Walaupun sibuk memenuhi undangan dan program aktiviti seni di Indonesia dan Malaysia, Oki memaklumkan yang dia juga sibuk melengkapkan penyelidikan bagi program pengajian Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Islam.

Dia yang kini berada dalam semester empat pengajian, berkata, walaupun sibuk melakukan penyelidikan, dia bersyukur kerana mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi daripada suaminya.

“Saya dapat sokongan yang baik daripada suami yang sentiasa menggalakkan saya meneruskan pengajian.

“Tidak mungkin saya mampu menguruskan semua hal rumah tangga jika tidak ada seseorang yang hebat di samping saya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu berkata, dia masih aktif muncul di kaca televisyen walaupun sibuk menguruskan rumah tangga dan pengajian.

“Saya bakal muncul dalam drama terbaharu dalam masa terdekat ini, selepas lapan tahun tidak berlakon drama. Di Malaysia pula, saya menjadi juri untuk rancangan Gema Gegar Vaganza,” katanya.

Oki yang berusia 29 tahun berkahwin dengan Ory Vitrio di Jakarta pada Januari 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Maryam Nusaibah, 3, Khadeejah Faatimah, 2, dan Ibrahim Muhammad.

Dalam pada itu, Oki berkata, kerana kecintaannya terhadap Islam, dia memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di peringkat Ph.D.

“Saya begitu terkesan dengan kisah penghijrahan saya suatu ketika dahulu. Disebabkan itu, saya benar-benar mahu mengubah diri menjadi diri saya pada hari ini,” katanya.

Pada 2015, Oki berkata, dia diuji dengan ibunya jatuh sakit dan dia pula tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan buat ibunya di hospital.

Lalu dia bertanya kepada ibunya, apa bentuk bantuan yang boleh diberikannya lagi. Kemudian ibunya menjawab dia hanya mahu Oki menjadi anak yang solehah.

“Bermula detik itu, saya sentiasa mengingatkan diri saya dan berdoa kepada Allah agar dapat menjadi anak yang baik untuk ibu saya.

“Dari situ juga, saya memutuskan untuk berhijab. Namun ujian datang lagi apabila saya ditawarkan untuk berlakon drama dengan syarat, saya perlu tanggalkan hijab,” katanya.

Oleh kerana istiqomah, Oki memutuskan menolak tawaran lumayan tersebut kerana yakin bahawa Allah sahaja yang akan menolongnya.

Tambahnya, perlahan-lahan dia mampu menghadapi ujian itu dan kini dia mampu hidup bahagia bersama orang yang tersayang.