BRONT PALARAE cedera ketika menjalani penggambaran drama.

Menurut Bront, ketika kejadian dia terjatuh selepas melakukan aksi berlari sehingga menyebabkan otot betis kanannya terkoyak dalam penggambaran yang diadakan di Johor Bharu, Johor.

“Pada mulanya saya ingat kaki saya kejang sahaja, tetapi bila dapatkan rawatan, doktor memberitahu otot di bahagian betis kanan terkoyak.

“Doktor meminta saya berehat dan melakukan fisioterapi, ikutkan saya perlu bertongkat dalam tempoh dua minggu ini dan berehat tanpa melakukan apa-apa dalam tempoh lima hari,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada majlis pratonton filem One Two Jaga, di sini hari ini.

Mengakui ini adalah kecederaan paling teruk pernah dialami sepanjang bergelar seorang pelakon, jelas Bront, doktor juga memberi tempoh enam minggu sebelum membenarkan dia kembali melakonkan babak aksi.

“Doktor sudah memberitahu yang kecederaan yang dialami saya memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk berjalan biasa dan enam minggu untuk membuat babak aksi kembali.

“Bagaimanapun, The Bridge masih berbaki dua minggu penggambaran dan saya akan kembali ke set pada 5 September,” katanya lagi.

Sementara itu filem One Two Jaga terbitan syarikat milik Bront dan arahan Nam Ron ini akan mula ditayangkan pada 6 September ini.

Berkisar kisah hitam dunia kepolisian, filem ini membariskan gabungan pelakon tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina antaranya Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Asmara Abigail, Timothy Castillo dan ramai lagi. - UTUSAN ONLINE