Kembali mewarnai persada muzik, Padi yang dianggotai Fadly (vokalis), Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) akui, mereka teruja untuk menghiburkan peminat di sini.

Bakal menjayakan konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun nanti di KL Live, Fadly atau nama sebenarnya Andi Fadly Arifuddin, 43, menyedari mereka sebenarnya memerlukan antara satu sama lain.

“Tujuh tahun bukanlah tempoh waktu yang singkat. Dalam kami menyendiri, hakikatnya banyak iktibar yang dipelajari. Bertubi—tubi cabaran hadir dalam hidup kami selama tujuh tahun ini.

“Kami sedar, setiap anggota Padi memerlukan antara satu sama lain. Ego yang tinggi menyebabkan kami berpisah dan kini Padi kembali bersatu demi peminat,” katanya.

Mengulas mengenai konsert Padi itu nanti, Fadly mewakili rakan-rakannya lain berharap penampilan sulung mereka selepas tujuh tahun dapat membawa tuah yang lebih baik.

“Bagi kami, ini merupakan peluang kedua untuk berkumpul semula membuat persembahan selepas melalui perjalanan yang sukar.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong Padi biarpun lama kami mendiamkan diri,” katanya.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Padi Reborn Live Exclusive In KL sudah dijual bermula harga serendah RM179 hingga RM290 menerusi laman web www.buytickets.com.my. – UTUSAN ONLINE