Apresiasi masyarakat dunia terhadap filem Hindi (Hindustan) terutama orang Melayu terlalu tinggi sehinggakan nama-nama besar dalam gelanggang perfileman Bollywood seperti Amitabh Bachchan, Dharmendra, Zeenat Aman, Rishi dan Shashi Kapoor dianggap sebagai ikon.

Dan sehingga hari ini, karyawan filem Bollywood sentiasa bekerja keras memahat sejarah dan rekod peribadi kerana industri perfileman di India sedia maklum apa sahaja naskhah yang mereka terbitkan sentiasa mendapat sambutan luar biasa.

Dua dekad lalu juga memperlihat sejarah baharu dicatatkan menerusi penerbitan filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) atau jika diterjemahkan membawa maksud "Sesuatu Terjadi".

Tahun ini, filem sulung arahan sutradara tersohor India, Karan Johar meraikan ulang tahun ke-20. Fenomena KKHH terlalu agung kerana naskhah berkenaan menjadi igauan pencinta filem Bollywood ketika mula ditayangkan di seluruh dunia pada 16 Oktober 1998.

Kemasyhuran KKHH berkait rapat dengan kegilaan gadis-gadis di seluruh dunia kepada pelakon utama filem berkenaan, Shah Rukh Khan. Bahkan, gandingannya seperti Kajol dan Rani Mukerji juga dikatakan menjadi pelaris utama filem yang diterbitkan dengan kos sebanyak AS$1.4 juta (RM5.8juta).

Ketika ditayangkan di seluruh dunia, KKHH mencatat kutipan ketiga paling tinggi dalam sejarah perfileman India iaitu sebanyak AS$14 juta (RM58 juta).

Meraikan kegemilangan dua dekad KKHH, Karan Johar mengambil inisiatif menghimpunkan semua karyawan yang terlibat dalam produksi itu pada satu acara yang berlangsung di Mumbai, India beberapa hari lalu.

Dalam majlis itu, aktor utamanya, Shah Rukh Khan mendedahkan, jalan cerita KKHH yang diilhamkan oleh Karan Johar merupakan idea yang ‘mengarut’, namun dia memilih untuk membintangi filem itu kerana terpengaruh dengan sutradaranya.

“Saya tidak pernah mempercayai skrip, saya hanya mendengar denyut nadi orang di sekeliling tempat saya bekerja. Ketika itu, ada yang mempersoal kenapa saya sering mengabaikan skrip.

"Sehingga sekarang, saya tidak memahami skrip. Dan saya dengan yakin ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah memahami sesebuah skrip, tetapi (lebih yakin dan percaya) kepada penulis skrip atau pembikin sesebuah filem,” kata Shah Rukh Khan.

Legenda perfileman Bollywood itu turut memberitahu, bagaimana permulaan Karan Johar bertemu dengannya dan berkongsi jalan cerita KKHH.

“Karan seorang lelaki yang banyak bercakap cuba untuk menarik perhatian saya dengan cerita yang ‘mengarut’. Betul, saya sendiri tidak faham kenapa saya setuju berlakon filem itu.

"Tetapi saya gembira kerana tidak begitu menurut jalan cerita skrip sebaliknya, lebih banyak berbincang dan mengikut apa yang dikehendaki oleh Karan Johar, jika tidak berbuat demikian, mungkin filem itu tidak menjadi seperti yang ditayangkan,” dedah Shah Rukh Khan lagi.

Naskhah KKHH mengisahkan cinta tiga segi yang latar filem berkenaan dihiasi dengan landskap penuh warna-warni. Selain itu, KKHH mengekalkan identiti filem Bollywood yang sarat dengan lagu-lagu yang mesra pendengar

Selepas 20 tahun, KKHH harus berada dalam senarai penggemar filem Hindi kerana pesona Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji masih belum pudar dan kekal relevan sehingga kini.

Dan tentu sekali sutradaranya, Karan Johar pula dianggap sebagai seorang pengarah yang sentiasa memahami kehendak para pencinta filem.

Selamat ulang tahun KKHH.