Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad, penyanyi yang popular dengan lagu Kau Ilhamku itu akui, ada yang datang kepadanya meminta dia menggubah karya khusus untuk pelapis baharu.

Namun dia memegang prinsip untuk tidak mahu berkongsi atau memberikan sebarang hasil karya kepada orang lain.

Terbit rasa takut dan kurang selesa apabila lagu sendiri dinyanyikan oleh orang lain, Man Bai ada jawapan mengapa dia berpendirian sedemikian.

“Saya takut. Bukan nak kata lagu itu akan rosak tapi gusar karya yang dihasilkan tidak bersesuaian dengan penyanyi. Tak naklah mereka kecewa pula.

“Kadangkala penyanyi sedia ada ini dia anggap apabila diberi lagu daripada orang yang sudah popular, karya itu akan hits mendadak.

“Harus diingatkan, pembikinan untuk menghasilkan sesebuah lagu bukan mudah. Nak tinggalkan ‘bekas’ pada halwa telinga pendengar memang akan makan masa bertahun-tahun,” katanya membuka bicara.

Malah Man Bai atau Abdul Rahman Osman turut menasihatkan agar pelapis baharu mencari inisiatif menghasilkan karya sendiri.

“Setakat ini, ada juga yang menghubungi saya dan meminta lagu. Tapi saya cuma cakap ‘insya-Allah tak boleh janji’.

“Saya cadangkan kepada penyanyi buat lagu sendiri. Dari situ boleh luahkan perasaan menerusi lirik. Perkara sebegitu amat mustahak dalam kehidupan seseorang artis,” tambahnya.

Malah bagi Man Bai, dia juga tidak kisah lewat menghasilkan lagu baharu asalkan hasilnya berkualiti dan sentiasa meniti pada telinga pendengar bahkan untuk 20 tahun akan datang.

Ditanya tentang arus peredaran muzik terkini, Man Bai tidak berselindung mengatakan kebanyakan lagu sedia ada kurang ‘menangkap’.

Pun begitu, dia memuji penyanyi muda seperti Haqiem Rusli dan Hael Husaini sebagai penyanyi dan komposer berbakat, sekali gus boleh dijadikan rujukan kepada industri.

“Saya ada mendengar lagu-lagu era baharu. Tapi saya tak kata semua penyanyi muda tidak berkualiti. Mahu hasilkan lagu perlu ada bakat dan bukan berbekalkan populariti semata-mata.

“Sebagai contoh, lagu yang dihasilkan Haqiem biasa sahaja tetapi berkualiti dan saya percaya dia mampu bertahan untuk tempoh lama. Begitu juga Hael, lagu Jampi dia berjaya ‘menangkap’ hati saya.

“Kerjaya menyanyi ini perlu banyak fokus dari pelbagai aspek. Saya kalau buat lagu memang nak orang dengar sampai berpuluh-puluh tahun.

“Kena ambil serius kalau nak mula ceburi bidang nyanyian barulah dapat bertahan lama dalam industri tempatan,” jelasnya lagi. - NURFARHANA MOHAMED

Tahun yang baik

BERBICARA tentang perkembangan terkininya, lelaki berusia 51 tahun itu optimis untuk kembali aktif mengatur langkah dan strategi dalam bidang seni suara.

Sudah tentu dia tidak keseorangan malah kemunculannya itu turut disertai anggota kumpulan Gersang yang pernah menjulang karier seninya pada awal 80-an.

Justeru, Man Bai sudah merangka perancangan lebih awal untuk menerbitkan sebuah album baharu buat peminat yang ternanti-nanti kemunculan semula mereka.

Katanya, dia akan merakamkan semula lagu-lagu yang pernah menaikkan nama Gersang selain buah tangan terkini untuk pendengar.

“Saya istilahkan sebagai reborn atau kelahiran semula. Dalam kepala ini sudah ada beberapa idea untuk pembikinan album nanti. Ini sesuatu yang paling saya nantikan pada tahun ini.

“Ya, anggota asal Gersang iaitu Kid, Man Greng dan Jojet akan turut bekerjasama untuk album ini,” jelasnya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini juga mengakui amat teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menghiburkan peminat pada sebuah persembahan Man Bai - Kau Ilhamku yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada 15 April depan.

Menurut Man Bai, pemilihan lagu yang sering mendapat tempat pada hati pendengar akan dinyanyikan selain seleksi lagu-lagu membuai indah halwa telinga.

“Mungkin saya akan mendendangkan lagu kira-kira 10 buah. Semuanya bergantung kepada masa yang diberikan. Saya akan sampaikan lagu-lagu daripada album Masih Aku Terasa, Suratan Takdir serta B29.

“Saya mahu kembalikan nostalgia lagu-lagu lama kumpulan Gersang. Malah pemilihan Rahim Maarof sebagai teman beraksi saya untuk showcase itu nanti juga atas sebab popularitinya.

“Ruang pun hanya boleh memuatkan 120 orang. Sudah tentu persembahan kali ini lebih intim dan relaks,” katanya yang bakal mengadakan konsert jelajah bersama-sama Zamani dan Rahim Maarof mulai 28 Julai ini di beberapa rangkaian Hotel Royale Chulan seluruh negara.

Harga tiket untuk bermula RM100 hingga RM120 dan boleh menghubungi 019-2928260 untuk tempahan dan informasi lanjut.