Mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat tersebut, Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham pernah berhadapan masalah kemurungan dek berasa kekok dengan kemelut yang dihadapi.

Enggan terus dibelenggu rasa yang kurang menyenangkan, perlahan-lahan Mimi cuba keluar dari permasalahan itu dengan aktiviti seni terutama dalam menghasilkan karya muzik sebagai persediaan untuk kembali aktif menyanyi.

“Dua tahun hidup dengan bekas suami, tipulah kalau perpisahan yang berlaku tidak memberi kesan kepada saya.

“Alhamdulillah, selepas kira-kira tiga bulan berlalu, saya temui kekuatan untuk positifkan diri demi kelangsungan karier nyanyian saya.

“Ini kerana, terdapat ramai lagi wanita di luar sana yang mengalami nasib serupa seperti saya. Merekalah yang memberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Mega HITS baru-baru ini.

Kembali hidup sendiri tanpa bergantung harap dengan sesiapa, menurut Mimi, kesempatan tersebut dimanfaatkan untuk tampil secara solo tanpa mengharapkan One Nation Emcees (ONE).

“Lagi pun, Jojo dan Zydee sibuk dengan urusan perniagaan serta peribadi masing-masing dan mustahil untuk ONE kembali fokus terhadap karier nyanyian.

“Justeru, daripada terus memendam rasa dan berduka, rasanya amat bersesuaian untuk saya mengeluarkan lagu solo pertama berjudul Superfly.

“Apabila mereka sudah bersedia, barulah kami beraksi semula sebagai satu kumpulan,” ujar ahli wanita tunggal trio yang dicungkil bakat menerusi program realiti Gang Starz terbitan TV3 pada 2008 itu.

Kenyataannya itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa ONE yang ditubuhkan sedekad lalu telah dibubar.

Di samping itu, menyentuh fasa kehidupannya selepas bercerai, Mimi akui, dia semakin bahagia kerana berasa bebas selain dikelilingi kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan.

Superfly kisah jatuh bangun

Bercerita lanjut tentang single solo yang sedang rancak dipromosikan, Mimi menjelaskan, lagu tersebut adalah ciptaannya sendiri bersama-sama tiga komposer lain iaitu Omar K, Shazee Ishak dan Audi Mok.

Menurut Mimi, bait-bait lirik yang dipersembah menerusi Superfly amat berkait rapat dengan kisah hidup yang dilaluinya kebelakangan ini.

“Superfly merupakan sebuah karya pop urban dan realitinya menceritakan secara menyeluruh tentang kehidupan peribadi saya.

“Melodi lagu ini pada awalnya diperdengar Shazee kepada saya pada 2016 tetapi tidak berkesempatan untuk merakamkannya.

“Setahun lalu, saya buat penambahbaikan terhadap melodi dan selepas bercerai, barulah liriknya lengkap,” ujarnya menceritakan proses pembikinan Superfly.

Bukan itu saja, tambah Mimi, klip video rasmi yang baru dimuat naik pada 16 Mac lalu semakin mendapat perhatian peminat muzik tempatan.

Masih mengetengahkan seni tarian moden yang begitu sinonim dengan Mimi, dia menjelaskan, banyak dugaan yang dihadapinya untuk menghasilkan video berkenaan.

“Mulanya, lokasi asal tempat rakaman yang patut dilakukan dibatalkan pada saat-saat akhir atas sebab tertentu. Jadi, kelam-kabut juga untuk memikirkan alternatif lain.

“Syukur Lightbox Studio sudi menaja selain mendapat kerjasama jenama pakaian sukan Puma. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudah,” katanya.

Dalam pada itu, Mimi turut mempromosikan single duetnya dengan penyanyi Singapura, Ryan Suffian berjudul Gila.