Signifikannya sebagai seorang penyanyi, tentu sahaja menghasilkan sebuah album baharu sesuatu yang dinanti-nantikan. Dan kata Ella, dia tidak sabar untuk berkongsi karya-karya pilihannya kali ini.

Lebih penting, ini album buat peminat, kongsinya sewaktu santai bercerita tentang buah tangan baharunya itu yang juga merupakan lambang kerjaya dan minatnya dalam bidang nyanyian yang akan terus diharungi tanpa jemu dan lelah.

Mahu menyajikan hanya yang terbaik, Peace. Love. Rindu direalisasikan dalam tempoh hampir dua tahun kerana bukan mudah mencari lagu-lagu bersesuaian malah daripada lebih 50 karya yang dipersembah kepada Ella dan syarikat rakaman, hanya lapan menjadi pilihan.

Tentu sahaja karya-karya Datuk M. Nasir, Edrie Hashim, Lord, Sam Bunkface serta kolaborasi Omar K, Ezral Kong dan Faizal Tahir mendasari pilihan kali ini. Gabungan dua generasi - baharu dan lama.

Malah kata Ella, biar pendekatan berbeza daripada setiap komposer namun dia tetap mempersembahnya dengan gaya seorang Ella yang akarnya tetap rock n roll.

“Umpama membina sebuah rumah, begitu jugalah yang saya rasakan ketika menyiapkan album ini. Memang banyak lagu yang diberikan malah sehingga kini masih ada yang menghulurkan karya-karya mereka.

“Memang terharu kerana semua karya yang diberikan bagus-bagus belaka dan ini adalah pilihan yang sudah ditapis, ditapis sampai pening,” kata Ella sambil ketawa.

Kali terakhir Ella muncul dengan album solo menerusi Rama-Rama pada 2007.

Menampilkan lagu-lagu Raguku, Abstraksi Hujan, Sujud, Comel, Ku Sedia, Istimewah, 
Peace Love dan trek bonus Peace. Love. Rindu, setiap lagu 
yang dimuatkan mempunyai sentuhan individu daripada komposernya.

Tentunya kolaborasi dengan Lord memberikan satu rasa tersendiri lagi istimewa buat Ella yang sebelum ini - ketika bersama-sama Ella and The Boys - pernah menghasilkan lagu yang membuatkan Ella dikenali menerusi Dua Insan Bercinta yang terus malar segar sehingga hari ini.

Malah lagu Peace Love 
dan Peace. Love. Rindu yang diberikan Lord itu memang dicipta khas untuk Ratu Rock tersebut dengan komposisi daripada AG Coco.

“Bahagian paling seronok dalam pembikinan album ini tentunya kerjasama dengan Lord. Saya memang rindukan sentuhannya,” kata Ella yang turut popular menerusi lagu Hanya Secebis Harapan, juga ciptaan Lord ketika bersama-sama Ella and The Boys.

Dan kata Ella, lagu Raguku ciptaan M. Nasir merupakan karya yang amat digemarinya secara peribadi.

“Ya, memang saya sangat teruja menantikan reaksi 
peminat terhadap album ini, peminat yang selama ini menantikan buah tangan baharu daripada saya. Ini juga rasa rindu saya buat kerjaya dan minat saya dalam seni suara.

“Harapan saya supaya khalayak menyukainya dan dapat menerimanya dengan baik. Saya tak sabar untuk bertemu dengan semua (peminat), baik peminat sedia ada mahupun generasi baharu,” ujarnya. - Gambar FATAH
 SULAIMAN

Perjalanan si Ratu Rock

Dalam keterujaannya menanti reaksi dan sambutan peminat terhadap album baharu, Ella juga teruja menanti Disember untuk menjayakan persembahan A Rock Queen’s Journey di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Merupakan sebuah konsert solo pertama seumpamanya yang menampilkan artis rock tempatan dengan iringan orkestra berprestij DFP bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Ros, persembahan tersebut pastinya melakar satu lagi sejarah dalam kanvas kerjaya seninya.

Bakal berlangsung selama dua malam pada 2 Disember dan 3 Disember ini, Ella bakal mengegarkan dengan himpunan lagu-lagu hits malar segarnya dan sebanyak 17 buah lagu termasuk medley dipilih untuk dipersembah sepanjang sejam setengah konsert berlangsung.

“Ini sesuatu yang amat saya tunggu-tunggu,” kata isteri kepada juruterbang, Azhar Ghazali ini.

Dan selepas lebih 30 tahun bergelumang dalam seni suara, saat ditanya sejauh mana dia melihat masa depan kerjaya kesayangannya itu, wanita berusia 51 tahun dengan nama sebenar Nor Zila Aminuddin ini memberitahu, ‘itu bergantung kepada keadaan.’

Tidak boleh berjanji dan tidak mahu berjanji, kata Ella, selagi minat itu tertanam dalam diri maka selagi itu dia akan meneruskan perjalanan seninya.

Dan persoalan bersara, tegas Ella, belum pernah terlintas di fikirannya.

Kerana bagi dirinya, sepanjang lebih tiga dekad mengharungi suka duka dunia seni, dia menyusurinya dengan penuh kenikmatan dan tanpa rasa sesal.

“Segala-galanya berlangsung dengan baik sekali,” katanya yang juga dikenali sebagai bintang filem dengan membintangi Bayangan Maut (1990), Pemburu Bayang (1992), Hanya Kawan (1997) dan KIL (2013).

Album dan karakter

Album solo Peace. Love. Rindu seperti album terdahulu memberi pengaruh tersendiri buat Ella malah dia yakin, album ini mengandungi lagu-lagu yang boleh dihayati dan memberi hiburan kepada khalayak.

Justeru dia mengharapkan sokongan padu melingkari perjalanan album itu yang dilancarkan secara digital pada 22 September lalu dan album fizikal pada 25 September.

Bagi Ella, dia mahu mempromosikan album baharunya itu menerusi setiap medium yang ada termasuk radio dan mengharapkan sokongan padu mereka dalam membantu menguar-uarkannya kepada umum.

Malah kata Ella, dia sudah bersedia menghadapi zaman digital dan sentiasa bersikap terbuka dengan trend terkini yang digemari anak muda selain tidak gentar dengan persaingan khususnya daripada artis generasi baharu.

“Itu yang mengujakan,” kata Ella positif, “dan kalau dapat slot di stesen-stesen radio tempatan, Alhamdulillah.”

Memilih lagu Ku Sedia sebagai single pertama, bicara Ella, setiap album yang diterbitkan sejak kemunculannya sebagai artis pada 1984 mempunyai karakter tersendiri dan perkara itu boleh dilihat melalui perbezaan lagu dan muzik yang dipersembah.

Dan secara peribadi kata Ella, dua album solo terawalnya - 30110 (1992) dan Ella USA (1994) mempunyai tempat paling istimewa di hatinya. Bukan sahaja dua produk itu berjaya mencatat jualan paling memberangsangkan, masing-masing meraih jualan lebih 300,000 unit dan menerima anugerah platinum berkembar empat.

“Dua album itu mempunyai karakter yang sangat kuat dan sangat istimewa di hati saya. Album El (1998) pun saya suka... cuma agak malang kerana muncul sewaktu ekonomi negara tidak begitu memberangsangkan,” katanya.