Ya, ia adalah kemahiran yang tidak semua berupaya mengadunkan satu atau dua lagu, malah tiga untuk dijadikan satu alunan muzik berulang atau tidak dengan memasukkan unsur-unsur lain ke dalam lagu itu.

Pada asalnya, penggunaan piring hitam menjadi medium utama tetapi peredaran waktu piring hitam digantikan dengan cakera padat dan kemudiannya media muzik komputer.

Walau apapun, medium yang digunakan istilah DJ merangkumi kesemua muzik tersebut asalkan mempunyai seorang atau lebih yang mengalunkan lagu tanpa mengira batasan antara bahan yang digunakan.

Terdapat beberapa jenis DJ mengikut kategori muzik yang dimainkan termasuklah DJ kelab yang memainkannya di kelab malam, bar, disko mahupun di acara tertutup.

Ada juga yang memainkan genre hip hop yang biasanya akan menggunakan peralatan campuran muzik jenis piring berputar atau turntable yang akan bekerja sama dengan MC untuk majlis atau muzik hip hop. Ia juga akan diselangi dengan tarian hip hop oleh pengikutnya.

Selain itu, terdapat juga DJ muzik raggae dan sebagainya dan mereka semua ini dikenali sebagai DJ yang menjadikan muzik sebagai perantara untuk peminat mereka dan pendengar muzik moden.

Kini, kebanyakannya sudah tidak lagi menggunakan disc tetapi lebih menggunakan data muzik komputer yang boleh diadun dengan baik, selain menerapkan bunyi-bunyi yang diinginkan.

Di Malaysia, senario DJ sudah lama dikenali oleh generasi muda menerusi acara-acara yang diadakan di kelab mahupun majlis peribadi. Malah, ada pertandingan yang dikhususkan untuk mereka dalam mengiktiraf bakat yang mereka ada.

Hari ini, walaupun pelbagai perkara negatif dikaitkan dengan muzik jenis ini, peranan dan bakat DJ adalah amat penting bagi memastikan bakat yang mereka ada tidak terus ditenggelamkan.

Ruangan Fokus minggu ini menampilkan bakat-bakat muda negara dalam bidang ini yang cenderung dengan muzik jenis elektronik yang mempunyai pandangan mereka sendiri mengenai perkara ini.

Walau apa pun, mereka mempunyai bakat besar dan ada di antaranya yang telah mengharumkan nama negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dengan putaran lagu yang mereka mainkan. -AMIRUL / Ungku Ibrahim/ Shafiq Noh

Muzik tiada jantina

Mungkin ramai yang mengatakan bahawa muzik elektronik seperti ini dimainkan oleh golongan lelaki sahaja, tetapi sebenarnya seperti muzik-muzik lain, ia tidak mempunyai jantina dan sesiapa sahaja boleh memainkannya.

Kini, boleh dikatakan ramai bakat-bakat DJ adalah wanita dan mereka sudah mula terkenal dan diterima dalam acara-acara besar di seluruh dunia yang membuktikan kreativiti adalah elemen paling penting dalam dunia muzik.

Bagi saya seorang wanita, ia sama sahaja seperti lelaki dalam bidang ini, apa yang penting adalah minat dan saya meminati muzik dan lebih kepada aliran muzik dubstep dan juga drum and bass (dnb).

Walaupun bukan sebagai kerjaya sepenuh masa, saya mula memainkan muzik ini sejak 2013 dan akan membuat persembahan apabila dijemput untuk satu-satu acara dan majlis ataupun kami akan berkumpul bersama DJ-DJ lain untuk bermain bersama.

Tidak seperti DJ yang mempunyai kontrak dengan syarikat mahupun kelab, mereka akan memainkan muzik ini setiap hari atau minggu dan mendapat bayaran yang agak lumayan.

Tetapi oleh kerana minat mendalam dalam muzik ini, saya rasa tidak kisah untuk bermain dan melakukan apa yang saya suka bersama rakan-rakan lain yang sealiran dengan saya.

