Persembahan Ola Bola The Musical Returns! (OBM2) dibuat khusus atas permintaan banyak pihak yang mahukan naskhah tersebut kembali ke pentas berprestij lantaran ada sesetengah pihak yang tidak berpeluang menontonnya tahun lalu.

Justeru, selaku pengarah, Puan Sri Tiara Jacquelina berasa terpanggil untuk membawakan semula teater muzikal itu kepada penonton.

“Sebagai pengarah saya perlu kreatif dan bijak untuk memaparkan jalan cerita yang tidak terdapat pengulangan.

“Walaupun plot cerita hampir 95 peratus sama untuk OBM 2, tetapi ada juga elemen lain yang saya selitkan. Sebagai contoh, mungkin lawak dan lelucon yang menggelikan hati.

“Saya bersyukur kutipan tiket untuk musim lalu habis terjual dan berharap sejarah sama akan berulang kembali,” katanya.

Malah, menguatkan lagi keputusannya untuk mementaskan OBM 2 adalah demi menunaikan permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang belum berkesempatan menontonnya pada tahun lepas.

Pertemuan penggiat seni pada Julai tahun lalu bersama Perdana Menteri memberi ilham kepada beliau dan kru produksi lain untuk menerbitkan sekuel itu.

“Saya bertemu dengan Dr.Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sewaktu sesi dialog dan minum petang tahun lalu dan mereka memberitahu tidak sempat menonton OBM di Istana Budaya.

“Secara kebetulan Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani juga ada bersama sewaktu kami berbual.

“Lantas kami berpendapat OBM 2 seharusnya dipentaskan sekali gus merealisasikan tidak hanya permintaan Dr. Mahathir, malah penonton yang tiada peluang untuk hadir tahun lepas,” jelasnya yang berharap dua tokoh negara tersebut dapat meluangkan masa hadir ke Istana Budaya.

Dalam pada itu, Tiara turut menjanjikan kelainan daripada segi kekemasan teknikal selain mengambil berat tentang susunan koreografi yang lebih menarik.

“Saya bersama kru belakang tabir akan memastikan OBM 2 berada di landasan yang tersendiri.

“Koreografi, susunan muzik yang lebih padu, lontaran vokal dan penguasaan pentas adalah antara perkara yang saya pentingkan sebagai salah satu tarikan kali ini.

“Sesi latihan sudah pun bermula yang mana kali ini lebih padat dan ada sedikit perubahan,” kongsinya.

OBM 2 turut menampilkan beberapa muka baharu antaranya Tony Eusoff sebagai Coach Harry Mountain, Nabila Huda (Dumilah) dan Hafeez Mikhail (Eric).

Sementara itu, barisan OBM musim lalu akan terus memainkan peranan dan watak mereka. Antaranya Luqman Hafidz (Ali), Iedil Putra (Rahman), Brian Chan ( taukeh Chow Kwok Keong), Abi Manyu (Muthu) dan Altimet ( Sarjan Ahmad).

Bercakap tentang pemilihan tiga pelakon baharu itu, kata Tiara, dia amat menyukai pesona serta kesungguhan yang ditonjolkan oleh mereka.

“Kami mengadakan sesi uji bakat bagi mencari watak Eric. Selepas membuat penilaian secara terperinci, produksi kami yakin dengan kebolehan Hafreez untuk menghidupkan watak tersebut.

“Walaupun dia tidak pernah berlakon teater, tetapi saya sangat menyukai kesungguhannya yang mahu belajar.

“Tony adalah salah seorang pelakon teater muzikal lelaki terbaik yang pernah Malaysia lahirkan. Produksi Enfiniti menyambut baik ‘kepulangannya’ untuk bekerjasama dengan kami selepas P.Ramlee The Musical.

“Siapa yang tidak mengenali bakat terkenal Nabila Huda? Selepas pementasan MUD The Musical tahun lalu, dia berseloroh mahu berlakon teater lagi. Justeru, saya mewujudkan watak Dumilah khusus buat dia,” kata Tiara penuh ceria.

Nabila Huda

Sementara itu menurut pelakon Teduhan Kasih ini, dia berbangga apabila impian untuk meneroka lebih luas bidang teater semakin menampakkan hasil sepanjang 18 tahun perjalanan karier seninya.

Kerjasama dengan pihak Enfiniti Productions juga disifatkan sebagai penghormatan buat dirinya.

“Saya tolak tawaran lakonan lain selama dua bulan ini demi memberi laluan kepada OBM 2. Saya sudah jatuh cinta kepada teater selepas menjadi sebahagian daripada MUD The Musical.

“Saya rasa seperti keluarga dan hubungan kami sebagai pelakon teater jadi lebih rapat sepanjang MUD The Musical berlangsung. Iyalah, kami hari-hari jumpa, sudah tentu sukar nak melupakan momen manis.

“Jujurnya, berlakon di set penggambaran lebih memenatkan berbanding di pentas teater.

“Kalau penat buat teater pun, sekurang-kurangnya saya gembira. Demi memberikan komitmen 100 peratus, saya mempersiapkan diri sepanjang sesi latihan berlangsung,” ungkapnya.

Hafeez mikhail

“Tiada sebab untuk menolak apabila tawaran OBM 2 hadir buat saya,” ulas pelakon ini saat ditanya mengapa dia bersetuju menjadi sebahagian daripada barisan pelakon OBM 2.

Biarpun tidak mempunyai pengalaman di pentas teater, namun semangat ingin menimba ilmu seni membuatkannya terpilih daripada puluhan orang yang hadir ke sesi uji bakat.

“Saya agak berdebar juga nak memulakan OBM 2 sebab mereka semua sudah ada asas teater, hanya saya yang masih ‘kosong’.

“Apa-apa pun ia bukan penghalang besar untuk saya cuba bidang ini. Setakat ini saya sudah tiga kali menghadiri sesi latihan dan harap watak Eric akan menjadi tanda aras dalam karier seni.

“Alhamdulillah, teater merupakan salah satu impian dan cita-cita yang saya ingin cuba. Ternyata niat saya itu ‘didengari’ dan OBM 2 akan menjadi permulaan,” jelasnya.

Tiket-tiket sudah mula dijual dan boleh didapati menerusi laman sesawang www.buytickets.asia.