Menerima satu set dram TAMA, Nur Amira merupakan pemain dram remaja yang diberikan peluang tahun lepas oleh Zildjian Associate Artist untuk bermain 6-piece TAMA ML62HZBSG FBF dan HP910LWN Speed Cobra Twin Pedal.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada April 2003, Nur Amira yang mendapat tempat di hati netizen menerusi dram cover yang dirakam dan dimuat naik menggunakan platform media sosial YouTube juga merupakan penerima Anugerah YouTube bulan lepas.

Anuegerah tersebut diberikan kepada Nur Amira kerana mendapat subscriber melebihi 100,000.

“Syukur alhamdulillah dengan rezeki yang dikurniakan kepada saya sekeluarga. Saya amat berbesar hati apabila dipilih sebagai Duta TAMA dan sekali gus menerima set dram bernilai RM8,000,” kata Nur Amira kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Menurut Nur Amira, set dram jenama TAMA pastinya memberikan hasil bunyi yang baik apabila beliau menghasilkan dram cover dan ini amat menggembirakannya yang menyimpan cita-cita untuk muncul sebagai Pemain Dram Wanita Nombor Satu Dunia.

“Sejak saya berusia lapan tahun, saya belajar bermain dram menerusi YouTube. Bagaimanapun, saya berusaha setiap hari untuk memperbaiki persembahan khususnya teknik drumming.

“Dalam masa yang sama juga, selain daripada latihan bermain dram, tumpuan saya adalah kepada pelajaran kerana kedua-dua perkara ini perlu seimbang,” katanya.

Katanya lagi, apa yang diusahakan selama ini adalah berkat doa dan dorongan kedua ibu bapanya dan ahli keluarga yang lain serta para peminat.

Nur Amira menambah, namanya turut tersenarai sebagai pemain dram bertaraf dunia dari Malaysia dan jutaan terima kasih kepada Bently Music dan Zildjian kerana banyak menghulurkan bantuan sehingga pihak TAMA melantik beliau sebagai duta  mereka. - UTUSAN ONLINE