Pada pukul 10 malam, Radhi Razali tiba di Kartel Coffee Shop, Bandar Baru Bangi, Selangor dalam persalinan baju ala kurta dengan wajah bersahaja menyebabkan ada dalam kalangan teman media bengang dengan kelakuannya.

Hadir untuk menjayakan persembahan OAG, ada yang berpendapat Radhi tidak sepatutnya melayan peminat seperti itu sementelah rata-ratanya sudah setia menunggu sejak  dari petang. 

Ternyata, meski sudah 26 tahun menjadi sebuah jenama band Indie dalam industri, OAG masih berdepan dengan situasi yang sama yang mana puncanya datang daripada Radhi sendiri.

Barangkali Radhi sukar mengikis ‘sindrom’ bintang rock sejak dari dahulu hingga kini yang menyaksikan banyak pihak kurang senang untuk berurusan dengan band ini meski anggota lainnya tidak bermasalah.

Dilihat kerap menebalkan muka setiap kali diasak dengan pertanyaan mengenai Radhi si lelaki kontroversi, anggota OAG lain seperti Qi Razali (pemain deram), Amal (gitar) dan Yen (bass) bersedia dengan alasan mereka.

Begitu menjaga air muka vokalis tersebut, Qi mewakili kumpulan menganggap sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai ahli sepasukan untuk berlebih kurang dengan Radhi.

“Kami semua sudah biasa dan faham kerenah dia. Tambahan pula dia sudah berkeluarga jadi kami hormati waktunya yang terhad untuk buat semua perkara dalam satu masa.

“Sebab itu, kalau ada perkara yang membolehkan kami buat dahulu, kami akan buat tanpa dia. Bila dia diperlukan untuk datang awal, kami akan maklumkan padanya,” kata Qi.

Jelasnya lagi, seboleh-bolehnya kesemua ahli cuba menyesuaikan jadual seni mengikut masa Radhi kerana kata sepakat sudah dicapai dalam semangat satu kumpulan.

“Begitu juga dalam aspek rakaman lagu di studio, kami akan panggil dia apabila semua proses awal telah dilakukan. Entahlah, bagi kami Radhi sudah cuba yang terbaik untuk memuaskan hati banyak pihak.

“Tetapi mungkin masih ada orang di luar sana yang mengenang kesilapan lalu Radhi dan masih menyebutnya hingga ke hari ini,” katanya.

Pincang tanpa Radhi

Dalam pada itu, Qi, Amal dan Yen bersetuju meski dalam kekalutan mereka berdepan dengan kerenah Radhi, OAG bagi mereka tidak akan bergerak andai penyanyi berkenaan tiada.

Menyifatkan Radhi umpama jiwa kepada band tersebut, kata Qi, OAG cuma akan ‘hidup’ bersama Radhi. Bukanlah sesuka hati mahu memetik nama. Tetapi andai katalah tempatnya itu diganti dengan Black, Akim atau Datuk Jamal Abdillah sekali pun, ia tidak akan sama.

“Betul ramai yang boleh menyanyikan lagu OAG, tetapi tidak akan sama dengan dia. Kalau kami adakan persembahan, Radhi memang kena ada walau macam mana sekali pun!” katanya.

Yakin ramai kalangan peminat turut akan bersetuju dengan pendapatnya, Qi berharap OAG tidak akan hilang sokongan padu daripada peminat setia mereka.


Kelab peminat

Dalam perkembangan lain, Qi juga gembira mengumumkan penubuhan kelab peminat OAG yang baharu diwujudkan meski sedar ada yang berpendapat terlalu lambat mereka berbuat demikian.

Memberikan banyak kelebihan buat peminat yang menyertainya, kata selebriti berusia 41 tahun ini ia adalah antara usaha OAG untuk peminat yang menyokong mereka selama ini.

“Selama berada dalam industri muzik kami tidak pernah ada kelab peminat. Hal ini cuma difikirkan wajar ada setelah 26 tahun kami bersatu sebagai sebuah kumpulan.

“Peminat yang menyertai dan menjadi ahli kelab peminat ini akan mendapat peluang yang banyak seperti menikmati persembahan atau gig OAG secara percuma,” katanya yang turut mengaku OAG mempunyai banyak perancangan menjelang 2019 ini.