkawal dan kelihatan begitu natural. Filem ini boleh ditonton sehingga kini di YouTube.

Muzzamer Rahman wajar diberikan ruang yang besar untuk memberikan dimensi segar terhadap penceritaan filem seram di Malaysia dan kita berharap satu hari nanti dia mampu membikin filem cereka berdurasi panjang. Tambahan pula beliau juga pernah menerima anugerah Young Filmmaker Awards di Malaysian Digital Film Awards pada tahun lalu.

Filem seram yang baik boleh dibikin dengan sempurna jika kita memiliki pembikin filem yang sentiasa datang dengan idea-idea segar seperti Woo Ming Jin, Pierre Andre dan Muzzamer Rahman serta penulis seperti Jarr Najmuddean yang mempunyai keupayaan untuk menulis kisah-kisah seram yang lebih kuat dan kukuh. Jalinan hubungan antara penulis yang baik dan pembikin filem yang berfikiran luar jangka mampu membantu kita melepaskan saka-saka yang sekian lama menyakiti filem-filem seram kita.