Aizat Amdan 

Ruang peribadi yang barang kali dianggap sangat bernilai bagi sesetengah artis tidak wajar tersekat pada satu tahap tertentu, sebaliknya bagi Aizat, harus diperguna sebaik mungkin untuk mendekati para peminatnya.

Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan daripada generasi muda ketika ini menjadikan gajet sebagai satu keperluan seharian, maka jalan terbaik untuk mendekati mereka sudah pasti pada jalur minat yang serupa.

Justeru, Aizat yang popular dengan lagu Hanya Engkau Yang Mampu menggunakan platform blog video sebagai satu perkara yang baharu untuk mengukuhkan kedudukan dirinya dalam dunia seni muzik tempatan.

Bernaung bawah syarikat rakaman Warner Music, kata Aizat, dunia vlog sudah mula didekati sejak dua tahun lalu tetapi sekadar permulaan kepada minatnya yang gemar merakamkan aktiviti seharian dengan bersifat suka-suka bersama-sama abangnya Amar Amdan.

Kesukaan tersebut terhenti seketika akibat kekangan masa terutama bagi pihak Amar yang sibuk dengan urusan kerjayanya.

“Minat merakamkan kisah seharian ini sudah lama bercambah. Saya masih ingat waktu kanak-kanak, kami akan buat video dengan menggunakan kamera kecil apabila ada sebarang aktiviti atau percutian keluarga.

“Kemudian kami akan pasang video di ruang tamu dan tonton beramai-ramai.

“Minat tersebut tak pernah hilang dan sekarang menjadi platform media yang sangat unik bukan sahaja percuma tetapi mudah dilihat menerusi laman sosial.

“Sekarang saya perlu aktif semula terutama untuk tujuan mempromosikan diri dan muzik saya menerusi laman YouTube.

“Tambahan pula saya ada banyak masa lapang yang perlu dipenuhi dan rasanya eloklah saya kembali semula kepada hobi yang bermanfaat ini.

“Cuma dahulu saya rakam menggunakan kamera Canon G7X tetapi sekarang saya mendapat peluang menggunakan kamera yang lebih baik iaitu Sony A65V.

“Untuk kali ini, saya juga merakamkan aktiviti harian dan yang menarik untuk diketengahkan, kandungan yang benar dan bukan satu lakonan untuk bahan vlog ini,” kata Aizat.

Menerusi akaun officialAizatAmdan di YouTube, vlog perlakuan dan pemikiran terhadap sesuatu isu serta aktiviti penyanyi ini akan dimuat naik sebanyak empat kali sebulan.

Sama ada Aizat juga bakal mendedahkan kisah-kisah peribadi seperti wanita istimewa dalam vlog tersebut kelak, dia sekadar ketawa dan menganggap itu satu kandungan yang sedang dibincangkan.

“Mudah cakap, saya akan rakam apa sahaja yang sesuai dan Amar pula akan membuat suntingan bagi mencapai tahap kualiti yang kami mahukan.

“Apa pun saya bersikap terbuka dalam soal ini kerana sedar penyediaan kandungan menarik akan memberi kesan positif kepada vlog ini kelak,” kata Aizat.

Dalam usaha untuk melengkapkan aktiviti vlog menerusi segmen One Moment For Them, Aizat dengan beberapa rakan artis seperti Noh Hujan dan isterinya Mizz Nina mengunjungi Wad Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur bagi melihat sendiri pesakit-pesakit yang berada di sana.

“Banyak perkara yang saya belajar ketika melihat pesakit-pesakit mental ini. Saya sendiri tidak pernah menyangka ada kemurungan dan kekecewaan dalam hidup atas sebab-sebab tertentu sehingga boleh membawa kepada sakit jiwa.

“Ada seorang pakcik yang menangis tidak berhenti-henti kerana terlalu murung akibat masalah duit.

“Kami juga bertemu dengan seorang gadis berusia 24 tahun yang yang hadir ke wad tersebut bagi memberi sokongan kepada pesakit selepas dia sendiri sembuh daripada sakitnya.

“Kami merancang untuk berada hanya selama dua jam di wad tersebut tetapi akhirnya menjadi empat jam kerana kami rasa perlu untuk mendekati insan-insan begini dan membantu setakat yang mampu dengan cara kami,” kata Aizat.

Dalam pada itu Aizat berkata, bagi mempromosikan single Jangan Menangis pula, dia yang baru sahaja melancarkan klip video lagu tersebut bercadang untuk mengadakan siri jerayawara (roadshow) ke lima universiti Malaysia pada Oktober dan November ini, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kolej Universiti Widad.