Kos peralatan yang digunakan dalam bidang ini bukanlah murah. Ia memerlukan belanja yang tinggi dan saya sendiri menggunakan peralatan rakan-rakan di studio mereka untuk berlatih jika ada acara-acara yang perlu dihadiri.

Mungkin satu hari nanti, saya akan membelinya sendiri kerana ia merupakan satu peralatan yang perlu ada bagi mereka yang meminati muzik elektronik ini.

Sama seperti orang lain, saya memandang muzik adalah satu perkara yang berhubung kait dengan minat dan cara kita menerimanya, bukannya perlakuan sesetengah orang yang menggambarkan perkara negatif.

Tidak dinafikan ada di antara mereka yang mengambil bahan terlarang untuk menghayati muzik. Perlu disedari bahawa ia tidak hanya dikaitkan dengan muzik elektronik tetapi juga muzik-muzik lain.

Paling penting adalah bagaimana cara kita mendalami muzik itu sama ada untuk lebih menghayati atau hanya suka-suka dan berseronok dengan melakukan perkara negatif.

- FATIM

 

Bermula kerana minat

DJ bagi saya bukanlah satu kerjaya tetapi lebih kepada minat terhadap muzik. Saya suka muzik-muzik elektronik moden dan pada awalnya ia hanyalah hobi kerana ada rakan yang kerap memainkannya.

Lama kelamaan apabila berjaya mengadunkan (mixing) lagu sendiri dan mempunyai orang yang suka mendengarnya, saya mula dikenali dan ramai juga yang menjadi pengikut muzik saya.

Semuanya bermula ketika saya berumur 16 tahun apabila muzik hip hop sudah mula bertapak di negara ini. Pada umur 18 tahun, barulah pertama kali saya melihat sendiri peralatan yang digunakan untuk mengadunkan muzik.

Bermula dari situ, ia menjadi sebahagian daripada pendapatan sampingan apabila saya dijemput untuk memeriahkan majlis mahupun karnival dan terbaharu adalah di Karnival Iskandar Iskarnival di Johor Bahru pada awal bulan lalu.

Boleh dikatakan sebab utama saya menjadi DJ adalah kerana minat mendalam terhadap muzik yang dimainkan iaitu muzik elektronik, di samping ia mampu mengasah kreativiti kita dalam mengadunkan lagu-lagu yang ingin dipersembahkan.

Cabaran seorang DJ boleh dikatakan bagaimana kreativiti mereka melakukan campuran dari satu lagu ke satu lagu lain tanpa sebarang ruang kosong (campuran tanpa henti) bagi dipersembahkan kepada peminat.

Ada sesetengah DJ akan cenderung ke arah satu-satu genre seperti drum and bass (dnb), muzik tarian elektronik (edm) dan sebagainya, tetapi bagi saya semuanya boleh dilakukan dan ia membuatkan seseorang DJ itu lebih versatil.

Jadi, walau dalam apa jua acara dan karnival yang dijemput untuk membuat persembahan, saya akan pastikan lagu yang dimainkan itu mampu menghiburkan para pendengar dengan menggabungkan pelbagai macam genre yang ada.

Jika bercakap mengenai pendapatan seorang DJ, ia bukanlah satu bayaran yang besar melainkan seseorang DJ itu bermain untuk kelab atau bar pada setiap hari yang lebih komersial atau menjadi sebahagian daripada penggubah lagu aliran utama.

Buat masa ini, penerimaan muzik elektronik mudah diterima dan diminati golongan muda yang cenderung menghadiri festival muzik atau mana-mana konsert elektronik muzik dalam dan luar negara.

Mengakui ada pandangan negatif yang sering mengaitkan muzik elektronik dengan pergaulan bebas, beliau menganggap ia sebahagian daripada masalah sosial dan dadah. Justeru, pada dasarnya apa yang dilakukan perlu ada batasannya.

Bagi saya muzik adalah perkara yang universal. Muzik elektronik sama seperti muzik lain seperti genre balada, rock, akustik dan sebagainya. Yang penting adalah individu itu sendiri mestilah cenderung ke arah positif ataupun negatif.

