Optimis dalam perjuangan Inteam

Inteam
Inteam

WALAU apa jua badai yang menimpa, perjuangan dakwah Inteam tidak akan terhenti kerana keikhlasan mereka untuk memartabatkan syiar agama Islam di mata dunia.

Biarpun terpaksa menempuh ujian persaingan antara penggiat seni sedia ada, Inteam sama ada tidak akan gentar sebaliknya akan menguatkan saf untuk terus kekal relevan.

Muhammad Hazamin Harun, Hisyam [email protected], Abdul Rahim Osman dan Mohd. Syahril Abdul Khalid juga nekad untuk tidak hilang semangat bagi merealisasikan impian tersebut.

“Pengalaman selama 16 tahun dalam persada arena nasyid tempatan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju Inteam pada masa akan datang.

“Sudah tiba masanya kami melakukan perubahan yang seiring dengan peredaran masa dan kehendak peminat hari ini yang menanti-nantikan pembaharuan dalam Inteam.

“Atas dasar yang sama, kami bersepakat untuk memperbaharui perjalanan muzik kami ini dengan menjalinkan usaha sama dengan Amsyar daripada kumpulan Viral untuk single terbaru berjudul Ya Robbi Ya.

“Kali ini sasaran kami untuk mendekati golongan pendengar generasi baharu yang mungkin belum lagi mengenali perjuangan dakwah Inteam,” kata Muhammad Hazamin mewakili rakan-rakan.

Sebelum Ya Rabbi Ya, Inteam muncul dengan single berjudul #Surat Cinta sebelum merakamkan sebuah lagu Jangan Menghina yang merupakan projek istimewa bersama Alif Satar dan Nocturnal.

Lagu itu dirakamkan semula khas buat Allahyarham Ahmadi Hassan yang merupakan pejuang nasyid yang meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang, enam tahun lalu.

Menafikan sekeras-kerasnya lagu tersebut kurang mendapat sambutan, Abdul Rahim menegaskan bahawa projek tersebut adalah atas permintaan anak arwah yang dikenali sebagai Kak Lin.

“Lagu itu dirakamkan atas permintaan keluarga arwah. Single kami adalah #Surat Cinta yang dilancarkan tahun lepas dan terkini, Ya Robbi Ya,” tegas Abdul Rahim lagi.

BAGAI memastikan industri nasyid tidak terkubur, Inteam telah menubuhkan Akademi Murshid Inteam Records yang bertujuan untuk lebih mengkomersialkan industri nasyid tempatan baru-baru ini.

Selain mahu mencari lebih ramai muka baharu yang berminat dalam arena itu, Inteam juga mahu memastikan pendatang baharu yang bakal terlibat itu memiliki nilai-nilai murni sejagat.

Antara perkara yang diberi perhatian adalah pengetahuan muzik, imej, vokal dan akhlak yang dititikberatkan sebelum terbabit secara serius dalam aliran utama bidang muzik tempatan.

“Pengisian utama dalam akademi adalah seminar yang dianjurkan semata-mata untuk berkongsi pengalaman dan idea untuk lebih mengkomersialkan penggiat arena nasyid negara.

“Kalau dulu selepas Inteam, ada UNIC dan Mestica tapi kami mendapati tiada pelapis yang berminat untuk mewarnai persada seni nasyid selepas itu.

“Keadaan yang membimbangkan ini juga yang membuatkan kami mengambil inisiatif untuk mencari penggiat baharu tanpa mengkebelakangkan nilai-nilai utama tadi.

“Insya-Allah jika projek ini berjaya, kami akan memperkenalkan muka baharu yang berpotensi untuk menjadi contoh terbaik buat masyarakat,” ujar Hisyam.

Bagi memastikan misi perjuangan Inteam lancar, kumpulan ini juga telah melancarkan Jelajah Universiti Inteam ke 17 universiti tempatan selama tiga bulan bermula Oktober lalu.

Tujuan jelajah itu diadakan untuk memberi motivasi kepada golongan pelajar universiti sebagai persediaan untuk melangkah masuk ke dalam dunia pekerjaan.

Selain memberi motivasi, Inteam juga berkongsi pengalaman sebagai pelajar universiti yang pernah memegang dua profesion dalam satu masa satu masa dulu.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati