Selain kekuatan alunan muzik yang diketuai Ahmad Muriz Che Rose, tentunya kehadiran Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo melengkapkan kesempurnaan konsert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas(DFP) itu.

Sejujurnya bukan mudah bagi generasi baharu menghargai lagu-lagu lama yang sudah berusia lebih 50 tahun, namun kelebihan susunan muzik yang cukup memukau seolah-olah membawa penonton kembali ke zaman berbeza.

Tentunya antara lagu yang menjadi perhatian adalah Jelingan Manja nyanyian Liza Hanim yang dicipta oleh Ahmad Jaafar dan digubah semula oleh Leornard Yeap dan lagu Jauh Jauh dendangan Aishah, ciptaan Jimmy Boyle dan gubahan semula oleh Ahmad Muriz.

Yang turut mendapat tepukan gemuruh penonton adalah persembahan medley tanpa vokal lagu-lagu Berjaya dan Perajurit Tanah Air, ciptaan Saiful Bahri yang digubah semula dengan irama yang mengasyikkan dan menaikkan semangat oleh Luqman Aziz.

Membuka tirai persembahan, Liza Hanim hadir dengan Semalam Di Malaya ciptaan Saiful Bahri dan gubahan semula oleh Leonard Yeap sebelum membuai audiens dengan Sayang Di Sayang (Zubir Said, Ahmad Muriz).

Aishah muncul dengan karya Zubir Said untuk lagu Setangkai Kembang Melati yang digubah semula oleh Syed Shahir Faizal Syed Hussain sebelum Musly Ramlee menyingkap kenangan terhadap karya-karya Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee menerusi Hujan Di Tengahari yang turut digubah semula oleh Syed Shahir Faizal.

Medley Airmata Berderai dan Gadis Idaman serta Tunas Kasih ciptaan Alfonso Soliano dan digubah semula oleh Jenny Chin dan Ahmad Muriz dilagukan dengan penuh perasaan oleh cucu Alfonso, Rachel Guerzo dengan petikan piano yang mempesonakan.

Selain itu, Tanah Pusaka ciptaan Tan Sri Ahmad Merican dan gubahan semula Vivian Chan, Ibu (Ahmad Jaafar, Ahmad Muriz) serta medley Nak Dara Rindu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Kwek Mambo (P. Ramlee, Ahmad Muriz) melatari sesi kedua persembahan menerusi dendangan Aishah dan Musly.

Dewan bertambah gamat dengan dendangan karya P. Ramlee dan gubahan semula oleh Luqman Aziz bagi lagu Joget Malaysia duet Liza Hanim dan Musly Ramlee serta kombinasi empat vokal menerusi Getaran Jiwa yang disusun semula oleh Jenny Chin yang mendapat tepukan gemuruh audiens.

Nyata kepelbagaian rentak muzik yang dipersembah membuktikan hiburan yang disajikan sejak sebelum negara merdeka mempunyai kelas tersendiri yang seharusnya diangkat menjadi medium penting buat generasi kini mengenali lebih ramai ikon seni yang terlebih dahulu mewarnai dunia hiburan negara serta menjadi nilai sejarah yang perlu kita banggakan.

Aishah lega

Selaku penyanyi berpengalaman, mungkin ramai beranggapan menyanyi bukan sesuatu yang menakutkan buat dirinya, namun kata Aishah, pengalaman bukan bermakna dia mampu tampil dengan sebuah persembahan terbaik tanpa latihan dan perasaan gementar.

Kali keempat berpeluang membuat persembahan diiringi MPO bagi Aishah, setiap persembahan yang dilakukan adalah pengalaman baharu dan bermakna buat dirinya.

“Perasaan ketika ini (selepas persembahan) sangat lega sebab bukan mudah untuk menyanyikan lagu-lagu ini. Mungkin ini lagu lama, namun yang perlu kita tahu bila sesebuah lagu disusun kembali bermakna ini akan menjadi lagu (gubahan) baharu.

“Yang penting malam ini saya tidak membuat kesilapan sebab paling merisaukan adalah bahagian teknikal seperti bila nak mula (menyanyi) dan sebagainya,” katanya.

Musly bikin rancak

Memiliki raut wajah dan suara seakan-akan P. Ramlee, mungkin ini yang dinamakan tuah buat penyanyi ini, malah diikutkan bukan mudah untuk penyanyi memanjat tangga DFP.

Tetapi lain ceritanya dengan Musly Ramlee yang bukan sekali tetapi sudah beberapa kali berkesempatan mengadakan persembahan di lokasi berprestij ini.

Bercakap mengenai persembahannya dengan tiga wanita pada konsert tersebut, Musly akui mudah mewujudkan keserasian.

“Kami membuat latihan dalam tempoh yang singkat, namun saya boleh lihat keserasian yang wujud antara kami. Mudah sebenarnya kerana masing-masing sangat fokus,” katanya.

Hargai komposer

Melihat kepada pemilihan lagu dipersembah, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa ada antara lagu yang dipilih agak jarang didengar.

Namun bagi konduktor Ahmad Muriz Che Ros, pemilihan yang dibuat menepati tema Semalam Di Malaya.

Malah kata Ahmad Muriz, pihaknya membuat pilihan komposer terlebih dahulu sebelum memilih lagu yang ingin dipersembah.

“Apabila kita sudah tentukan komposer, baru kita pilih lagu-lagu yang berkaitan dengan mereka. Memang fokus kita adalah kepada komposer terlebih dahulu sebelum memilih lagunya,” katanya.

Mengakui berbangga dapat berkolaborasi dengan empat penyanyi hebat, beliau berpendapat, mereka mempunyai kelebihan dan pesona tersendiri yang mampu memukau audiens.

“Malah cara kerja mereka sangat profesional. Aishah sehingga hari ini suaranya masih hebat, Liza pula seorang yang nampak santai tetapi apabila dia mula menyanyi semua itu hilang.

“Musly pula adalah (jelmaan) P. Ramlee, bukan dia meniru tetapi itu adalah dirinya, manakala Rachel pula kita (memang) tahu kekuatan vokalnya.

“Saya sangat beruntung dapat bekerjasama dengan mereka,” kongsinya.

Rachel Guerzo teruskan legasi

Merupakan cucu kepada komposer Alfonso Soliano, penyanyi jazz, Rachel Guerzo berbesar hati berpeluang menyanyikan lagu ciptaan datuknya sendiri.

“Pendapat pertama saya apabila diberikan lagu-lagu ini adalah, bolehkah lagu ini ditukar susunan muziknya kerana saya fikir lagu ini tidak akan disukai dengan susunan baharu? Tetapi sangkaan saya meleset.

“Sebaik mendengar komposisi baharunya saya terus jatuh hati. Harus diakui kehebatan mereka kerana MPO sangat berbeza melalui skil dan disiplin mereka,” katanya.

Pengalaman indah Liza

Pertama kali menjejakkan kaki ke pentas DFP, Liza Hanim tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. Akui Liza, dirinya gementar, namun pembabitannya pada konsert ini, sekali gus memberi pengalaman baharu buat dirinya.

“Ini adalah kali pertama saya diberi peluang untuk diiringi MPO, harus diakui sangat gementar pada mulanya.

“Namun bila sudah berada di atas pentas semua perasaan itu hilang.

“Lebih penting bagaimana gabungan kami di pentas saling melengkapi. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sememangnya pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan saya berterima kasih atas kepercayaan ini,” katanya yang kini sarat mengandung anak kelima.