- EZAN

 

Dj untuk sambung cita-cita

Berbeza kisahnya bagi Anowl, baginya minat dalam bidang ini bukanlah hanya setakat apa yang kita nampak, malah ia boleh diperluaskan lagi dalam bidang lain yang sealiran bagi memajukan diri dan bukan sekadar jaguh kampung.

“Semuanya bermula pada tahun 1994. Ketika itu, era pelbagai genre muzik menjadi bahan siulan anak muda termasuklah Rapcore, Hip Hop, Rock Kapak dan sebagainya membuatkan saya minat dengan muzik.

“Pada ketika itu, abang saya meminati hiphop dan muzik. Ia seperti campuran lagu digital dan elektronik yang  mula menapak dalam diri. Jadi, selepas tahun 2000, saya terus memasuki bidang ini secara serius,” jelasnya.

Bercerita kisah ia bermula mencampurkan lagu (mixing), Anowl berkata, ketika itu dia bersama seorang lagi rakan bernama Boy CC menyewa sebuah DJ Studio dan mempelajari pelbagai cara untuk proses tersebut.

“Sehinggalah pada tahun 2002 saya membeli komputer dan alat campuran murah (DJ Mixer) untuk mula melakukan proses campuran muzik elektronik menggunakan komputer dirumah.

“Menarik mengenai perkara ini boleh dikatakan saya pelajari sendiri dari A sampai Z cara melakukan campuran diantara dua buah lagu menjadi satu dengan pelbagai elemen muzik elektronik seperti Drum & Bass (Drum N Bass,dnb)

“Sehinggalah saya dijemput untuk membuat persembahan di sebuah keraian dengan memainkan lagu yang saya campurkan sendiri dan ternyata sambutan amat menggalakkan.

“Dari situ, saya cuba nasib untuk memasuki pertandingan tetapi nasib tidak menyebelahi saya kerana pada 2005 pertandingan pertama yang saya sertai gagal menempatkan saya di lima tempat terbaik,” jelasnya.

Anowl berkata, ia bagaikan satu tamparan buat diri dan pada tahun berikutnya dia hanya bermain di pesta keraian, festival muzik, konsert kecil dan sebagainya sebelum mencuba sekali lagi pada tahun 2007.

Menurutnya, ternyata pada pertandingan kali ini, dia bukanlah jaguh kampung kerana pada pertandingan Pioneer Digital DJ Battle 2007 dia mendapat tempat ke tiga dan ia dianggap amat membanggakan.

“Bermula dari situ pada tahun 2008, pada pertandingan Juice DJ Quest saya mendapat tempat pertama. Selang beberapa bulan selepas itu saya turut dinobatkan sebagai johan Asia pada Juice DJ Quest Regional (Malaysia vs Singapura vs Indonesia) dan

Malaysian DJ battle. Begitu juga pada tahun berikutnya dengan menjadi johan di Pioneer Digital DJ Battle pada tahun 2009.

Jelasnya, segala yang dimenanginya ketika menjuarai tempat pertama mahupun lain-lain sepanjang lima tahun ini adalah bagi mengejar cita-citanya sebenar iaitu bergerak aktif sebagai Komposer muzik.

“Lebih RM35,000 termasuk tunai dan hadiah yang saya berjaya kumpul sepanjang pertandingan yang disertai dan dari situlah saya membeli pelbagai peralatan yang saya perlukan untuk menyediakan Studio rakaman saya sendiri.

“Sehinggalah hari ini, ada beberapa lagu yang telah saya hasilkan dan kini saya sedang bekerja sama dengan Zain Saidin dan Zizi AF7 dalam menyiapkan lagu sulung yang akan keluar tidak lama lagi.

“Terdapat lagu-lagu lain yang telah siap dihasilkan atau lebih dikenali sebagai Remix seperti lagu dari Salam Musik, Altimet, Hujan, Pesawat, MonoloQue, dan beberapa lagi lagu lain yang di adun menjadi rentak Drum & Bass.” katanya.

- ANOWL